2021
Derapan kaki milik Aathif kedengaran laju berlari ke arah kekasih hati. Sekuntum bunga segar digenggam erat sambil menjerit memanggil Aisyah.
Laju sahaja Aisyah berjalan, mengendahkan panggilan Aathif. Masam mencuka wajah Aisyah menahan merajuk yang makin membuak-buak.
"Sayang," panggil Aathif lagi.
"Apa sayang-sayang?!"
Mendengus sahaja Aisyah apabila melihat Aathif tersenyum-senyum kambing. Sekuntum bunga ros berwarna merah dihulurkan kepada Aisyah.
"Ambil lah ni..."
"Tak nak," balas Aisyah laju. Kakinya kembali berjalan ke hadapan, nak ke mana, dia sendiri tak tahu.
"Sayang," panggil Aathif lagi. Suaranya tetap lembut dan bernada perlahan.
Rentak kaki Aisyah cuba dia ikuti. Senyuman manis di bibir Aathif tetap terukir melihat kerenah Aisyah yang seperti keanak-anakan. Dah nama pun sayang, hutan api bara pun sanggup ku redah!
"Aisyah sayang...," panggil Aathif lagi.
Aathif mengelus lembut tangan Aisyah. Pantas sahaja Aisyah menepis tangannya. Kemudian, kedua-dua tangan itu memeluk diri sendiri. Tanda protes terhadap Aathif.
Aathif memandang ke langit. Cahaya matahari semakin pudar, tersekat di sebalik gumpalan awan gelap yang mendominasi langit. Angin sepoi-sepoi mula bertiup kencang, membawa udara lembap yang menyejukkan kulit.
"Merajuk pun comel," pancing Aathif.
Aisyah masih dengan lagaknya, merajuk tak tentu pasal. Mana kan tidak, sudah beberapa kali dia memberi petunjuk kepada Aathif sejak satu jam yang lepas.
Mahu dijadikan cerita, mereka baru sahaja berjalan-jalan di Pasar Seni. Terjumpa pula sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis bunga. Sudah menjadi lumrah seorang perempuan, siapa sahaja yang tak suka dengan bunga, kan?
Tapi, dah nama pun lelaki, mana nak faham semua tu...
"Cantik kan bunga ni?"
"Iya, cantik"
"Abang, bunga ni lawa lah"
"Ha'ah, lawa sangat"
Aisyah kata satu, Aathif balas satu. Langsung tak ada fahaman tentang perempuan lah Aathif ni!
"Hari macam nak hujan je ni. Hujan-hujan macam ni, pekena laksa utara pun sedap juga kan?"
Aisyah diam. Heh, orang tengah merajuk, dia sibuk fikir pasal makanan. Tak romantik langsung.
"Jom kita pergi makan nak tak? Abang dah lapar dah ni," Soal Aathif.
"Tak nak. Makan lah bunga tu kalau dah lapar sangat," balas Aisyah selamba.
Aisyah berhenti, jari diarahkan ke bunga ros yang masih dipegang oleh Aathif.
"Bunga tak boleh dimakan, sayang. Bunga boleh disimpan dan ditanam dalam pasu," jawab Aathif.
Geli hati pula bila melihat Aisyah yang sedaya-upaya nak tunjuk perasaan. Sudah lima tahun mereka bercinta, bukannya dia tak tahu cara nak pujuk wanita kesayangannya itu.
"Sayang jangan lah macam ni. Orang lelaki ni tak boleh diberi hint-hint ni. Sayang kalau nak kan sesuatu, kena direct cakap terus. Baru lah abang faham," ujar Aathif.
"Huh. Kalau cakap, baik Aisyah beli sendiri je," pangkah Aisyah pula.
'Dah lima tahun bercinta kot, takkan lah benda mudah macam ni pun Aathif masih tak faham? Ish, menyampah lah!' Getus Aisyah sendirian.