Bab 45

1 0 0
                                    

KETUMBUKAN yang menantikan Betara pergi menyelamatkan Kenchana masih merasa cemas. Namun mereka terpaksa sabar menunggu kerana patuh kepada arahan Betara. Pemimpin mereka itu tidak membenarkan sesiapa pun mendekat selagi dia tidak pulang kembali. Terlihat Bikas sedang berdiri menghadap ke arah terowong yang terbentuk dari cantuman pokok-pokok besar. Ketua pemburu itu hampir tidak dapat menahan sabarnya untuk meluru masuk ke kawasan yang gelap tersebut. Dia tidak mahu sekali lagi berasa bersalah kerana mengabaikan keselamatan Punta dan Puntinya itu seperti yang berlaku lima belas tahun dahulu. Tidak lama kemudian, kelibat Betara dan Kenchana pun muncul, berjalan keluar dari terowong tersebut. Semua orang yang menunggu akhirnya merasa lega apabila melihat Betara dan Kenchana telah pun kembali semula dengan selamat. Pekan yang melihat ibubapanya yang tidak mengalami apa-apa kecederaan segera memeluk kedua orang tuanya. Walaupun Betara tadinya mengalami kecederaan akibat pertarungan dengan Sang Ukong, tetapi kecederaannya telah pulih sepenuhnya.

"Apa sebenarnya yang berlaku?" Penghulu Jalit bertanyakan anak dan menantunya itu.

"Tiada apa-apa.. cuma ada kera yang nakal.." Betara tertawa kecil sambil menggaru kepalanya apabila menjawab pertanyaan mertuanya itu.

"Ah, sudahlah. Ayuh kita berangkat segera. Jangan membuang masa lagi disini." Betara mengarahkan ketumbukannya untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke Gunung Korbu. Maka bergeraklah pasukan yang besar itu menuju ke destinasi mereka. Betara dan Kenchana terpaksa berpatah balik dan melalui semula tempat mereka bersama Sang Ukong tadi. Hutan itu sekarang menjadi semakin terang dan penuh dengan kesan kebakaran. Hanya di kawasan hujungnya sahaja yang masih membentuk terowong. Di tengah kawasan yang menjadi sarang Sang Ukong, sudah pun menjadi terang-benderang akibat kebakaran. Betara dan Kenchana hanya mendiamkan diri dan menjeling diantara satu sama lain apabila mendengar beberapa suara dari pasukannya yang bercakap perihal kebakaran dihutan itu. Sesekali mereka juga melihat ke arah pokok-pokok yang masih selamat dari kebakaran itu. Di atas pokok-pokok itu dipenuhi oleh kumpulan kera yang sedang menyorok dan mengintai pasukan Betara yang melalui kawasan tersebut. Betara tiba-tiba teringat kembali adengan dimana Sang Ukong mengetuk kepala salah seekor kera disitu sambil memanggilnya bodoh berulang kali. Hal itu membuatkan Betara tiba-tiba ketawa sendirian.

"Kenapa Betara?" Mastika bertanya apabila melihat tingkah aneh anaknya yang ketawa sendirian itu.

"Tiada apa-apa Ibu.. cuma Betara teringatkan sesuatu hal yang melucukan.." Betara menggelengkan kepalanya sambil tersenyum menahan ketawa.

"Ish kamu ni.." Mastika menepuk lengan Betara.

Pasukan mereka melalui kawasan itu dengan tiada sebarang halangan. Sang Ukong sudah pun mengarahkan kera-keranya itu agar tidak mengganggu pasukan Betara sesuai dengan permintaan lelaki itu kepadanya tadi. Walaupun raja kera itu terlihat nakal dan suka membuat huru-hara serta menyakitkan hati orang, namun kera sakti itu sebenarnya sangat baik hati. Mungkin benar seperti yang Ukong ceritakan, dia mula membuat kerosakan adalah kerana perbuatan manusia sendiri. Tapi sifat manusia itu, cuma akan melihat kejahatan orang lain terhadap dirinya namun mereka tidak akan nampak kejahatan mereka sendiri terhadap orang lain. Berbuat baik pasti akan dibalas baik dan begitulah sebaliknya.

Gunung Kuar

AKHIRNYA Betara dan ketumbukannya tiba di Gunung Kuar, tempat yang dijanjikan untuk pertemuan mereka dengan kumpulan yang lain. Kini cuma ada satu pasukan sahaja lagi yang belum bersama kembali. Mereka akan menunggu di sana sebelum melanjutkan perjalanan. Sesuai perjanjian yang disepakati, mereka akan berkumpul dahulu di sana. Sambil menunggu teman mereka yang belum tiba, mereka mengambil peluang untuk beristirehat.
Tidak lama kemudian, pasukan yang ditunggu oleh mereka pun tiba. Ketumbukan yang berkumpul untuk memerangi Ratu Manikmaya itu, kini sudah mencapai lebih seribu orang.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now