“STOKING? Mana stoking?” Heyn gelabah mencari sepasang lagi stoking hitamnya yang hilang entah ke mana. Dia sumbat dalam kasut sekolah dia semalam tapi kenapa tak ada?
Heyn kerling jam dinding. 6.50 pagi. Memang betul-betul sudah lewat. Kebiasaan waktu-waktu begini jasadnya sudah selamat duduk atas bangku kereta.
“Apa lagi tu, Heyn? Cepat! Dah lambat!” Muncul Tuan Rosmanizam di muka pintu. Dia mencekak pinggang melihat kegelabahan anaknya.
“Jap, pa! Buku! Nak ambil buku!” Heyn putus asa untuk cari sebelah lagi stokingnya. Dia berlari anak naik biliknya. Buku yang terletak di atas meja studinya diangkut. Semua buku itu entah ikut jadual atau tidak. Dia tak peduli!
Beg sekolah digalas sebelah bahu. Sebelah bahu lagi tersangkut beg telekungnya. Buku-buku dalam pelukannya nampak tak beraturan, beberapa buah hampir jatuh mencium tanah tapi sempat dia kawal supaya tidak berteraburan. Dia memijak kasut sekolahnya begitu saja tanpa mengikatnya dengan kemas.
Heyn buka pintu kereta. Dia menghembuskan nafas. Penat!
“Okey, pa.” Peluh yang merinik di bahagian atas bibir dan dagunya dilap. “Jom.”
Tuan Rosmanizam menggelengkan kepala berkali-kali. “Lain kali jangan bangun lewat sangat,” pesannya singkat. Dia seorang yang tak berminat untuk membebel panjang. “Tidur lewat ke semalam?”
Heyn angguk kecil. “Haah.”
“Buat apa? Study?” selidik Tuan Rosmanizam. Pelik kalau Heyn mengaku dia study. Anak daranya itu kalau tak ada peperiksaan atau ujian penting, sampai kesudah tak ada nak study punya.
“Haah. Ada study sikit sebab hari ni cikgu kata nak buat ujian.” Heyn mengetap bibirnya setelah mengeluarkan auta.
Oh, tentulah dia tidur lewat semalam sebab main Roblox!
“Heyn kena pandai urus masa. Baguslah study tapi jangan sampai lewat malam sangat study. Otak kita perlukan rehat juga.”
Gadis itu mengangguk perlahan. Tudung yang senget dibetulkan. “Okey, pa.”
Sebelas minit perjalanan, dia tiba di sekolahnya. Semasa tiba, kenderaan-kenderaan lain sedang sesak di hadapan sekolahnya. Heyn memandang itu sedikit mengeluh. Dia tak suka tempat sesak tapi salah dia jugalah. Bangun lewat, sampai sekolah pun lewat.
Dia membetulkan kedudukan begnya. Berat akibat tak mengikut jadual semalam. Bertambah bebannya dengan buku-buku dalam pegangannya ini.
Heyn mengirai kain sekolah supaya kakinya yang tidak dibalut stoking itu tidak kelihatan. Lagi-lagi, dia mengeluh.
“Pagi-pagi lagi macam dah malang je nasib aku,” tuturnya seorang diri.
Dia berjalan lambat-lambat, mengambil risiko menggunakan jalan jauh untuk ke kelasnya. Kejap lagi sampai ke kelas, mesti melecet ketiaknya. Tak apa, dia sanggup. Asalkan tak payah bersesak-sesak dengan pelajar lain. Dia rimas!
Heyn tidak kuat lagi menampung berat dalam pelukannya dan berat di bahunya. Dia pun duduk di tengah-tengah susur gajah berhampiran stor sukan.
“Haih!” Kuat keluhannya. Tak apa. Tak ada orang dengar.
“Menyusahkanlah sekolah ni! Kalau tahu nasib aku pagi ni macam ni, tak datang pun tak apa! Meluat!” gerutunya geram. Tak pasal-pasal sekolah pula dia salahkan.
Heyn sambung menggerutu kuat-kuat. Beberapa perkataan kesat keluar dari mulutnya untuk melempiaskan perasaan frustasinya pagi itu.
“Bodohlah!” Dia menepuk buku-bukunya yang tidak bersalah itu. Merasai sakit yang menjalar akibat tingkahnya, dia menjerit pula, “sakit, siut!”
YOU ARE READING
Langit Jingga
Teen Fiction[KNOWN AS: HEYN + IMAN] Cerita biasa. Perihal dua manusia berkongsi cerita di bawah lentera dunia. Cerita biasa. Bagi dua jiwa nelangsa yang cuba berdamai dengan duka. Cerita biasa. Kedua mereka mencipta cereka dan menjadikan saksi mereka langit jin...