Dua hari kemudian...
Pagi-pagi lagi Aisyah sudah bangun menyiapkan makanan dan bersiap untuk menyambut kedatangan Aathif sekeluarga. Hari yang dijanjikan telah pun tiba. Dalam beberapa jam sahaja lagi, dia akan bergelar tunang kepada Aathif.
Tak sia-sia dia percayakan lelaki itu. Akhirnya, dia akan bergelar tunang kepada lelaki yang dia cintai. Kemudian? Kahwin! Seronoknya hati!
"Kamu bersiap-siap ni nak ke mana?" Tanya Asma.
Bakul kain jemuran dipegang erat. Mulanya, dia mahu ke halaman belakang rumah untuk ambil kain jemuran. Namun, melihat Aisyah yang melaram di pagi-pagi buta membuatkan dia terkejut.
"Ibu lupa ke? Mak ayah Aathif nak datang hari ni," jawab Aisyah sambil tersenyum manis.
"Untuk apa?" Tanya Asma lagi.
"Lah, ibu ni. Diaorang datang nak masuk meminang Aisyah lah. Kan Aisyah dah bagitahu Ibu dua hari lepas," kata Aisyah.
"Hanif tu macam mana? Kan Ibu dah kata Ibu tak nak Aathif," balas Asma.
Aisyah bangun dari duduknya. Bahu Asma dipegang dan digosok perlahan.
Malas sungguh dia mahu bertekak dengan Ibu pagi-pagi ni. Dia mahu aura positif tersimpan di dalam diri.Kalau dia bertekak, nescaya Ibu langsung akan moody. Nak tak nak, dia perlu bersabar dengan sikap Ibu. Sejujurnya Aisyah sendiri tak tahu kenapa Asma tak suka dengan Aathif.
Jika hanya disebabkan Aathif masih belum dapat karier yang tetap, Aisyah rasa itu bukan satu masalah pun.
"Ibu jangan lah macam ni. Aisyah dah besar, Aisyah dah tahu mana baik dan mana buruk. Aisyah bukannya kenal dengan Aathif tu baru sehari dua. Dah bertahun Aisyah kenal dia. Aisyah tahu dia tu macam mana," pujuk Aisyah.
"Syah, Ibu tak nak Aisyah hidup susah macam Ibu. Kita duduk rumah kampung je Syah. Siapa nak jenguk Ibu kalau Aisyah berkahwin dengan Aathif, lepastu duduk dekat KL sana?" Balas Asma.
"Siapa nak jaga makan minum Aisyah? Kita tak ada saudara dekat KL tu, Syah. Kalau Aisyah susah, siapa nak jaga Aisyah?" Tambah Asma.
Sebagai Ibu, bermacam-macam soalan pasti bermain di minda. Asma juga begitu. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Mampu ke Aathif menyara anaknya? Boleh ke Aathif jaga Aisyah dengan penuh kasih sayang? Itu yang buatkan dia tertanya-tanya.
Langkah kaki Asma dibawa menuju ke kerusi. Bakul kain diletakkan di sebelah. Entah mengapa, sayu pula hati apabila satu-satunya anak perempuan yang dia dan suaminya ada, kini sudah besar.
"Ibu jangan lah cakap macam ni. Aisyah dah bincang semua dengan Aathif pasal benda-benda macam ni. Kitaorang dah setuju akan balik jenguk Ibu setiap minggu. Lagipun sekarang Aathif dah ada kerja tetap. Interview kerja yang dia pergi tu dah lulus dah pun. Esok dia akan mula bekerja dekat company tu. Kerja-kerja sambilan yang dia buat selama ni, untuk kumpul duit kahwin juga," kata Aisyah.
"Ibu risau lah, Syah. Kenapa Aisyah tak pilih je Hanif tu? Hanif dah ada semua dah. Kenapa Aisyah sanggup pilih Aathif yang baru nak mula menabung?" Tanya Asma lagi.
