TIDAK hairanlah, Idris selamba mengajaknya keluar 'berdating' dengan berpakaian sedemikian. Rupa-rupanya mereka hanya berjalan di sekitar kawasan kondominium mewah sambil menghirup udara malam yang segar.
"Kau sejuk? Nak aku peluk?"
Airissa mengertap bibir sambil menggenggam penumbuk kecilnya. Cubalah buat hal kalau nak merasa buku lima kecil-kecil cili padinya itu.
Idris tayang muka selamba sambil memeluk tubuhnya sendiri. Tolak rezeki perempuan ni. Rugi!
Idris melangkah lebih laju berbanding Airissa memandangkan dia memiliki sepasang kaki yang panjangnya luar biasa. Tidak sampai sepuluh minit mereka melangkah, mulut Airissa terlopong melihat keindahan yang terbentang di hadapan mata.
Sebuah tasik yang luas dan terdapat jeti yang membolehkan mereka berada di atas tasik tersebut dan yang paling menakjubkan ialah cahaya yang bertebaran di kawasan tersebut. Si perut buncit berlampu, kelip-kelip!
Airissa terpesona. Laju sahaja dia bergerak beberapa langkah mendahului Idris.
Cantiknya ya Allah!
"Kau suka?"
Airissa menoleh. Wajahnya penuh girang.
"Sangat!"
Idris berdiri di sebelah Airissa.
"Jom jalan atas jeti tu..."
"Boleh ke?"
"Mestilah."
Bercahaya bulat mata Airissa tatkala Idris mengajaknya untuk meniti di atas jeti yang agak panjang tersebut.
"Hati-hati dear. Jeti ni tak berapa kukuh sangat..."
Perlahan-lahan Airissa mengatur langkah di belakang Idris. Sesekali dia terpegang hujung baju lelaki itu apabila terpijak kayu yang tidak kukuh.
"Cantiknya tempat ni Dr.! Macam mana boleh ada dekat kawasan ni?" Ujar Airissa. Tangannya sibuk menangkap kelip-kelip yang berterbangan di hadapan mata.
"Sebelum aku beli kondo, aku ternampak tempat ni dulu. Tempat ni buat aku rasa macam terawang-awang antara hidupan air dengan di langit. Bila kau pandang bawah terasa macam jejak lautan dan bila kau pandang di sekeliling, perasaannya bagai dekat dengan bintang-bintang."
Airissa menoleh ke belakang. Dilihatnya Idris yang tersenyum tampan dengan redup mata yang sedang menghayati lukisan alam itu. Rambut perang lelaki itu kelihatan berselerakan ditiup angin malam. Semakin dipandang semakin kacak.
Cepat-cepat Airissa mengalihkan matanya ke sekeliling saat tersedar dari khayalan.
"Tapi kenapa tak ada orang?"
"Kondominium ni baru sahaja lagi dibuka."
" Ouh, patutlah." Balasnya pendek. Dia mengangkat sedikit kain pelekatnya yang agak labuh melebihi paras buku lali itu sebelum mengambil tempat di tepi jeti. Idris turut berbuat demikian. Duduk di sebelah Airissa dengan meninggalkan sedikit ruang di antara mereka. Kaki dibiarkan terjulur ke bawah.
"Cubalah, jadikan idea untuk lukisan kau."
"Tapi..."
"Cuba je dulu. Belum mula lagi mana kau nak tahu..."
Airissa menghela nafas berat. Tak sempat mahu menikmati keindahan alam, sekarang dia harus fikirkan idea untuk lukisannya. Ergh, ingat pointer kau Rissa! Jangan nak seronok sangat! Fokus!
"Tengok sini..."
"Huh?" Pandangannya melorot ke satu arah apabila Idris tiba-tiba meluruskan kedua-dua belah tangan ke hadapan. Jari telunjuk dan ibu jari yang membentuk seperti bingkai itu mengingatkan Airissa dengan sebuah filem Jepun kegemarannya.
YOU ARE READING
AIRIS ARDANI (COMPLETED)✓
Romance(ART-ROMANCE) °2 ND BORN° Kepala dibotakkan, bekas cucuhan puntung rokok di segenap tubuh, lebam biru di merata-rata, parut dan torehan, kering air mata digantikan cairan merah. Minda bagaikan terbejat, tiada secebis memori yang tertinggal sebagai k...