Suasana yang begitu meriah dengan suara gelak tawa kanak-kanak yang berlari ke sana sini membuatkan Hanif mencebik bibir.
Bukannya dia tak suka dengan kehadiran budak-budak tapi, pekikan dan lolongan yang datangnya daripada kanak-kanak di sekitar taman ini sekejap sahaja membuatkan Hanif rasa annoying.
"Meriah pula malam ni," tegur Asma. Matanya melilau memandang ke setiap kawasan yang ada.
Entah ini kali ke berapa Asma ke pasar malam. Selalunya, dia akan mengirim pesanan sahaja kepada Aisyah jika anak perempuannya itu akan ke pasar malam di pekan ini. Paling-paling tak pun, dia akan memaksa arwah suami untuk membawanya ke sini.
Malas lah dia mahu membawa motor peninggalan arwah suami semata-mata untuk membeli alas perut untuk dimakan pada waktu malam. Lagipun, tadika yang Aisyah mengajar tidak jauh dari sini, apa salahnya sekali jalan saja? Tak perlu nak ulang-alik banyak kali.
"Setiap minggu memang ramai budak-budak. Kadang-kadang Aisyah terserempak juga dengan anak murid Aisyah dekat sini," balas Aisyah.
Cawan plastik berisi air keladi dihirup untuk menghilangkan dahaga. Matanya tak lekang melirik melihat pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di pasar malam ini.
Hanif menjeling si isteri. Kalau dah kata kadang-kadang, mesti lah setiap minggu datang ke sini dengan Aathif kan? Hatinya mula tak senang duduk.
"Ibu nak beli apa-apa lagi tak?" Tanya Hanif.
Pergi pasar malam sahaja, habis pokai duitnya. Kalau dia tahu, Aisyah dan ibu suka membazir, pasti dia tak akan bawa mereka berdua. Kos makan di pasar malam untuk bertiga sahaja sudah lebih RM60. Belum lagi dia kira kos barang dapur yang dibeli petang tadi. Mungkin dah lebih RM100 agaknya.
'Mak dengan anak sama-sama boros. Sengkek aku macam ni' Cebik dia dalam diam.
"Tak ada dah kot. Ibu dah beli makanan dengan minuman ibu," balas Asma sambil tersenyum nipis.
Seronoknya di dalam hati apabila dia dapat berjalan bersama menantu. Jiran-jiran sekampung juga ada yang menegur tatkala mereka bertembung di pasar malam.
Tak habis-habis rakannya memuji Hanif. Lelaki penuh gaya lah, kacak lah, tinggi lampai lah. Seronok betul! Tak sia-sia pula rasanya bila Aisyah berkahwin dengan Hanif. Namun, perasaan gembira itu sekejap sahaja menerjah di hati.
Jika diingatkan kembali bagaimana Aisyah dan Hanif bertemu, pasti ramai yang akan bercakap buruk. Pasti juga menjadi topik hangat di sekitar kampung.
"Jom lah kita balik," ajak Aisyah.
Tangan si ibu dipimpin, sambil dibawa berjalan menuju ke pintu keluar. Ramai betul malam ni. Tak sangka pula dia, pasar malam pada hari Rabu boleh menjadi sesak begini.
Mereka mula melabuhkan punggung di dalam kereta Honda milik Hanif, sementara menunggu lelaki itu menghabiskan air di luar kereta. Maklum lah, kalau menghisap rokok di hadapan mak mentua, nanti orang tua tu kata apa pula, kan?
"Kenapa semalam Hanif tidur dekat sofa luar?"
"Ha?" Aisyah memandang Asma. Lagaknya seperti orang yang terkejut melihat hantu.
"Ibu tanya, kenapa Hanif tidur luar semalam?" Persoalan sama ditanyakan semula.
"Hanif kata, nak bagi Aisyah tidur sensorang dulu. Katanya, dia tak nak buat Aisyah nervous kalau dia tidur sekatil dengan Aisyah," tipu dia.
