Prolog

31 1 0
                                    

Perkampungan Nirma

SUASANA malam disinari oleh cahaya purnama yang mengambang penuh. Tiba-tiba keheningan malam terpecahkan oleh teriakkan seorang wanita. Mulya yang mengerang kesakitan sedang berjuang untuk melahirkan anaknya, ditemani seorang wanita tua yang berperanan sebagai bidan. Di luar kamar, Penghulu Jalit keresahan menantikan isterinya yang sedang bertarung nyawa untuk melahirkan anak mereka. Seketika kemudian, muncul seorang lelaki tua yang berjalan sambil menggunakan tongkat kayu menghampiri Penghulu Jalit. Lelaki itu adalah Pendeta Manik.

"Jalit, malam ini kita perlu lakukan ritual itu. Selepas tujuh ratus sebelas tahun, malam inilah masanya." Pendeta Manik memulakan bicara dengan nada yang tegas. Pandangan matanya tidak berkedip memandang ke arah Penghulu Jalit.

"Tapi, Mulya sedang bertarung nyawa melahirkan anakku." Penghulu Jalit cuba memberikan alasan. Matanya kemudian di tundukkan menatap lantai.

"Tak usah beralasan Jalit. Ini melibatkan soal kaum kita. Kau sebagai penghulu kena bijak membezakan kepentingan peribadi dan kepentingan semua orang." Pendeta Manik mula berkeras sambil tangannya menggenggam kemas tongkat kayu di tangannya. Matanya tajam merenung ke arah Penghulu Jalit.

"Hmm.. aku bukan hendak beralasan Pendeta.. tapi bukankah sekarang kita sudah menganut agama tauhid yang dibawa oleh utusan terakhir, Nabi Muhammad? Bukankah agama ini mengajarkan kita untuk mentauhidkan Allah dan meninggalkan segala kepercayaan karut dan perkara yang menyekutukan Allah? Upacara sebegitu, jelas menyekutukan Allah.. Mempercayai kekuasaan selain Allah adalah syirik." Penghulu Jalit mengingatkan pendeta tua itu tentang agama baru yang dianuti oleh mereka beberapa tahun yang lalu.

"Ahh.. tapi.." Pendeta Manik seakan kehilangan kata-kata untuk terus membantah Penghulu Jalit. Bicara Penghulu Jalit itu ada benarnya. Mereka sekarang sudah memeluk agama Islam dan agama tauhid ini melarang mereka dari melakukan perkara yang khurafat dan syirik. Ritual yang disebutkan oleh pendeta itu tadi adalah termasuk dalam perkara syirik yang dilarang. Ketika Pendeta Manik dalam dilema, tiba-tiba terdengar pula bunyi gempita seakan guruh dari langit.

"Bunyi itu..." suara Penghulu Jalit tersekat-sekat, sambil kepalanya terdongak ke atas. Benaknya sedang memikirkan punca bunyi tersebut.

"Tak guna. Itu suara ngauman Ulong, si Purba Raya. Nampaknya dia juga menyedari situasi malam ini." keluh Pendeta Manik.

"Ulong?" Penghulu Jalit membeliakkan matanya apabila mendengar nama yang disebut Pendeta Manik. Keresahan terpancar jelas dari riak wajahnya. Nama itu sepertinya tidak ingin didengari oleh sesiapa. Ketika Penghulu Jalit masih dalam keresahan, terdengar pula bunyi letupan. Mata penghulu Jalit masih memandang ke arah Pendeta Manik. Dia yakin letupan itu adalah ulah dari si Ulong yang baru disebut. Penghulu Jalit hanya menanti apakah yang akan dikatakan oleh Pendeta tua itu. Walaupun dia sebagai penghulu, namun segala keputusan haruslah disandarkan kepada pandangan Pendeta Manik memandangkan pendeta itu lebih berusia dan lebih berilmu berbanding dirinya. Wajah tua Pendeta Manik berkerut memikirkan, apakah yang membuatkan Si Purba Raya itu mengganggu perkampungan mereka. Sudah beratus tahun perkampungan Nirma itu tidak di serang atau diganggu oleh sesiapa. Pendeta Manik yakin kedatangan si Ulong itu pasti ada kaitan dengan peristiwa malam itu yang cuma berlaku sekali dalam setiap tujuh ratus sebelas tahun.

Seketika kemudian, terdengar suara tangisan seorang bayi. Wajah penghulu Jalit yang dari tadi keresahan tiba-tiba berubah menjadi ceria. Senyuman kegembiraan jelas meleret diwajah penghulu itu. Kemudian pintu bilik dibuka dari dalam dan keluar seorang wanita tua sambil menggendong seorang bayi.

