Bab 9

689 31 1
                                    

KASAR aku kesat air mata sebelum menyelongkar barang-barang pemberian Zhafran yang aku simpan elok di dalam almari.

Kasut sukan dua pasang, kasut biasa dan sandal. Semuanya aku simpan elok sebab sayang nak pakai. Blouse tiga helai, T-Shirt lima helai, hoodie dan sweater, Jeans dua helai.

Semuanya aku sumbat dalam beg Ikea. Kasut tu dengan kotak sekali masih aku simpan dan aku masukkan sekali.

Bersama beg tersebut, aku berlari turun ke bawah.

"Bu, Lya pinjam kereta kejap." Aku jeritkan sambil mencapai kunci kereta dan berlalu ke pintu utama.

Pemanduan aku hala ke rumah keluarga Zhafran di Country Height. Keluarga dia berpindah ke situ lebih kurang enam tahun yang lepas.

Kereta aku parkir di depan pagar rumah agam tersebut dan keluar menekan loceng.

Lama menunggu sebelum pagar terbuka dan aku melangkah masuk.

Beberapa langkah saja kakiku menjejak laman depan rumah tersebut, tiba-tiba ada seseorang menghalang langkahku.

Atas bawah aku pandang berulang kali.

Lelaki muda. Macam sebaya atau tua sikit dari Zhafran. Gaya boleh tahan, smart walau hanya berT-shirt dan berseluar Khaki. Tapi mukanya serius nak mati, macam gaya nak telan aku pun ya juga.

Siapa? Hatiku tertanya sndiri

Selama aku berkunjung ke rumah ini, tak pernah lagi aku jumpa lelaki ini.

Takkan tukang kebun baru?

"Cari siapa?" Suara garaunya bertanya.

"Encik ni tuan rumah ke?" Aku soal dia balik, gaya menyombong.

Yalah, aku kenal baik dengan tuan rumah ni. Sejak kecil kut.

"Kalau aku kata, ya?"

Keningku terus berkerut.

Aku salah rumah ke?

Pantas kepalaku tertoleh kiri dan kanan, melihat kawasan. Mana tahu aku tersalah rumah.

Tapi memang betul ini rumah Zhafran.

"Zhafran ada?" Sudahnya, aku sebut nama orang yang aku cari. Lantaklah siapa pun lelaki ini.

"Reez, siapa yang datang tu?" Tiba-tiba aku dengar suara Mama J menjerit dari arah dalam rumah.

Spontan mataku bersinar. Tak peduli lagi lelaki yang berdiri tegak di depanku, langkahku melencong sedikit ke kanan dan berlari anak ke arah pintu utama.

"Mama, Lya ni." Aku ikut menjerit.

Waktu itulah Mama J muncul dan terus peluk tubuhku.

"Mama ingatkan siapa."

"Siapa tu?" Aku tunjuk ke arah belakang, bertanya siapakah lelaki yang berlagak macam tuan rumah tadi.

"Haa, Lya masih belum jumpa Reez, ya?"

Keningku berkerut bila Mama J kata begitu. Dan otakku mula berfungsi.

Adakah itu Hareez, abang yang Zhafran sebut itu?

"Reez, sini." Mam J menggamit si lelaki tadi.

"Ni Lya, anak angkat mama. Dulu jiran kita kat rumah lama tu." Mama kenalkan aku apabila lelaki tadi menghampiri kami di muka pintu rumah.

"Anak mama, Hareez. Abang Zhaf yang tinggal dengan tok ma kat Johor tu."

Terus kepalaku terangguk bila Mama J menjelaskan siapa sebenarnya lelaki yang nampak sombong dengan muka serius itu.

Aku tak tahu sangat tentang kisah abang Zhafran ni. Dengarnya dulu Mama J dibuang keluarga sebab kahwin dengan Papa Khir. Tapi lepas Hareez ni lahir, keluarganya mahukan anak itu.

Untuk memulihkan kembali keadaan yang keruh, Mama J terpaksa berkorban, tinggalkan anaknya bersama keluarganya di Johor dan pulang sekali seminggu. Waktu tu Mama J dan Papa Khir di Melaka, bekerja di situ sebelum memulakan bisnes dan pindah berjiran dengan kami.

