bab 7 ☼

102 22 8
                                    

WAKTU rehat hari ini, Heyn seorang diri tanpa rakan-rakannya di sisi. Mereka sepakat rehat dan membeli roti di koperasi. Heyn terlampau lapar menjadikan seleranya tidak boleh telan makanan lain selain nasi. Itulah sebabnya dia seorang diri saja ke sini.

Kunyahan nasi goreng dalam mulut Heyn terhenti. Sosok pengawas lelaki yang dia kagumi selama ini sedang tegak berdiri tidak jauh dari tempat duduknya. Pengawas itu sedang meninjau kawasan kantin. Dia bersedekap dada sambil sesekali tersenyum kepada beberapa pelajar lelaki yang lalu-lalang melepasinya.

Heyn memandang lelaki itu tidak lekang. Bagai punya magnet pada tampang Iman yang menarik mata Heyn untuk menatapnya lagi dan lagi.

Sambil kunyah, sambil hujung sudut bibir Heyn menahan diri dari tercengar-cengir. Dia menundukkan tatapannya sementara tangannya mengasingkan sayur taugeh dari butir-butir nasi gorengnya.

Dan apabila Heyn menaikkan semula kepalanya, matanya dan mata Iman tanpa sengaja bertemu.

Satu saat...

Dua saat...

Tiga saat...

Pap! Cukup tiga saat yang singkat itu bahu Heyn terhinjut ke atas. Dia memandang gerangan yang datang bertandang ke mejanya tanpa diundang.

"Bongoklah, Syu!" carutnya geram kepada Syu kerana hampir memberikan dia penyakit jantung. "Datang meja orang tak bagi salam, hempuk buku pula tu," omel Heyn perlahan.

Syu tidak membalas. Dia sekadar menarik nafas sedalam-dalamnya. Kawannya itu nampak gaya macam nak terputus nafas.

"Kau dah kenapa? Mana Fafa dengan Nia?"

"Aku baru nak tanya kau!" Syu membuka botol air mineral yang dia beli di koperasi tadi lalu meneguknya rakus. "Dia orang tinggal aku. Tak guna betul," umpatnya sehabis meghilangkan dehidrasi.

"Eh? Pergi mana?"

"Manalah aku tahu! Aku fikir dia orang ada dengan kau sebab tu aku datang sini." Syu menyeka peluh di serata mukanya menggunakan tisu.

"Pergi tandaslah kut," teka Heyn. Kalau bukan kantin dan koperasi, tempat kegemaran mereka semasa rehat adalah tandas.

"Tak ada mulut ke nak bagitahu aku?" Syu bersuara menyampah. Bitter ni bitter!

Heyn melepaskan tawa kecil. Syu cakap benda serius pun kelakar, benda kelakar pun kelakar.

"Kau nak tak?" Sekian lama diam, Heyn bersuara semula. Dia menawarkan nasi goreng kantin kepada Syu. Setengah pinggan lagi belum habis. Dia tak boleh habiskan sebab pundi kencingnya tiba-tiba buat hal!

"Boleh." Laju Syu setuju. Bab makan memang dia laju. Apatah lagi kalau makanannya percuma.

"Habiskanlah. Aku nak pergi tandas kejap."

"Okey." Syu mengangguk. "Kalau nampak dua malaun tu tolong piatkan telinga dia orang untuk aku." Dia masih berdendam.

Heyn ketawa. Dia mengangguk-anggukkan kepala. "Noted."

Heyn lantas berlalu pergi. Dia berjalan menuju ke arah tandas yang terletak berhampiran blok tingkatan tiga. Sikit lagi jarak dia ke sana, dia teringat pula ada pengumuman semasa perhimpunan tadi mengatakan masalah pam tandas tersumbat di blok tingkatan tiga. Heyn mengeluh. Terpaksalah dia pergi tandas berdekatan surau pula.

Bukan main jauh surau dengan kedudukannya sekarang. Terkencing dulu dia dekat sini sebelum sampai tandas dekat surau sana.

