Chapter 2

349 12 3
                                    


Nadia P.O.V


Hujan lebat dan kedinginan mengganggu lenaku kerana teringatkan atap rumah pusaka arwah ibu bapaku yang kebocoran aku pantas bangun dari pembaringan. Aku sempat memeriksa keadaan Naira yang tertidur pulas di sebelahku sebelum segera bangkit berdiri untuk mengambil baldi kosong di tepi pintu tandas. 

Langkah ku terhenti kerana iba-tiba sahaja kedengaran ketukan bertalu-talu dari arah pintu utama rumah usang tersebut. Aku mengerling jam dinding yang menunjukkan jam 2.00 pagi. 'Siapa pulak yang datang pagi-pagi buta ni?' Aku berjalan ke arah tingkap yang terletak bedekatan dengan pintu utama untuk memeriksa dahulu siapakah gerangan yang datang ke rumah ku pada jam sebegini. Daun tingkap ku selak sedikit sebelum terlihat Mail yang sedang sibuk mengetuk pintu. Mail merupakan satu-satunya orang kampungku yang rapat denganku. Teman rapatku semenjak sekolah rendah. Aku sempat mencapai tudung yang tersangkut di atas kerusi kayu dan memakainya sebelum segera berlari ke arah pintu kerana mungkin ada kecemasan yang membuatkan Mail ke rumahku pada jam sebegini. 

"Assalamualaikum Nadia! Cepat-cepat kemas Nadia! Air naik! Air naik! Nak banjir ni!" Suara cemas Mail menyapa gegendang telingaku sejurus sahaja aku membuka pintu. 

"Haaa??!! Banjir??! Kau biar betul Mail?" Aku bersuara dengan nada terperanjat kerana sangkaku hanya hujan lebat biasa. Sememangnya kampung ku sering banjir semasa aku kecil kerana hampir dengan tebing sungai Pahang. 

"Ya! Banjir ni. Kau pergi ambil Naira dulu bagi aku dukung dia sementara kau kemas-kemas apa yang patut. Cepat sikit! Setengah jam hujan memang naik ke rumah air ni nanti." Mail memberiku arahan, aku hanya mengangguk faham dan segera berlari ke dalam rumah sementara Mail masih setia menanti di muka pintu. 

Aku segera mencempung Naira perlahan-lahan supaya kekal lena. Tubuh Naira aku tutup dengan sehelai lampin sebelum menghulurnya kepada Mail. 

"Dia tengah tidur tu. Jaga kejap erk. Aku pergi kemas dulu apa yang patut." Mail hanya mengangguk sambil menghulurkan tangannya untuk menyambut Naira yang masih lagi lena tidur di dalam dukunganku. 

Aku masuk kembali ke dalam rumah dan segera mencapai sebuah beg galas yang berada di atas meja di dalam bilikku yang mengandungi keperluan Naira. Beg bimbit kecil kepunyaanku yang mempunyai dokumen-dokumen penting turut aku capai. Pakaianku tidak sempat untuk aku kemas kerana pakaian Naira lebih penting berbanding kepunyaanku. Aku mengerling jam di tangan sudah hampir jam 2.25 pagi. 'Tak sempat dah ni. Takpelah barang Naira lagi penting.' 

"Nah ambil payung ni. Bagi aku beg tu." Aku hanya mengangguk dan menuruti saranan Mail. Mail menyerahkan Naira kepada ku. Payung aku ambil dengan tangan kiriku. Aku duduk di seat belakang motor kepunyaan Mail sambil mencempung Naira. Motor Mail mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah ku meredah banjir yang sudah naik ke paras betis menuju ke pusat pemindahan sementara. 


________________________________________________________________


Sampai sahaja di pusat pemindahan sementara, semua mata menyoroti aku dan Mail yang baru sahaja tiba di situ. Aku yang sedang mendukung Naira berjalan perlahan-lahan di belakang Mail sambil tertunduk. 

