bab 1 ☼

297 39 28
                                    

TEPI!Seorang gadis menjerit bingit begitu cuba menghalau rakan-rakannya supaya ke tepi, memberikan ruang kepadanya untuk memakai kasut. Dia mengepit kedua belah kasut sekolahnya turun dari rak kasut.

“Perlahanlah sikit suara!” Syu, salah seorang sahabatnya mengibas tangan ke bawah, menyuruh kawannya yang satu itu perlahankan sikit suaranya.

“Suka hati akulah!” Makin kuat pula oktaf suaranya naik.

“Heyn, orang tengok.” Nia mencuit lengan Heyn sambil jari telunjuknya menunjuk blok bahagian atas.

Gadis bernama Heyn itu menoleh ke kiri dan ke kanan berulang kali. “Mana? Mana?”

Benar saja apa yang diperkatakan Nia tadi. Rata-rata manusia dari aras atas menjenguk ke arahnya melalui tingkap bilik tingkatan masing-masing dengan tatapan aneh.

Heyn tayang muka toya. Fikir dia peduli?

Rakan-rakannya menggelengkan kepala. Buat perangai betul la.

“Kau ni...” Syu tolak perlahan lengan Heyn.

“Apa?” Dahi Heyn dikedutkan.

Syu tak berkata apa-apa. Begitu juga rakannya yang lain. Buat sakit tekak aje borak dengan Heyn. Bukan dia nak ambil kisah pun.

Tumpuan kepada Heyn beransur hilang. Semuanya kini sudah meninggalkan bilik tingkatan mereka. Rakan sekelas Heyn yang lain juga turut berjalan meninggalkan tempat letak kasut itu dan menuju ke kantin memandangkan bunyi loceng rehat baru saja berbunyi.

“Jom.” Syifaa bersuara mengajak mereka segera ke kantin. Lambat nanti, nasi habis!

Mereka berjalan meninggalkan perkarangan makmal komputer itu sambil di tangan masing-masing membawa buku-buku yang digunakan untuk mempelajari subjek Sains Komputer sebentar tadi.

Heyn memberi ruang kepada rakan-rakannya untuk berjalan terlebih dahulu sebelumnya. Dia sejenis yang lebih suka berjalan di belakang orang.

Tiga rakan di hadapannya berbual sesama sendiri. Heyn menggelengkan kepala mendengar topik utama yang diketengahkan. Pasal betapa susahnya bab baru pelajaran Sains Komputer tadi. Heyn malas mahu membuka mulut membahas topik itu walaupun dia akui ada benarnya setiap percakapan yang keluar dari mulut rakan-rakannya.

Sudahnya, gadis bernetra hitam itu melilarkan matanya mengamati kawasan sekeliling. Dia menoleh ke tepi, ke arah blok tinggi yang banyak menempatkan kelas-kelas pelajar tingkatan lima. Kebanyakan kelas telah pun kosong.

Melainkan satu kelas, berada di tengah-tengah aras.

Kelas itu tidak kosong. Isinya seorang pelajar lelaki berbaju biru menunduk khusyuk. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membacakan sesuatu.

Seketika, kedua-dua kening Heyn terangkat. Matanya tidak lekang dari melihat lelaki itu. Ada terselit kagum juga kepadanya kerana dia sanggup korbankan masa makannya demi membaca Al-Quran.

Entah kenapa dan mengapa, dia tiba-tiba tidak boleh menarik pandangannya dari terus memerhati lelaki tadi. Raut wajah yang putih suci beserta tenang itu membuatkan hatinya dijentik sesuatu.

Satu perasaan yang aneh.

Lelaki itu seperti dia pernah lihat sebelum ini. Mukanya seakan familiar, seperti pernah muncul dalam hidupnya tetapi tidak.

Sekejap-sekejap dia menoleh ke depan, memerhati langkahnya. Sekejap-sekejap, dia menoleh memandang ke arah lelaki tadi.

Berbeza dengan lelaki itu, sedikit pun dia tidak mengangkat pandangannya dari menatap ayat-ayat suci Al-Quran di tangannya.

Langit JinggaWhere stories live. Discover now