SEBAIK sahaja menerima isyarat untuk melangkah naik ke atas platform, nafas perlahan-lahan ditarik buat menenangkan rasa hati yang resah gelisah. Gaun kembang meleretnya diangkat sedikit. Bersama kasut tumit tinggi lapan incinya itu, dia melangkah penuh teratur mengikut apa yang telah diajarkan kepadanya dalam tempoh masa yang singkat beberapa hari lepas. Gegendang telinganya mula mendengar bunyi riuh tepuk tangan para penonton, kelipan kamera yang berkilau-kilauan dan sorakan serta siulan nakal yang cepat-cepat mati kerana hormatkan kehadiran para juri dan penonton yang datang dari luar.
Airissa tidak pedulikan semua itu. Saat ini, dia tidak lagi mendengar suara bunyi manusia lain melainkan bunyi detakan jantung yang bergemuruh ibarat pacuan larian kuda di medan perang. Semakin dia melangkah maju ke hadapan, semakin terasa kuat degupan jantungnya itu berpalu dan sehinggalah sepasang mata hazelnya tertancap pada satu sosok tubuh yang tinggi lampai. Matanya terpaku di situ.
Lelaki itu, Idris Ardani. Dengan gagahnya melangkah maju bersama wajah yang langsung tidak berpaling ke arah lain melainkan hanya cuma dia sahaja yang berdiri di hadapan kolam mata amber tersebut. Umpama dialah satu-satunya destinasi yang sedang dituju oleh Idris Ardani.
Mereka sama-sama berhenti sesaat di tengah-tengah platform berbentuk T itu, kemudian terus membelok ke arah yang sama dan saling bergandingan seperti pasangan yang sungguh serasi ibarat pinang dibelah dua. Sama cantik dan sama padan. Langsung tiada cacat-celanya. Kalaulah para penonton tidak mengenali Idris Ardani sebagai pensyarah di universiti tersebut, memang sudah pasti mereka akan dicopkan sebagai pasangan kekasih yang sangat sepadan.
Tiba dihujung platform, mereka berhenti seketika mempamerkan pakaian untuk dinilai oleh para juri. Idris Ardani mengerling ke arah Airissa yang berdiri di sebelahnya dengan senyuman penuh mekar di bibir. Lantas dia mendekatkan sedikit wajahnya di tepi telinga gadis itu seolah-olah ingin membisikkan sesuatu.
"Kau cantik sayang..."
Mata Airissa membulat, namun cepat ditahan agar riak wajahnya yang merona kemerahan tidak tertangkap oleh para audiens di hadapan. Melalui hujung matanya dia dapat melihat senyuman tampan Idris yang begitu dekat sekali dengannya di sisi. Lagi bertambah sesak nafas di dada apabila haruman maskulin dari tubuh itu menusuk lembut ke rongga pernafasannya. Wangian yang sama seperti empat belas tahun yang lalu.
Bibir merah tidak berlipsticknya digigit sedikit. Malu.
Tugasan mereka berakhir saat masing-masing berpatah semula dan semestinya dengan langkah yang seiringan kemudian berpecah di persimpangan tengah-tengah platform tersebut. Model lain terus bertukar ganti.
Hampir sahaja dia kehabisan oksigen gara-gara pensyarahnya itu. Lantas, serta-merta dia mencari air mineral buat menambah kembali oksigen di dalam tubuh. Diteguknya rakus tanpa melihat kiri dan kanan.
"Baca bismillah belum tu? Laju je minum..."
"Ergh!"
Pantas botol tersebut dijauhkan dari pakaiannya. Sisa yang sedikit berjejeran di bawah dagu segera dikesat sebelum tumpah menitis ke baju. Ey, mamat rimau! Memang suka benar buat dia terkejut. Mujur tak tersembur. Kalau tak, muka lelaki itulah yang pertama sekali menjadi mangsa semburannya.
"Minum elok-elok sikit. Kan dah tumpah tu..."
"Diamlah!" Marah Airissa. Geram pula dia melihat Idris yang senang hati mentertawakan dirinya.
Airissa menyudahi minumannya lalu botol yang masih lagi berbaki itu diletakkan kembali di atas meja.
Dia melihat Idris Ardani meneguk perlahan air mineral di meja sisi. Halkum lelaki itu bergerak-gerak. Entah mengapa, matanya gatal melihat setiap perlakuan Idris yang tertib dengan meneguk sedikit demi sedikit tanpa bibir menyentuh ke kawasan mulut botol. Tidak sepertinya yang gelojoh meneguk rakus sehingga terlupa terus membaca bismillah.
YOU ARE READING
AIRIS ARDANI (COMPLETED)✓
Romance(ART-ROMANCE) °2 ND BORN° Kepala dibotakkan, bekas cucuhan puntung rokok di segenap tubuh, lebam biru di merata-rata, parut dan torehan, kering air mata digantikan cairan merah. Minda bagaikan terbejat, tiada secebis memori yang tertinggal sebagai k...