bab 28 ☼

79 18 23
                                    

"BALIKLAH, negara asal kau! Tak malu ke duduk menumpang dekat negara orang?"

Makanan ruji seorang Izz Uzair sehari-harian bukanlah nasi lemak, nasi berlauk sambal di kantin sekolah atau sebarang jenis juadah yang dijual di kantin sana.

Makanannya rujinya merupakan setiap ejekan, tomahan, hinaan dari rakan-rakan sekolahnya.

Izz masih boleh menerima. Dia tidak kisah disuruh pulang ke negara asalnya. Dicarut menggunakan perkataan tidak sepatutnya dalam bahasa kebangsaannya.

Dia sakit hati, dia diam. Hal ini baginya, sepele. Dia boleh hadap.

Cuma... apa dia tidak boleh hadap bila orang-orang sudah tergamak sampai mengacau privasinya.

Sebagai misal, mengambil buku latihannya dan mengoyaknya.

Oh, ini bukan contoh angan-angan belaka! Ini realitas yang dia sedang hadap sekarang.

Helaian demi helaian dikoyak, dibuang ke dalam tong sampah.

Kedua tangan Izz dipegang dari belakang. Leher Izz ditekan secara paksa kebawah. Tak kira berapa banyak kali dia memberontak, mereka tidak ambil endah. Seronok mereka mentertawakan budak lemah di bawah cengkaman buruk mereka itu.

"Aku nak tolong kau je, Izz..." Ashraf mengoyak helaian seterusnya; helaian terakhir buku latihan Izz. Dia menggeleng kepala melihat nota Sejarah Izz. "Salah banyak ni. Aku taknak cikgu marahkan kau je. Sebabtu aku tolong kau."

Kulit buku Izz dibelek. "Eh? Habis dah nota kau?" Ashraf ketawa bebas. "Okey... mana 'terima kasih' aku?"

Luluh hati Izz melihat gumpalan-gumpalan kertas notanya bergelimpangan penuh menyedihkan di atas lantai koridor. Bekas tapak kasut melekat pada rata-rata permukaan kertas buku latihannya.

Usahanya, sia-sia.

Dia bergadang, sia-sia.

Manusia di hadapannya ini, sia-sia hidup di muka bumi ini.

"Saya gak pernah minta..." lirihnya, menelan sebak dalam hati.

Tak boleh menangis. Anak jantan tak boleh menangis, nanti dicela mereka.

Ashraf berdecit. "Sombongnya kau ni... terima kasih pun nak berkira?" Dia mendekati Izz, bertinggung di hadapan lelaki itu.

Jari telunjuknya menolak dagu Izz ke atas supaya mereka bertentang mata. "Hm? Izz Uzair?"

Sirat amarah terisi dalam netra mata Izz. Pupil matanya berubah menjadi besar daripada saiz kebiasaan.

Dia teringin sangat meludah ke muka Ashraf. Sumpah. Cuma, dia tak berani.

Dia, kan, pengecut menurut mereka.

Izz menahan kesal dalam hati. Pembuli-pembuli ini punya pengaruh besar, berasal dari keturunan keluarga kaya-raya, buatkan Izz kesal tak berkesudahan mengenangkan itu kerana dia tak boleh lakukan yang sembarangan.

Salah seorang dalam kalangan para pembuli ini anak kepada pengetua sekolahnya. Disedut masuk sekolah ini atas nama bapanya.

Orang itu, Ashraf namanya.

Pernah sepanjang tiga tahun dia dibuli, dia melaporkan kepada pengetua. Pengetua cakap apa?

Beliau menyuruhnya memafkan sikap anaknya yang entah-entah itu.

Keeseokannya, Izz ditumbuk dengan teruk oleh Ashraf di bahagian perut dan dada. Amaran yang menggerunkan diberi sekalian.

Mulai hari itu, Izz tidak memberitahu siapa-siapa lagi. Tak melaporkan kerana semuanya sia-sia. Tuntutan keadilan yang dia pinta tidak pernah diberikan.

Langit JinggaWhere stories live. Discover now