Asma tersenyum. Geli hati pula mendengar jawapan Aisyah. Ada juga orang macam Hanif? Sungguh memahami betul menantunya itu.
"Jangan dibiasakan sangat. Nanti lagi lama ibu kena tunggu untuk gendong cucu," balas Asma. Keropok lekor yang dibeli tadi dikunyah perlahan.
"Ada-ada je ibu ni," kata Aisyah.
Baru je berkahwin, ibu dah demand nak ada cucu. Kalau diikutkan hati, nak je dia ikat rahim. Tak payah ada anak dengan si Hanif tu. Lelaki jahat macam tu, tak payah ada keturunan pun tak apa.
Selang beberapa minit, Hanif mula masuk dan memakai tali pinggang keledar. Terus sahaja dia memandu pulang. Walaupun terasa awkward akan kehadiran ibu mentua, dia berpura-pura berlagak biasa. Kalau tak ada Asma, mahu je dia bawa Aisyah ke tempat lain.
"Esok Hanif cuti lagi kan?" Tanya Asma.
"Ha'ah, cuti. Hari Isnin nanti baru start kerja," jawab Hanif.
"Elok lah tu. Boleh Aisyah bawa Hanif berjalan dekat pekan. Pagi-pagi esok ada pasar tani. Ikan, ayam, ketam semua tu fresh-fresh dekat sana," kata Asma.
Laju Aisyah memandang Hanif. Melihat riak muka lelaki itu sahaja, Aisyah dapat baca apa yang difikirkan oleh Hanif.
'Cakap je lah kau nak habiskan duit aku' Getus Hanif sendirian.
"Ish ibu ni. Gaji pun tak masuk lagi. Kesian Hanif," balas Aisyah.
"Untuk ibu, apa pun Hanif boleh tunaikan," pintas Hanif.
Aisyah mengerling sekilas memandang Hanif yang fokus memandu. Dia tahu, si ibu sudah tersenyum gembira .
'Konon-konon nak jadi menantu terpaling baik lah tu. Heh, mulut manis, siapa je tak rasa cair?' Marah dia dalam diam.
"Ibu bagi duit lah dekat Hanif. Kalau Hanif seorang je keluar duit, koyak dompet dia ibu kerjakan. Ataupun, Hanif bawa je ibu pergi pasar tani esok. Ibu beli lah apa yang ibu nak, pakai duit ibu sendiri," ujar Aisyah.
Nak support ibu, nanti dikata anak ibu punya perangai sama. Kalau support Hanif, nanti kata melebihkan suami pula.
"Amboi, Aisyah. Baru sehari kahwin dah sayang suami ya." Sempat lagi Asma berjenaka.
"Tak ada nya nak sayang. Ibu pun tahu kan, kitaorang kahwin atas dasar apa? Lagipun, kitaorang baru je nak berkenalan," sanggah Aisyah sambil menjeling tajam memandang ke luar jendela.
"Ya.... Ibu tahu." Wanita yang tadi senyum, kini bermasam muka.
Ada betul kata Aisyah. Mereka baru sahaja bertemu. Perkahwinan yang dijalankan pun baru sahaja menggelarkan mereka sebagai suami isteri. Perkahwinan yang jelas bukan datangnya dari atas dasar cinta ataupun suka sama suka, membuatkan Asma juga berasa kecewa.
Nak buat macam mana lagi? Asma tak berani nak memandang mereka berdua. Keropok lekor yang tadi dikunyah di mulut terhenti pergerakannya. Terasa perit pula apabila hendak menelan tatkala dia perasaan bersalah menjamah diri sendiri.
Asma hanya dapat mengharapkan bahawa hubungan di antara Aisyah dan Hanif tak membawa kepada apa-apa masalah di kemudian hari.
-----------------------------------------------------------
Kamus
1. Sengkek/pokai: miskin/ tak ada duit
2. Sensorang: seorang-seorang/ seorang diri

ANDA SEDANG MEMBACA
[O.G] SAYANGKU, AISYAH
Dragoste"Bahagia bukan selamanya" Copyright ©️ missfaa_2024