Bab 37

1 0 0
                                    

MULYA yang sedang mengendong bayinya berjalan menyelusuri hutan belantara bersama adik lelaki, Suri. Perjalanan mendaki gunung dan meredah hutan belantara itu begitu mencabar bagi Mulya apatah lagi sambil membawa anak kecil dipangkuannya. Tenaganya sudah banyak terkuras dan Mulya mulai kelelahan. Suri yang menyedari kepenatan kakaknya itu menghentikan langkah kakinya.

"Kita rehatlah dulu disini. Kakak sudah terlihat terlalu penat.." Suri memberi masa untuk kakaknya itu berehat.

"Ya.. Kita rehatlah sebentar disini. Aku ingin menyusukan Kenchana sebentar." Mulya lebih memikirkan keadaan bayinya yang dikhawatiri kelaparan berbanding keletihan yang sedang dia rasai.

"Kakak juga makan dan minumlah dulu. Bagaimana mahu anakmu itu menyusu jika kamu sendiri kelaparan. Nah, masih ada bekal ini." Suri menghulurkan bungkusan daun pisang dan bejana air yang terbuat dari kulit haiwan kepada Mulya. Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dari Perkampungan Nirma itu disambut oleh Kakaknya.

"Sini..berikan aku Kenchana. Kau makanlah dulu. Sesudah kau kenyang nanti kau berilah susu kepada Kenchana." Lantas Suri mengambil Kenchana dari pangkuan Mulya. Mulya hanya menuruti kata-kata adiknya itu tanpa sebarang bantahan. Hampir setengah hari sudah berlalu perjalanan mereka di hutan itu sejak datang ke alam manusia ini. Wajar sahaja kalau mereka sudah keletihan. Mulya mulai makan perlahan-lahan sambil melihat Suri yang sedang mendodoikan Kenchana.

"Suri.. Maafkan kakak kerana sudah menyusahkan kamu.." Mulya mula rasa bersalah kerana menyusahkan adik lelakinya itu.

"Menyusahkan apa pula kak? Kakak dan Kenchana juga tanggungjawab Suri.. Bukankah dari kecil kita sudah berjanji akan susah senang bersama?" Suri tersenyum kepada Mulya.Mulya juga turut tersenyum dan menyentuh lembut pipi Suri dengan telapak tangannya. Matanya berkaca dan rasa sayu mula menerjah ke hatinya. Kasihan melihat pengorbanan Suri sebagai seorang adik terhadap dirinya.

"Ishh.. Tanganmu itu kotor la.. masih tersisa makanan.. jauhkan dari mukaku.." Suri mengomel sambil bergurau dengan Mulya. Terburai ketawa dari dua beradik itu ditengah hutan belantara tersebut. Kenchana didalam pangkuan Suri pula cuma merenggek kecil tanpa memahami apa yang sudah terjadi kepada dirinya. Tidak lama kemudian, mereka meneruskan perjalanan mereka di rimba tebal itu. Setelah hampir  seharian berjalan, akhirnya mereka menemui sebuah gua. Sebuah tempat yang difikirkan sesuai oleh Suri bagi mereka mendiaminya. Suri meninjau dahulu keadaan dari luar pintu gua tersebut.

"Kak, Kau dan Kenchana tunggu dulu diluar. Biar Suri periksa dulu bahagian dalam gua ini.."

"Baiklah.." Mulya menyetujui arahan adiknya. Suri kemudiannya masuk bersendirian dahulu ke dalam gua tersebut bagi meninjau dan memeriksa keadaan di dalam gua, manakala Mulya dan anaknya menunggu diluar pintu gua. Seketika kemudian, setelah memeriksa keadaan dan keselamatan di dalam gua, Suri keluar kembali mendapatkan Mulya dan anaknya itu.

"Baiklah Kak.. Kita tinggal di sini aja.. Gua ini cantik dan sesuai untuk kita. Tiada juga tanda ia menjadi tempat tinggal haiwan buas.." Suri keluar dari muka pintu dengan tersenyum meleret. Mulya menjadi senang dengan penjelasan Suri itu langsung tersenyum dan menapakkan kakinya menuju ke arah pintu gua, tempat Suri berada.

"Aku mahu berikan susu kepada Kenchana dahulu.." Mulya menyatakan hasratnya kepada Suri.

"Ya Kak.. kau rehatlah dulu bersama Kenchana di dalam. Aku mahu mencari sumber air terdekat dahulu untuk kita minum. Oh..ya.. ubahlah wujud kita kepada bentuk haiwan.. Jika tidak, kita akan mudah kelelahan dan tidak mampu bertahan lama hidup di dunia ini." Suri memaklumkan kepada Mulya sambil dirinya ketika itu langsung berubah menjadi seekor rusa berwarna putih.

"Kau pergilah dahulu Suri.. Kakak mahu kekal dalam bentuk begini saja.. Kakak tidak mahu Kenchana merasa dia dibesarkan oleh haiwan. Kakak mahu Kenchana membesar dengan melihat ibunya dan merasakan kasih sayang seorang ibu.." Mulya memberi penjelasan kerana enggan bertukar bentuk wujudnya kepada haiwan. Suri hanya memandang ke arah Mulya tanpa sebarang balasan. Dia yang sudah bertukar menjadi seekor rusa itu berkedip-kedip matanya memandang ke arah Mulya yang sedang memangku Kenchana yang masih bayi.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now