Bab 49

1 0 0
                                    

AKHIRNYA pasukan raksasa korbu telah dihapuskan sepenuhnya oleh Betara. Ratu Manikmaya yang cuba menyelamatkan diri juga tidak berjaya apabila sang ratu itu dimakan pula oleh Ulong, Si Naga Purba Raya Dirgantara. Riwayat sang ratu yang kejam itu berakhir dengan menjadi santapan kepada naga yang dia sangat bencikan sejak sekian lama dahulu.

Pada waktu itu juga, Kenchana dan Mastika tiba-tiba turut muncul di medan pertempuran itu. Mereka tergamam apabila melihat Betara yang sudah dipenuhi sisik diseluruh badannya dan api membuar-buar menyala dari seluruh tubuh badan lelaki itu. Di hadapan Betara pula terlihat Ulong yang sudah berubah wujudnya kepada bentuk manusia selepas dia menelan Ratu Manikmaya sebentar tadi. Naga Purba Raya Dirgantara itu hanya tersenyum memandang Betara yang sudah hilang kendali terhadap dirinya sendiri.

“Bagus anakku.. Kau semakin mencapai kekuatan sebenarmu! Hahaha.” Ulong tertawa melihat perubahan Betara. Betara pula terus menyerang Ulong secara membabi buta. Namun setiap serangan dari Betara berjaya dielak dengan mudah oleh sang naga legenda itu.

“Betara! Cukup, hentikan nak!” Mastika menjerit memanggil anak lelakinya itu. Namun Betara yang sudah kehilangan kesedarannya langsung tidak mempedulikan segala panggilan kepadanya. Sekarang dia cuma fokus untuk menyerang Ulong yang berada di depannya sahaja. Naga Purba Raya itu pula terlihat masih tertawa tidak berhenti sambil mengelak serangan dari Betara. Setelah beberapa kali mengelak, akhirnya Ulong melepaskan satu tendangan kepada Betara dan mengakibatkan anaknya itu tercampak jauh dan berguling-guling di tanah. Betara yang segera bangkit berdiri terus meluru kembali ke arah Ulong untuk meneruskan serangannya. Untuk kesekian kalinya serangan Betara masih gagal mengenai satu pun tubuh badan mangsanya. Serangan bertali arus dari Betara hanya terus d elak oleh Ulong sambil ketawa.

“Kau perlu mengawal kemarahanmu nak! Kemarahan adalah sumber kekuatan, tetapi kau harus belajar bagaimana untuk mengawalnya. Jangan terus biarkan kemarahan yang mengawal dirimu.” Ulong sempat menyampaikan kata-katanya kepada Betara yang sudah hilang kewarasannya itu sambil mengelak-elak serangan dari anak lelakinya.

‘Baiklah, cukup setakat ini sahaja.” Ulong merasakan masa untuk dia melayan Betara yang sedang mengamuk sudah mencapai batas waktunya. Sekarang dia memilih untuk menamatkan dengan segera serangan bertali arus dari Betara itu. Tikaman dari Betara berjaya di elak oleh Ulong dan seraya Naga Purba itu menempis dan menahan tangan Betara yang sedang menggenggam kemas hulu Keris Taming Gemala Naga. Satu tumbukan pula dilepaskan oleh Ulong, tepat mengenai perut Betara sehingga menyebabkan Betara memuntahkan darah.Tangan yang melepaskan tumbukan itu ditarik semula oleh Ulong dan seterusnya tangannya itu menepuk kepala Betara dengan kuat sebelum mencengkam pula kepala anaknya itu. Cengkaman Ulong di kepalanya menyebabkan Betara mulai melemah dan tertunduk menatap bumi. Api yang menyelubungi seluruh badan Betara mulai mengecil dan berkurangan. Terlihat sepertinya Ulong sedang menyedut dan memakan api dari tubuh Betara tersebut.

“Hahhh!!” Ulong kemudiannya menyergah dengan kuat seraya menolak kepala Betara sehingga pemimpin Puak Saga itu tercampak ke belakang dan terus pengsan. Api dan sisik pada tubuhnya terus menghilang perlahan-lahan dan Keris Taming Gemala Naga juga mula terlepas dari genggaman tangan Betara.

Tidak jauh daripada Ulong yang masih berdiri gagah itu, Kenchana pula sedang berlari ke arah Pekan yang baru dia temui. Kenchana menangis kencang apabila melihat keadaan anak lelakinya itu. Kepala dan dadanya pecah manakala matanya terbeliak luas. Darah hangat penuh membasahi muka dan tubuh Pekan.

“Pekan.. Bangun nak.. Ibu ada di sini.. Bangunlah Pekan..” Kenchana memegang lengan Pekan yang sudah tidak bernyawa itu. Terketar-ketar tangannya apabila melihat keadaan Pekan. Hancur luluh hati seorang ibu setelah melihat kesan perbuatan sadis ke atas anaknya.

“Ibu akan pulihkan.. Ibu pulihkan Pekan..” Kenchana melihat tangannya yang sudah dipenuhi darah Pekan masih terketar-ketar. Kemudian Kenchana menarik nafas yang dalam untuk menenangkan dirinya. Sejurus kemudian cahaya putih mula keluar dari badan Kenchana. Kenchana berencana untuk memulihkan keadaan Pekan yang teruk itu. Beberapa detik kemudian, langsung tiada perubahan pada diri Pekan yang sudah tidak bernafas itu. Melihat tiada perubahan yang berlaku, Kenchana sekali lagi mengulangi perawatan kepada jasad anaknya itu. Percubaan Kenchana masih gagal.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now