BAB 15 | AIRIS ARDANI

1.5K 91 0
                                    

HARI-HARI yang dilalui terasa begitu tenang dan damai. Walaupun terbatas pergerakan, cukuplah ruang loteng dan kamar tidur lelaki itu yang menjadi tempat dia bermain dan menggembirakan masa kanak-kanaknya yang pernah terhenti seketika. Pertemuan dengan remaja bernama Idris Ardani bin Luth Izran merupakan satu rahmat terbesar yang Tuhan kurniakan buatnya dan dia bersyukur kerana lelaki itu sudi membela nasib kanak-kanak yang tidak tahu asal-usul ini. Entahkan beribu dan berbapa, entahkan tidak.

Sama seperti hari sebelumnya, Dani akan sabar menunggu kepulangan lelaki itu dari sekolah. Kadang-kadang waktu tengah hari sudah terpacak dan kadang-kadang lewat sampai ke petang baru batang hidung lelaki itu muncul di depannya. Jadi, buat mengisi masa lapang yang agak membosankan, dia sekadar menonton kartun di tv, berguling-guling tidur di mana-mana tempat yang dia suka, membuat sepah di ruang loteng dan mengusik barang-barang kepunyaan lelaki itu. Oh, ya! Yang paling penting Idris telah menyediakan tangga yang selamat untuk dia naik turun ke atas tanpa masalah. Dani tersenyum senang.

Dalam banyak-banyak tempat yang boleh dimasukinya, cuma pintu utama bilik tidur lelaki itu sahaja yang dia tidak boleh hampiri. Sentiasa berkunci dan tidak pernah walaupun sekali Idris membukanya. Kali terakhir pintu utama itu dibuka adalah sewaktu dia mendengar perbalahan Idris bersama seorang wanita. Dia yang mahu bertanya lanjut terus mengunci bibir saat pertama kali melihat Idris mengalirkan air mata sehingga tidak sedar ketiduran di tepi pintu. Pada waktu itu, Dani hanya mengintip dari atas loteng secara senyap.

Dia sengaja menghampiri pintu berkunci itu. Teringin juga mahu melihat apa yang ada di sebalik sana. Manalah tahu boleh jadi seperti pintu Doraemon. Buka sahaja terus ada di dunia lain dan lagi seronok jika dia boleh menembusi dunia Barbie yang menjadi kartun kegemarannya itu. Indah sungguh dunia kalau benar-benar menjadi kenyataan. Berbaju ala-ala princess, berambut panjang sehingga ke pinggang, memakai tiara di atas kepala, berkasut tumit kaca dan memiliki haiwan belaan yang comel-comel.

Matanya terpejam membayangkan keterujaannya itu. Tanpa sedar, tangan kecilnya mula menampar-nampar permukaan pintu tersebut.

"Buka pintu ni!"

Satu suara bergema di sebalik pintu. Dani terperanjat. Automatik tubuhnya melompat ke belakang.

'Siapa?'

"Aku tahu Idris tinggalkan kau sorang-sorang dan aku ada kunci pendua. Aku kira sampai tiga, aku nak kau sembunyi baik-baik sebelum aku..."

"...dapat kau." Ujar suara itu kemudiannya, penuh sinis. Dani cuak. Jari-jemarinya berpeluh dingin. Idris tiada saat ini buat menyelamatkan dirinya!

"Satu!" Bunyi kunci kedengaran dimasukkan ke dalam lubang. Lambat-lambat suara itu mengira.

"Dua!"

Dani kejung. Dia sudah tidak mampu berfikir dengan waras saat ini. Lalu, bersama sepasang kaki pendeknya tergesa-gesa Dani melarikan diri ke atas loteng.

"Tiga."

Pintu akhirnya terkuak. Wajah Dani kian pucat tidak berdarah. Tubuhnya menggigil menahan ketakutan yang amat dahsyat.

Batang tubuh seseorang menceroboh masuk ke dalam bilik itu. Berdiri di tengah-tengah ruang sambil memerhati ke segenap ruang kamar yang sunyi sepi. Hanya bunyi tawa jengkelnya sahaja yang kedengaran mengetuk gegendang telinga.

Debaran di dada kian memuncak. Seluruh tubuhnya terasa mengecut dan dia memeluk erat kedua-dua belah kakinya rapat ke tubuh yang sedang menggeletar. Tanpa sedar, satu bayang-bayang hitam menjengah dari belakang.

"Kan aku dah cakap, sembunyi elok-elok!"

Sepasang tangan tiba-tiba merengkuh kuat kolar belakang baju sehingga lehernya bagaikan dijerut. Tubuhnya ikut terseret ke belakang tanpa sempat Dani bertindak.

AIRIS ARDANI (COMPLETED)✓Where stories live. Discover now