NAIK kereta berdua dengan Zhafran, bukan perkara baru. Sejak dia dapat hadiah kereta dari papanya, orang pertama yang dia bawa naik kereta dia ialah aku.
Jadi, bila Fatin kata kalau aku sering keluar berdua dengan Zhafran, ada kemungkinan hubungan kami akan bertukar jadi lain, aku ketawa saja. Sebab aku dengan Zhafran ni, macam 'adik-abang' lain mak dan lain bapa.
Aku ingat lagi permulaannya. Usia aku lapan tahun dan pembantu rumah lari. Waktu tu, along sekolah asrama.
Keluarga Zhafran pula baru saja pindah berjiran dengan kami. Balik sekolah aku menangis tepi pagar sebab tak ada orang kat rumah. Mama Zhafran yang aku panggil Mama J telah selamatkan aku.
Dan sebab susah nak dapat pembantu rumah baru, Mama J tawarkan diri untuk jaga aku.
Sejak dari itu, rumah dialah tempat aku membesar. Pulang dari sekolah, rumah dialah tempat aku tuju. Makan minum tak usah cakap. Mama dan papa dia dah macam mama papa aku.
"Jauh kau menung." Teguran Zhafran di sebelah menamatkan ingataku pada kisah lampau.
"Kau nak bawa aku ke mana ni?" Terus aku tanya soalan yang entah sudah berapa kali aku ulang. Dari awal masuk ke keretanya, soalan aku tak berjawab.
"Aku nak beli kasut, nak kau tolong pilihkan." Baru kali ni dia jawab. Macamlah soalan aku tu susah sangat sampai kena buka buku teks.
"Kasut apa?" Aku berpusing pandang dia. Raya lambat lagi, takkan nak beli kasut raya kut?
"Sport shoes, yang lama tu dah lusuh."
Baru aku faham mendengar jawapannya. Zhafran memang pemain bola sepak kampus dan selalu mewakili UM untuk setiap perlawanan antara universiti. Sejak di bangku sekolah, dia memang aktif dalam sukan.
"Nak beli kasut sampai ke Mid Valley? Kau tahu kan aku ni menyampah tempat-tempat sesak?" Nada tak puas hati aku marah dia bila keretanya membelok masuk ke pusat membeli-belah itu.
"Aku peduli apa." Jawapan dia memang selalu mengundang. Selalu suka nak menyakitkan hati aku.
"Lain kali boleh tak kalau kau nak pergi tempat macam ni, kau bawa gilfriend kau. Jangan heret aku. Tak suka!" Aku bebel lagi.
Waktu tu dia sudah parkir kereta di tempat parkir.
"Aku mana ada girlfriend. Kaulah girlfriend aku." Selamba saja dia jawab tanpa memandang aku pun. Tangan sibuk membuka tali pinggang keledar. Macamlah ayat 'kaulah gilrfriend aku' tu sama dengan ayat 'kaulah jiran aku'.
Keluar dari kereta, dia tunggu aku keluar baru melangkah ke pintu masuk. Jalan beriring macam sepasang kekasih.
Macam dia cakap tadi, nak cari kasut. Makanya hala tuju kakinya memang ke kedai kasut. Butik Nike.
"Duduk sana." Dia beri arahan sambil menunjuk ke arah tempat duduk yang disediakan untuk pelanggan mencuba kasut. Suka hati dia jer suruh aku duduk situ.
Tapi, tetap juga aku ikut arahan. Duduk menunggu dia tanpa rasa bersalah walhal tempat tu bukan tempat duduk untuk menunggu.
Aku paling rimas bila teman dia beli barang ialah menunggu. Zhafran ni kalau beli apa-apa, telitinya mengalahkan aku yang perempuan ni.
Dari jauh, aku perhatikan saja tingkah dia yang bertanyakan itu ini pada juru jual. Gaya dia, cara dia berdiri, cara dia berbicara, semuanya menarik di mata aku.
Semuanya sudah aku rakam dan simpan kemas.
Kata Fatin, yang menarik pada Zhafran ialah senyumannya. Entahlah! Bagi aku, lihatlah dari sudut mana pun, Zhafran tetap nampak kacak dan bergaya. Dengan lengan berotot, dengan badan yang tegap, dengan wajah ciptaan DIA yang sempurna, dia tak pernah gagal untuk menarik mata perempuan memandangnya buat kali kedua.
YOU ARE READING
HATI KALA CINTA
RomanceKadangkala, kita perlu bersabar dengan hujan untuk melihat pelangi. Di mata Lya, Zhafran adalah segalanya. Tapi apa yang Lya tahu, di mana Zhafran dia hanyalah seorang sahabat yang disayangi dan tak boleh di'sentuh' oleh sesiapa pun. "Aku takkan ben...