"Anak perempuan, Jalit." wanita itu menghulurkan bayi itu kepada Penghulu Jalit.

"Macam mana Mulya?" Penghulu Jalit risaukan keadaan isterinya sambil tangannya menyambut bayi perempuan yang baru lahir itu.

"Alhamdulillah.. dia baik-baik saja." wanita yang menjadi bidan itu menjawab ringkas.

Penghulu Jalit segera berjalan memasuki bilik yang menjadi tempat isterinya bertarung nyawa sebentar tadi. Alangkah gembiranya hati Penghulu Jalit apabila melihat isterinya tersenyum menatap ke arahnya walaupun keadaan wanita kesayangannya itu amat lemah sekali. Dengan penuh kasih sayang, tangan Penghulu Jalit menyentuh lembut pipi Mulya sambil tangannya sebelah lagi kemas menggendong anak mereka yang baru dilahirkan.

Pendeta Manik menghampiri Penghulu Jalit dari belakang. Matanya dari tadi asyik menatap ke arah anak kecil yang masih menangis di dalam pangkuan Penghulu Jalit.

"Jalit.. anakmu.." Suara Pendeta Manik yang perlahan itu menangkap ke cuping telinga Penghulu Jalit.

"Kenapa pendeta?" Penghulu Jalit menjadi pelik dengan tingkah pendeta tua itu.

"Anakmu itu istimewa. Kesaktian malam dua bulan purnama ini jatuh kepadanya." Jelas Pendeta Manik. Penghulu Jalit terdiam mendengar kata-kata pendeta Manik tersebut. Mulya pula mula terpinga-pinga.

"Apa maksudmu wahai pendeta?" Mulya bersuara walaupun keadaan masih lemah.

"Malam ini, dunia kita dan dunia sebelah sana, masing-masing disinari oleh bulan purnama yang mengambang penuh. Ketika dua bulan purnama mengambang dari dua alam, maka kesaktian akan muncul. Hal ini cuma terjadi tujuh ratus sebelas tahun sekali. sebab itu kaum kita dari dulu akan buat ritual pada malam ini untuk mendapat keabadian sehingga tujuh ratus tahun mendatang. Namun kali ini, Jalit melarang untuk kita melakukan ritual, kerana sekarang kaum kita sudah beriman kepada Allah. Ritual seperti itu khurafat dan syirik dalam agama kita sekarang. Tapi.. sekarang ini, kesaktian itu sudah dapat kepada anakmu yang baru lahir itu." Panjang lebar penjelasan pendeta manik.

"Subhanallah.. maksudmu, anakku ini akan abadi?" Penghulu Jalit pula bertanya.

"Aku tidak tahu soal keabadian Jalit. Tapi aku yakin anakmu ini mendapat suatu kesaktian. Aura kesaktian jelas terpancar dari badannya itu." Pendeta Manik menunjuk ke arah bayi yang baru lahir itu menggunakan tongkat kayu yang dipegang di tangannya.

Penghulu Jalit dan Mulya memandang ke arah anak mereka dengan masing-masing membisu, seakan bingung dengan penjelasan Pendeta Manik. Penghulu Jalit kemudian memandang ke arah jendela yang terbuka dan menjadi laluan angin sepoi-sepoi dari luar menerobos kedalam kamar. Matanya tertancap pada bulan purnama yang bersinar cerah dan menghiasi dada langit. Sungguh Indah pemandangan dikala itu dengan sinar bintang yang menemani bulan yang kuning keemasan.

"Maha suci Allah.. Segala puji-pujian hanya untukNya.. Semoga kesaktianmu membawa berkat kepada kita semua wahai anakku." Penghulu Jalit berbicara kepada anak kecil yang berada dalam pangkuannya itu. Wajah polos bayi yang baru hadir ke dunia itu di tatap dengan penuh rasa cinta.

"Penghulu!!" Tiba-tiba seorang lelaki berdiri di depan pintu bilik sambil memanggil Penghulu Jalit dengan suara yang agak kuat. Penghulu Jalit, Mulya dan Pendeta Manik yang terkejut memandang ke arah lelaki tersebut. Wajah dan tingkahnya jelas mempamerkan kekalutan.

"Kenapa Maji? Apa yang berlaku?" soal Penghulu Jalit kepada lelaki tersebut.

"Bunda Banang.. Bunda Penghulu.. dia....diserang.. Naga Purba Raya." Jawab lelaki tersebut dengan tersekat-sekat dan kelam kabut.

Wajah Penghulu Jalit dan Mulya serta-merta berubah setelah mendapat berita mengejutkan tersebut. Namun berbeza dengan Pendeta Manik yang menunjukkan reaksi masam mencuka dengan pandangan mata yang tajam.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now