I was lost within the darkness,
but then I found her-Stephen Sanchez-
_______________________________________________
JARUM jam berdetak menghampiri ke angka 12. Satu susuk tubuh tersandar lemah di sisi tingkap sederhana besar berbentuk prisma yang sengaja dibiarkan terbuka luas.
Sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua, satu.
Percikan bunga api yang berwarna-warni menerangi kelam malam. Tahun baharu telah menjelma seiring guliran waktu. Tetapi sisa kelukaan itu tetap kekal membekas di jiwa. Bagaikan mengekori diri setiap insan walaupun tahun telah berganti.
16 tahun menghirup nafas di muka bumi Tuhan yang sangat luas, tetapi hidup seorang remaja yang bernama Idris Ardani bin Luth Izran tidak pernah seluas dan senikmat itu. Rasa kosong dan kelam, hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.
Luka berdarah di belakang tubuh sudahpun mengering dengan sendiri. Dibiarkan sahaja tanpa dirawat mahupun dibalut. Biar angin malam yang menyembuh luka berparut itu.
Jari-jemari mengepil sepuntung rokok lalu disisipkan di celahan bibir. Dalam-dalam dia menghirup asap dari gulungan yang berisi tembakau. Rasa tenang menyelusup ke dalam fikiran. Lalu, perlahan-lahan asap dihembus mencemari udara malam.
Dia. Remaja berusia 16 tahun, masih bersekolah menengah, pencetus masalah dan berlatar belakangkan anak seorang ahli korporat terkemuka, kaya-raya dan disegani.
Ya. Dia.
Idris Ardani bin Luth Izran.
Menyedari fakta itu, satu senyuman tersungging di bibir nipisnya. Sinis. Kepalanya tergeleng kecil. Malas mahu membebankan fikiran dengan hal yang sama, kitaran yang sama dan berulang-ulang. Muak.
Beberapa ketika membiarkan diri dalam ketenangan, akhirnya bunyi derapan kaki di luar bilik menghancurkan segala-galanya. Puntung rokok yang tinggal separuh dicampak keluar. Pintu tingkap ditarik.
"Apa kau nak?"
"Mummy suruh Abang Dani turun, kemaskan ruang dapur, lap lantai, cuci tan..."
"Kau cakap kat mummy kau aku bukan Cinderella dalam rumah keluarga 'aku'. Diakan yang selalu berangan jadi mem besar dalam rumah ni? Kau suruh dia buat sendiri."
"Tapi mummy nak Abang Dani..."
"Diam sebelum aku baling cawan ni kat muka kau, dan stop panggil aku Dani kalau kau tak nak menyesal."
Bibir mungil gadis kecil itu terus terkunci rapat. Menikus di sebalik pintu kala melihat renungan maut yang tajam menikam dirinya.
"Tapi..."
Prankkk!
Kedua-dua belah tangan menekup telinga. Terenjut tubuh kecil itu di saat sebiji cawan kaca melayang ke dinding di sebelahnya. Air liur terasa kesat di kerongkong dan tidak mengambil masa yang lama, kelam-kabut kakinya melangkah laju meninggalkan bilik lelaki itu. Air mata berjejeran di pipi. Terpisat-pisat dia menyeka tangisan.
"Nia? Kenapa lari-lari ni?"
Langkah Rania terhenti tepat di hadapan mummy nya itu. Serta-merta membuntang mata wanita tersebut apabila melihat wajah Rania yang lencun dengan air mata.
"Siapa buat anak mummy nangis?" Cemas Laila sambil memegang kedua-dua belah bahu anaknya. Rania masih tidak berhenti menangis teresak-esak. Malah, semakin menjadi-jadi pula raungannya.
YOU ARE READING
AIRIS ARDANI (COMPLETED)✓
Romance(ART-ROMANCE) °2 ND BORN° Kepala dibotakkan, bekas cucuhan puntung rokok di segenap tubuh, lebam biru di merata-rata, parut dan torehan, kering air mata digantikan cairan merah. Minda bagaikan terbejat, tiada secebis memori yang tertinggal sebagai k...