Bab 35

8.8K 471 49
                                    

ARSHAD melangkah masuk ke dalam bilik tidur. Dunianya terasa kosong sejak pemergian Marsha. Bilik tidur itu tiada seri lagi. Setiap kali dia masuk ke bilik itu, hatinya dilanda rasa sedih kerana terlalu rindukan isteri dan anaknya.

Closet baju isterinya dibuka. Dia mencapai sehelai baju pijama milik Marsha dan sehelai lagi baju bayi.

Dikucup baju itu penuh kasih. Dia menghidu aroma yang terlekat pada baju tersebut. Bau yang sama sepertimana bau tubuh isteri dan anaknya. Menitis air mata jantannya ke pipi setiap kali menghidu pakaian mereka.

"Sha dah tak cintakan abang ke? Kenapa lama sangat Sha biar abang terseksa? Sha nak sangat ke abang kahwin lain? Baik. Abang akan kahwin lain. Abang akan kahwin dengan Humairah. Abang akan cuba lupakan Sha. Itu yang Sha nak kan?" Air mata diseka dengan telapak tangannya.

.

MARSHA dan Azmiya sedang menghadiri Konsert Malam Cinta Rasul yang diadakan di Dataran Seri Menanti di Seremban. Konsert tersebut sangat meriah dengan kehadiran ramai pengunjung dari pelbagai buah negeri.

Sedang Marsha ralit membelek tafsir al-quran yang dijual di bazar, Khaulah terlepas dari pegangan Marsha. Khaulah terpesona dengan buih belon yang berterbangan di sekitar situ. Dia berlari untuk menangkap buih-buih tersebut.

Setelah Marsha tersedar yang Khaulah tiada di sisinya, dia mula gelabah. Dia terus mencari Khaulah di merata tempat. Jantungnya berdegup kencang.

"Khaulah..." Marsha menjerit memanggil Khaulah. Anak kecil yang sebaya Khaulah dia tilik satu persatu. Mana pula hilang si kecil ni?

Tiba-tiba Marsha mendengar suara Khaulah menangis. Dia melihat ada seorang perempuan sedang memujuk Khaulah. Dia cepat-cepat datang menghampiri Khaulah.

"Khaulah." Marsha terus memeluk Khaulah. Bersyukur dapat menjumpai anaknya.

"Marsha? Awak Marsha kan?"

Marsha mendongak memandang wanita yang memujuk Khaulah tadi.

"Afrina?" Terbeliak mata Marsha. Dia tak sangka dapat bertemu Afrina di sini.

Afrina terus memeluk tubuh Marsha erat. Belakang Marsha diusap lembut. Kemudian, dia melepaskan pelukannya.

"Ke mana awak pergi selama ni? Awak tahu tak ramai yang risaukan awak?"

Marsha hanya tersenyum nipis. "Awak apa khabar? Ni anak awak ke?" Marsha melihat anak Afrina yang berada dalam dukungan Afrina.

"Ya. Ni anak saya. Umar Fateh namanya. Ni pula anak awak ya?" soal Afrina pula.

"Ya. Ini anak saya. Khaulah Azwar. Salam Aunty Rina, sayang." Marsha meminta Khaulah mengucup tangan Afrina.

"Awak datang dengan siapa? Awak tinggal sini ke selama ni?" soal Afrina lagi.

"Tak lah. Saya cuma ikut kawan saya. Dia sengaja nak datang singgah ke sini. Esok kami dah nak ke KL pula."

"Esok nak pergi KL? Awak nak datang jumpa Arshad ke? Arshad ada di sini."

"Eh, tak lah. Saya ada urusan lain kat sana. Hmm... Betul ke Arshad ada di sini?"

"Iya lah. Saya datang dengan dia sekali tadi. Awak nak jumpa dia?"

Marsha pantas menggeleng. "Tak apa. Saya rasa saya dah kena pergi ni. Nanti kawan saya cari pula. Saya pergi dulu ya. Assalamualaikum." Marsha menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Afrina. Dia pantas pergi dari situ bersama Khaulah.

Tak berapa lama kemudian, seorang lelaki datang memeluk bahu Afrina.

"Sayang cakap dengan siapa tadi?"

Tersalah Jodoh (COMPLETE)Where stories live. Discover now