"Mail kau pergi mana??! Berapa kali dah aku cakap jangan berkawan dengan budak tak bertuah ni??!" Suara nyaring Mak Besah  menyapa gegendang telingaku yang turut berada di situ 'menyambut' kedatanganku dan anak kesayangannya. 

"Dah-dah lah tu mak. Banjir-banjir pun nak marah-marah ke? Pergi kat kaunter tu Nadia. Daftar dulu. Lepas tu kalau ada apa- apa bagitahu je aku. Bagi aku pegang Naira tu dulu. Kau settle kan dulu apa yang patut." Mail bersuara sambil menghulurkan tangannya untuk mengambil Naira. Aku teragak-agak untuk menyerahkan Naira kepada Mail kerana mata Mak Besah masih merenung aku dan Mail dengan tajam. Mata Naira masih terpejam  tanda masih terlena meskipun keadaan disini sedang hingar bingar. Naira sememangnya susah untuk terjaga kalau sudah tidur pulas.  

"Kau jangan nak pegang-pegang budak tu Mail??! Entah anak dia dengan siapa pun kita tak tahu?! Nilah budak-budak sekarang.. Kerja jauh-jauh lepas tu balik kampung entah bawak anak dari mana!!" Mak Besah bersuara dengan nada tinggi sambil merenung tajam ke arah Mail yang sedang mendukung Naira. Aku yang berdiri di kaunter pendaftaran hanya pasang telinga mendengar perbualan mereka di situ. Rata-ratanya mencaci dan menghina diriku. 

"Ni anak Nadia dengan suami dia mak. Dia dah kahwin lah. Berapa kali dah Mail bagitahu. Mak tu je yang taknak percaya. Percaya sangat dengan cakap Mak Tam tu. Lagipun dia memang takde siapa-siapa dah kat kampung ni. Takkan tiba-tiba nak buat kenduri kat sini pulak?" Orang-orang kampung hanya berani berbisik-bisik kalau Mail bersuara kerana semua orang kampung tahu yang Mail ni 'kaki langgar'. Nak kata samseng, bukan seorang samseng kerana dia seorang yang baik dan sentiasa bantu orang kampung dalam kesusahan. Tapi kalau bab gaduh dengan kampung seberang memang Mail lah orang nombor 1. 

"Kau sorang je Mail yang percaya dengan cerita Nadia tu. Mana orang kampung lain percaya. Bukan Mak taktahu kau tu dah lama berangan nak kahwin dengan Nadia. Last-last dapat si Senah Ronggeng yang tahu makan tidur tu je." Mak Besah berkata sambil melangkah ke arah Mail yang mendukung Naira. Mak Tam Hawa juga mengekori langkah Mak Besah. Mail hanya mendiamkan dirinya mungkin sudah muak berlawan kata dengan emaknya. 

"Eh, comel jugak budak ni ye. Siapa suami kau tu Nadia? Mat Saleh ke? Kemain taste kau ye, patutlah Mail yang bukan main segak ni kau tak pandang." Mak Tam Hawa yang celupar ni dah mula membuka mulut. Kalau mulut Mak Besah aku boleh tahan lagi. Tapi kalau mulut yang satu ni memang sebelum zaman perang dengan Jepun pun memang aku nak cili! Bukan aku tak tahu Mak Tam Hawa ni pun berangan jugak nak kahwin dengan Mail ni. Tak padan dengan janda anak 2! Aku pantas melangkah menghampiri Mail untuk mengambil Naira dari dukungannya. Bukan boleh percaya sangat nenek-nenek kebayan ni. Karang tak pasal-pasal dicubitnya Naira! 


"Eh, Nadia??! Nadia kan??! Nadia buat apa kat sini?!" Suara seseorang yang seperti ku kenal menyapa gegendang telingaku. Mataku segera menyoroti suara tersebut. Mataku mula bergenang. Perlahan-lahan air mataku menitis. 

6 Bulan Mencari Cinta 2 (On Going)Where stories live. Discover now