"Kan Aisyah dah kata dekat Ibu, Aisyah tak nak si Hanif tu. Kalau dia buat jahat dengan Aisyah, macam mana? Aisyah tak nak korbankan waktu Aisyah dengan orang yang Aisyah tak kenal," jawab Aisyah.
Asma diam sejenak. Ada betul juga dengan apa yang Aisyah kata. Hanya disebabkan Hanif mempunyai segalanya, tak bermakna Hanif dapat menjaga Aisyah dengan baik.
Tapi Asma juga tak boleh menolak kemungkinan yang Hanif tu memang berperwatakan baik. Mungkin raut wajahnya garang, namun hanya beberapa minggu sahaja berkenalan dengan Hanif di klinik tempoh hari, sudah membuatkan Asma suka dengan lelaki itu.
Bukan itu sahaja, sebaik sahaja Asma memberitahu tentang Aisyah, raut wajah Hanif berubah. Seakan-akan teruja dan terlampau gembira pada masa yang sama. Pada ketika itu lah, dia tahu Hanif boleh dijodohkan dengan anaknya, Aisyah.
"Aisyah," panggil Asma dengan nada yang perlahan.
Tangan Aisyah digenggam erat. Ditatap mata anaknya itu. Sepasang mata persis si suami membuatkan dia bertambah sayu di hati.
"Kalau Aisyah rasa Aisyah dah buat keputusan yang betul, Ibu restu dan redha dengan keputusan Aisyah bersuamikan Aathif. Ibu hanya berharap yang Aathif dapat jaga Aisyah sepenuh kasih sayang," ujar Asma.
Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Aisyah juga turut bersedih. Sekian lama dia meminta restu daripada sang Ibu, akhirnya Ibu berikan juga apa yang dia mahu.
"Ibu jangan risau. Aisyah janji yang Aisyah akan jadi anak yang baik untuk Ibu," janji Aisyah.
Mungkin, sudah tiba masanya untuk Asma bertolak-ansur dengan keputusan anak perempuannya. Mungkin apa yang dijanjikan Aisyah sekarang, kelak akan ditunaikan oleh Aathif.
Laju Aisyah memeluk Asma sambil tersenyum gembira. Rasanya tidak terlambat lagi untuk dia memberitahu hal ini kepada Aathif.
"Ibu pergi lah siap-siap. Kejap lagi diaorang nak datang. Aisyah dah siapkan makanan dah tu, nanti kena panaskan je," ujar Aisyah.
"Ye lah. Lepas ambil kain jemuran, Ibu siap-siap ye," kata Asma mengangguk perlahan.
Air mata diseka sebelum dia bangun dan berjalan turun ke halaman belakang rumah. Aisyah pula mencapai telefon pintar miliknya.
Abang, ada berita gembira.
Ye? Aisyah tak sabar nak tunggu abang sampai ke? Hahaha
Ish, Ibu dah restu hubungan kita lah, abang!
Ya ke ni? Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah.
Penat tau Aisyah pujuk Ibu. Setelah sekian lama, baru Ibu nak setuju.
This is why you're the apple of my eye, sayang.
Ish abang ni, nak sweet-sweet pula
Pandai ambil hati orang tua. Tak sabar abang nak tunjuk sayang dekat mak abah. Abang confirm yang diaorang pun akan suka dengan Aisyah nanti.
Hehe. Abang datang lah cepat. Aisyah dah masakkan makanan favorite abang.
Wait for me. Tak sabar nak makan makanan dari air tangan bakal isteri abang.
Tersenyum Aisyah dibuatnya. Itu lah Aathif, pandai buat orang tersenyum.
Nafas dihela tanda beban di bahu semakin ringan. Telefon diletakkan di atas meja kopi sebelum dia bangun dan turun ke halaman rumah.
Sementara Ibu sibuk mengambil kain jemuran, pokok-pokok di halaman rumah boleh lah dia siram sekejap.