"SEKILO tiga belas ringgit, kak. Jual ya? Terima kasih kak," ucap Idris. Setelah pelanggannya berlalu pergi dia mengelap sedikit dahi yang berpeluh dengan belakang tangan dan tidak sempat dia mahu menarik nafas, pelanggan seterusnya datang berpusu-pusu. Idris melayan dengan sabar. Tangannya begitu cekap menyiang ikan dengan membuang sisik, memotong sirip dan membelah-belah ikan yang bersaiz sebesar lengan itu kepada beberapa bahagian.
Pak Ngah di sebelah turut tidak menang tangan. Walaupun kepenatan, tetapi raut wajahnya ceria dilumuri senyuman mengenangkan rezeki yang datang tidak putus-putus sejak pagi tadi. Syukur Alhamdulillah.
"Habis licin semuanya Ris! Tak sia-sia Pak Ngah heret kau sekali meniaga harini."
Tawa kecil meletus di bibir nipis Idris. Kala ini, mereka sedang berkemas memandangkan semuanya telah habis dijual.
"Nampak je muka kamu..berderet mak-mak, anak dara semua beratur singgah beli sini. Nasib baik kamu masih sekolah, kalau tidak boleh jadi pelaris setiap kali Pak Ngah niaga." Gurau Pak Ngah. Seronok benar nampaknya dia mengusik anak saudaranya yang satu itu.
"Rezeki tu Pak Ngah. Kalau Ris tak ada pun, memang semua barang-barang basah ni tetap habis." Balas Idris, tidak senang termakan pujian. Namun dia layankan sahaja berbual dengan orang tua itu. Sedikit sebanyak, kurang rasa letih yang membelenggu diri.
Idris mengangkut satu persatu alatan meniaga ke dalam van setelah siap dibersihkan. Melihat Pak Ngah yang bertungkus-lumus mengusahakan perniagaannya di pasar pagi, membuatkan dia tergeleng. Pasti setiap hari orang tua itu kepenatan demi mencari sesuap nasi. Dia kagum dengan semangat Pak Ngah. Jika dia di tempat lelaki itu, belum tentu dia mampu melakukan perkara yang sama.
Keadaan pasar sudah semakin surut dari kerumunan manusia. Dia terlebih dahulu masuk ke dalam van. Tubuhnya direhatkan di kerusi belakang sementara menunggu bapa saudaranya itu menyelesaikan beberapa urusan.
Kaki panjangnya diluruskan di atas sebuah bunjutan yang berlapikkan plastik tebal berwarna biru. Matanya terpejam, melepaskan lelah setelah seharian memerah keringat. Tidak sampai seminit, akhirnya dia benar-benar terlena dibuai mimpi.
AIRISSA tersenyum girang. Kedua-dua belah tangannya penuh dengan pelbagai jenis makanan yang dibeli di pasar. Dengan sekeping duit lima puluh ringgit yang diberi oleh lelaki asing semalam, Airissa menggunakannya dengan sebaik mungkin. Nafsu laparnya begitu membuak-buak. Ada aiskrim, gula-gula penuh seplastik, jajan dan macam-macam lagi makanan ringan yang menjadi kegemarannya. Lebihan baki disimpan di dalam kocek hoodie buat kegunaan hari lain pula.
Pipi comot Airissa kelihatan kembung dengan lolipop perisa strawberry. Dikulum dan dihisap penuh riang sehinggalah hayunan langkah kakinya tiba-tiba terhenti. Jantungnya berdegup kencang. Nafas menjadi tidak sekata.
Di hadapan matanya kini, kelihatan kelibat beberapa orang lelaki yang bertubuh besar dan bertatu di lengan. Muka bengis mereka kelihatan liar memerhati sekeliling dan salah seorang di antara mereka tiba-tiba tertancap ke arah dirinya. Airissa membuntang. Tangan yang memegang lolipop bersama bungkusan penuh di lengan serta-merta terungkai. Langkah seribu terus dibuka saat kelibat lelaki-lelaki bengis itu mula menyedari keberadaan dirinya.
"Tangkap! Jangan kasi lepas! Tangkap dia bodoh!"
Airissa berlari sekuat hati. Pedih di telapak kaki langsung tidak dihiraukan. Tubuhnya menggigil ketakutan. Bayangan neraka yang dibuat oleh manusia jahanam itu terus-menerus berlegar di mindanya. Dia tidak mahu kembali ke tempat itu lagi. Biarlah hidupnya bertempiaran seperti anjing kurap di luar ini, asalkan dia tidak terseksa di dalam kurungan haiwan sambil menunggu giliran untuk anggota tubuhnya dipotong-potong! Dia tidak mahu!
YOU ARE READING
AIRIS ARDANI (COMPLETED)✓
Romansa(ART-ROMANCE) °2 ND BORN° Kepala dibotakkan, bekas cucuhan puntung rokok di segenap tubuh, lebam biru di merata-rata, parut dan torehan, kering air mata digantikan cairan merah. Minda bagaikan terbejat, tiada secebis memori yang tertinggal sebagai k...