AIRISSA melangkah longlai menuju ke katilnya lalu merebahkan tubuhnya di situ. Anak patung bunny yang terletak di kepala katil dibawa ke dalam pelukan. Erat dia memeluk bantal gebu tersebut. Fikirannya melayang terbang mengingati kembali kejadian yang berlaku di pejabat Idris Ardani sebentar tadi.
"Ab-bang Ris..."
Sepasang mata amber Idris Ardani kelihatan bergerak-gerak merenungi segenap wajahnya. Lelaki itu bagaikan cuba untuk membaca apa yang terselindung di sebalik raut wajahnya yang jernih.
"Kau menangis..."
Renungan mata Idris langsung tidak lepas daripada menatap wajah itu.
Teragak-agak, Airissa menggeleng. Kepalanya menunduk ke bawah.
"Menangis sebab bencikan aku? Atau... Marah aku?" Idris menyoal dengan nada yang berbisik. Dia benar-benar ingin memahami apa yang gadis itu fikirkan saat melihat lukisan di dalam buku tersebut. Kenapa harus ada air mata yang mengalir di pipi?
"Dr.-Dr... saya nak balik kolej-"
"Jawab dulu soalan aku. Aku nak tahu apa yang kau rasa bila tengok lukisan tu?"
Airissa terkedu. Perlahan-lahan dia mendongak melihat raut wajah penuh berharap Idris Ardani sebelum matanya mengerling ke arah sketch book yang terpampang di atas meja.
Apa yang dia rasakan... Saat melihat lukisan potret wajahnya yang sedang tersenyum lebar di dalam dukungan lelaki itu?
Wajahnya kembali didongak dan kali ini, dia tidak ragu-ragu untuk membalas renungan tajam Idris Ardani.
"Dr. pernah cakap yang Dr. bencikan saya bukan? Kalau benar Dr. bencikan saya, buat apa Dr. lukis muka saya? Bukan Dr. dah tak nak tengok muka saya lagi ke?" Soalnya tanpa gentar. Sebagaimana lelaki itu tidak mampu membaca fikirannya kala ini, dia juga tidak mampu memahami apa yang Idris fikirkan saat wajahnya dilakarkan di dalam buku tersebut.
"Aku-"
"... Dan apa yang saya rasa bila saya tengok lukisan tu? Kenapa saya menangis? Dr. nak tahu kenapa?" Pintas Airissa. Dia menyeka kasar air mata yang meluncur laju di pipi. Tersenyum sinis sebelum menyambung bicaranya lagi.
"Sebab... Saya masih tertanya, kenapa Dr. perlu wujud dalam hidup saya lagi? Kenapa dalam jalan cerita hidup saya, saya mesti ditakdirkan berjumpa dengan orang yang dah buang saya macam sampah waktu dulu? Kenapa Dr. tak lenyap sahaja dari hidup saya? Kenapa?"
Cecair jernih berterusan mengalir lebat di pipi walaupun seribu kali cuba diseka. Wajah lelaki itu sedikitpun tidak beralih daripada menatap ke dalam kolam matanya yang berkaca. Tidakkah Idris tahu, betapa susahnya dia memadamkan kenangan yang lalu sewaktu berada di dalam jagaan lelaki itu? Dan Idris tidak akan pernah tahu bagaimana dia bersusah-payah menjahit semula luka yang tertoreh di hatinya sendiri selama empat belas tahun. Sekarang, senang-senang sahaja muncul di hadapannya seperti ini. Berlagak seolah tidak pernah berlaku apa-apa dalam hidup mereka!
"Airissa..."
"Kenapa jumpa saya lagi?! Jangan cakap ludah sendiri dah jilat balik?"
Idris terpempan. Mendengar setiap butir bicara yang keluar dari bibir gadis itu ibarat jantungnya bagaikan direntap kasar. 'Ya Allah, sebegitu dalamkah luka yang aku telah tinggalkan kepada dia selama ini?'
Kesan air mata yang berbekas di pipi mulus itu terasa ingin diseka dengan jari-jemarinya. Mahu sahaja dibawa gadis itu ke dalam pelukan dan memujuk kembali jiwa yang rapuh itu. Namun, sedaya-upaya keinginannya cuba ditahan. Airissa terlalu berharga dan dia tidak akan sesekali menyentuh permata itu dengan tangannya yang kotor.
YOU ARE READING
AIRIS ARDANI (COMPLETED)✓
Storie d'amore(ART-ROMANCE) °2 ND BORN° Kepala dibotakkan, bekas cucuhan puntung rokok di segenap tubuh, lebam biru di merata-rata, parut dan torehan, kering air mata digantikan cairan merah. Minda bagaikan terbejat, tiada secebis memori yang tertinggal sebagai k...