Mengeluh punya mengeluh, sampai juga dia di tandas. Heyn masuk. Dia seorang saja dalam ini. Tak nampak pula bayang Fafa dan Nia. Pergi manalah dua orang ini?

Tak sampai lima minit Heyn keluar semula sesudah melepaskan hajatnya. Basuh tangan, dia melangkah keluar dari tandas.

Heyn disambut dengan sebuah pemandangan indah yang tak dia duga sebaik keluar dari tandas.

Laju betul Iman sampai sini! Tadi bukan ada dekat kantin ke? Dia makan ke tak?

Lelaki itu berada di hadapannya. Tak adalah betul-betul berhadapannya tetapi dia masih boleh nampak Iman dari tempat dia berdiri sekarang ini.

Iman duduk di atas kerusi batu sedang sibuk membuang stoking di kakinya. Lengan baju birunya disenteng hingga ke siku, barangkali hendak menunaikan solat.

Solat apa pagi-pagi buta begini?

Lelaki ini tak makan ke?

Gadis itu kekal berdiri di situ dan memerhatikan gerak-geri Iman yang sibuk membuang stoking pada kali sebelah kirinya pula. Lelaki itu lagaknya seperti sedang berada dalam dunia sendiri. Dia langsung tidak hiraukan persekitaran sekelilingnya. Lebih-lebih lagi tidak mengesan sepasang mata Heyn yang sedang memerhatikannya.

Begitu dia tak perasankan kewujudan gadis tersebut sehinggalah dia selesai membuang stokingnya dan berlalu pergi untuk mengambil wuduk tanpa menoleh ke belakang.

Heyn berdiri statik di tempatnya. Terpana. Ini sudah kali ke berapa dia bertemu dengan Iman dan kenyataan itu tak pernah mengubah reaksinya setiap kali terpandangkan muka lelaki itu. Jantungnya pasti akan mengepam darah dua kali ganda lebih laju dari kebiasaan.

Mengingatkan situasi di kantin tadi dan beberapa pertemuan, perbualan kecil yang pernah berlaku antara dia dan Iman membuatkan pipinya tiba-tiba berbahang tanpa amaran.

Ah, adakah dia memang sudah benar-benar jatuh cinta?

Adakah arti kata 'Butterflies in my stomach' frasa nukilan Bill Gardener itu sedang dialaminya?

Tapi, yang paling penting...

Adakah patut dia punya dan pendam perasaan ini atau tidak?

USAI menceritakan bebannya kepada Sang Pencipta, dada Iman yang membuncah dengan pelbagai perasaan kini sudah ringan, bagai diangkat bebanannya. Otaknya juga sudah tidak seserabut sebelum ini.

Iman membaringkan badannya di atas karpet surau. Dia mengiring ke kanan, menghadap penghadang kayu antara saf lelaki dan perempuan.

"Kamu kenapa di sini?"

"Err... tadi saya tertinggal kotak pensel."

"Lepas tu saya nampak kipas bahagian lelaki berpusing, saya ingat ada orang lupa tutup suis kipas. Saya nak tolong tutupkan."

Memori tentang siswi yang tersesat masuk ke saf bahagian lelaki tempoh hari menggelitik sudut fikirannya. Siswi itu... siswi yang sama takutkan Cikgu Adibah sampaikan sanggup datang jujur kepadanya. Iman tanpa sedar tertawa kecil mengingatkan peristiwa itu.

"Imut, ya," pujinya tanpa sedar.

Kemudian apabila tersedar, Iman mengusap wajahnya, "Astaghfirullahal'azim..." Iman menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia baru saja memikirkan tentang ajnabi. Pemikiran yang tak patut ada dalam otaknya.

Iman buru-buru memasang stoking ke kakinya. Rehat berbaki lebih kurang lima minit. Dia perlu segera balik ke kelas.

Langit JinggaWhere stories live. Discover now