Bab 36

1 0 0
                                    

BUNDA Banang akhirnya mencelikkan matanya setelah pengsan beberapa hari. Kecederaannya juga sudah hampir sembuh. Dia dirawat oleh pawang wanita yang sudah tua dan berpengalaman di Perkampungan Nirma. Selepas memakan ubat yang diberikan, Bunda Banang cuba bangkit untuk berdiri dari pembaringannya.

"Kau mahu kemana Banang?" Tegur pawang wanita itu.

"Aku mahu membuang air kecil. Tolong.. Bantu aku berjalan.." Bunda Banang meminta pertolongan setelah menyedari kakinya masih lemah untuk berdiri. Kakinya masih terasa sakit akibat luka yang diterimanya dari runtuhan puing yang menimpa. Malah otot kakinya juga kekejangan akibat terlalu lama berbaring selama pengsannya.

Pawang tua itu kemudian membantu memapah Bunda Banang yang ingin menunaikan hajatnya. Setelah selesai menyempurnakan hajatnya, Dia berjalan kembali ke arah katil yang menjadi tempat pembaringannya sejak pengsan beberapa hari lalu. Tiba-tiba Bunda Banang terpandang wajahnya di cermin. Bunda Banang sungguh terkejut apabila melihat separuh mukanya sudah melecur akibat dijilat api Naga Purba Raya. Dia yang masih tidak mempercayai pantulan bayangan dirinya di cermin cuba meraba-raba wajahnya.

"Tidak!!" Muka.. mukaku.." Bunda Banang tidak dapat menerima hakikat wajahnya sudah melecur. Jari-jemarinya masih meraba, merasai mukanya yang menggeleber. Kerana tidak sanggup melihat wajahnya yang sudah menjadi buruk, Bunda Banang pun mencapai sebiji gelas tembaga dihadapannya dan membaling ke arah cermin sehingga cermin tersebut pecah berkecai menjadi kepingan kecil.

"Tak guna kau Naga Purba! Aku akan membalas perbuatan mu ini suatu hari nanti!" Bunda Banang menjerit seperti kerasukan. Dia benar-benar tidak dapat menerima hakikat, wajahnya sudah menjadi buruk akibat melecur terkena serangan Naga Purba Raya. Bunda Banang terus menangis dan rebah ke lantai. Pawang wanita cuba mengangkat kembali Bunda Banang namun tangan tua pawang itu ditepis apabila cuba menyentuh Bunda Banang.

"Aku bersumpah.. Aku akan cincang kau Naga Purba.." Mata Bunda Banang menyorot ganas. Dendamnya kepada Naga Purba Raya kini mulai membuak-buak. Pawang wanita yang berada disisinya itu tidak berkutik dan hanya membatu melihat Bunda Banang yang sudah dirasuk amarah. Dia tidak ingin memujuk apatah lagi untuk mengganggu ibu kepada Penghulu Jalit yang sedang berperang dengan emosi itu.

Beberapa ketika kemudian, Penghulu Jalit dan Pendeta Manik datang untuk melihat keadaan Bunda Banang. Di pangkuan lengan Penghulu Jalit pula ada anaknya, Kenchana yang sedang digendong. Bunda Banang yang sedang berbaring, membuka matanya apabila menyedari kehadiran Penghulu Jalit dan Pendeta Manik di ruangan tersebut dan bangkit dari pembaringannya.

"Bagaimana keadaan Bunda?" Penghulu Jalit menyapa ibunya.

"Beginilah diriku seperti yang kau lihat.. Masih hidup lagi.." Bunda Banang membalas pertanyaan anaknya.

"Apa yang berlaku sebenarnya Banang?" Kenapa Naga Purba sampai datang ke sini dan menyerangmu?" Pendeta Manik pula bertanya dengan mimik muka yang serius.

"Manalah aku tahu.. Entah kenapa si naga celaka itu datang menyerang kami.."

"Apa yang kau lakukan sebenarnya?" Pendeta Manik masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang dia peroleh.

"Lakukan apa? Aku cuma melakukan upacara ritual untuk kaum kita sahaja.." Bunda Banang mengalihkan pandangan matanya ke arah kakinya. Dia tidak mahu melihat tatapan dari Pendeta Manik dihadapannya itu. Pendeta Manik terus menatap Bunda Banang dengan penuh curiga. Dia tahu Bunda Banang sedang berbohong tetapi dia mendiamkan diri sahaja demi menghormati Penghulu Jalis yang berdiri disebelahnya kala itu. Dia tidak mahu terlalu menekan Bunda Banang dihadapan anak lelakinya yang menjadi Penghulu di permukiman tersebut.

Seketika kemudian, pandangan mata Bunda Banang teralih kepada anak kecil dipangkuan Penghulu Jalit.

"Apakah itu anakmu Jalit?"

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now