"Zhaf tak cakap ke?" Soalan Mama J memanggil aku berpaling lagi ke arah Hareez.

Dan aku geleng kepala. Zhafran mana suka abang dia, itu yang aku tahu. Bagi dia, hanya dia satu-satunya anak Mama J.

"Nak jumpa Zhaf ke?" Kemudian Mama J menggamit aku masuk.

Dan sebelum melangkah masuk ke dalam rumah tersebut, sempat lagi aku mengerling lelaki yang bernama Hareez yang masih berdiri tegak di situ.

Dia juga sedang memandangku. Dengan pandangan semacam.

Apa kes pandang orang begitu?

Masuk melalui pintu utama, aku keluar melalui pintu sisi dan duduk di kerusi yang terdapat di ruang santai keluarga itu. Menunggu Zhafran di situ memang sudah menjadi kebiasaan bila aku ke situ.

"Kenapa tak call nak datang?" Zhafran muncul bersama soalan.

Muka selamba dia tarik kerusi berdepan denganku, seolah apa yang berlaku ketika panggilan telefon tadi tidak pernah berlaku.

Zhafran punya perangai memang begitulah. Apa yang aku anggap serius, bagi dia semuanya remeh dan tak perlu dipanjangkan. Apa yang aku anggap belum selesai, selalunya bagi dia boleh saja ditutup kesnya begitu saja.

Mungkin itulah perbezaan ketara antara lelaki dan perempuan.

"Aku datang bukan nak bersantai atau bersembang panjang lebar." Beg yang aku bawa tadi aku angkat dan letakkan ke atas meja.

Zhafran berkerut kening.

"Aku nak pulangkan semua barang pemberian kau..."

"Lyaaa...." Dia mencantas bicaraku dengan menyebut namaku bersama hela nafas.

"Kau boleh bagi kat perempuan tu semua ni. Mesti dia suka." Beg Ikea yang besar gedabak itu aku tolak ke depannya.

"Kau dah kenapa?" Zhafran tarik beg tersebut dan letakkan ke bawah sebab mengganggu pandangan antara kami.

"Oooo... Kau nak period ni, sebab tu emosi semacam jer." Tiba-tiba Zhafran bagai teringatkan sesuatu.

Pantas aku bangkit berdiri.

"Kau boleh tak berhenti buat kiraan tarikh period aku?" Betul aku marah walau tekaannya itu tepat sekali.

Selama ni aku tak kisah pun dia ambil peduli semua hal tentang aku. Malah aku suka saja bila dia ingat semua tarikh-tarikh penting dalam hidup aku.

Tapi sekarang, saat ini, aku jadi rimas. Aku jadi tak suka dan menyampah.

Zhafran ikut bangkit.

Tapi mata aku terpandang pula lembaga manusia nun di belakang Zhafran, sedang berdiri di jenang pintu untuk keluar ke ruang rehat tersebut.

Hareez memandang tepat ke arahku.

Bila masa pula dia ni muncul?

Adakah dia mendengar apa yang aku katakan pada Zhafran tadi?

"Aku balik dulu." Terus aku meminta diri.

"Lya, kau tak pernah buat perangai macam ni. Aku tak tahulah apa yang kau marah sangat." Zhafran menghalang langkahku

Senyum senget aku ukir mendengar soalan Zhafran. Nak kata bodoh, belajar sampai Universiti. Tapi otak bengap macam orang tak sekolah.

Memang lelaki semua sama ke kalau bab-bab menjaga hati perempuan begini?

"Aku tak marah."

"Tak marah kau ni, sangat menakutkan aku, Lya." Serius wajah Zhafran merenungku.

Kali ini ayat balasnya buatkan aku rasa mahu menangis. Dalam satu sudut, dia sangat prihatin terhadap setiap tingkah dan perlakuanku tapi sudut yang lain pula, dia seperti lupa aku ini ada hati dan perasaan. 

HATI KALA CINTAWhere stories live. Discover now