Bab 47

1 0 0
                                    

Gunung Korbu

LEBIH seratus ekor raksasa korbu mengawal istana Ratu Manikmaya yang terbuat dari gua di puncak Gunung Korbu. Tiga puluh ekor daripadanya menjaga diluar pintu gua dan selebihnya berada didalam gua mengawal keselamatan sang ratu. Suhu yang dingin dipuncak gunung yang tinggi itu langsung tidak mempengaruhi mereka yang berkulit tebal itu. Dalam suasana yang sunyi cuma ditemani tiupan angin, tiba-tiba salah seekor dari raksasa korbu itu berteriak.

"Owhh!! Owwhh!!"

Rupa-rupanya raksasa korbu yang sedang mengawal itu sudah mengesan kehadiran pasukan penyerang yang menghampiri istana ratu mereka. Oleh kerana segala tumbuhan di puncak gunung itu sudah mati, tanah hitam yang gersang itu memudahkan penglihatan mereka untuk mengetahui kehadiran sesiapa pun dari jauh lagi. Setelah mendengar jeritan salah seekor dari mereka, kawanan raksasa korbu yang lain turut menghampiri temannya itu dan mereka mendapati sepasukan manusia sedang menuju ke arah mereka.

Kerana kehadiran mereka sudah diketahui, pasukan penyerang tidak menunggu lagi lantas melancarkan serangan anak panah ke arah puncak gunung sambil berlari menuju ke istana musuh. Hujan ratusan anak panah itu berjaya mengenai beberapa ekor raksasa korbu tetapi serangan anak panah itu tidak mampu merebahkan makhluk sumpahan yang gagah itu. Pasukan penyerangan pertama yang diketuai Betara itu melancarkan pula tujahan kayu tajam yang dijadikan tombak. Kali ini, serangan tombak tersebut berjaya menjatuhkan beberapa ekor raksasa korbu. Sebagai pengawal yang ditugaskan untuk menjaga keamanan puncak gunung tersebut, para raksasa korbu itu juga mula berlari menerpa ke arah pasukan Betara dan pertembungan secara dekat pun mula berlaku. 

Semasa para raksasa korbu dipuncak gunung itu sibuk memfokuskan serangan dari arah timur, tiba-tiba mereka dikejutkan pula dengan serangan dari arah selatan dan utara. Kerana tidak menyedari serangan yang datang, beberapa ekor raksasa korbu telah tumpas dan rebah apabila menerima hujanan anak panah dan tombak dari para penyerang di arah selatan dan utara. 

Di dalam gua, Ratu Manikmaya menjadi kehairanan dengan gegak gempita yang datang dari luar istananya. 

"Apa yang sudah berlaku? Kenapa bising sangat diluar sana?"

Sang gagak segera terbang mengarah keluar dari gua tersebut untuk menyelidiki apa yang telah berlaku. Sudah lebih lima belas tahun, suasana di puncak Gunung Korbu sangat sunyi kerana tiada satu hidupan pun yang berani menghampiri istana Ratu Manikmaya di situ selain pasukan tenteranya sendiri dan para manusia hamba yang akan menghantar makanan dan minuman kepada Ratu Manikmaya disana. Riuh rendah yang kedengaran pada kali ini sungguh memelikkan Ratu Manikmaya dan pasukannya. Bagi mereka, adalah mustahil jika ada manusia yang berani menentangnya dan menyerang istananya dipuncak gunung tersebut.

Setelah burung gagak itu berlegar di ruang udara puncak gunung tersebut, dia melihat ramai manusia yang datang menyerang di sekitar istana Ratu Manikmaya. Para manusia itu sedang berperang dengan para raksasa korbu. Burung gagak hitam tersebut terus meluncur, terbang kembali ke pintu gua untuk melaporkan kejadian yang sedang berlaku kepada sang ratu.

Berpuluh ekor raksasa korbu yang mengawal di dalam gua juga segera keluar untuk menghentikan pemberontakan oleh para manusia itu apabila mereka mendengar teriakan amaran dari raksasa korbu yang mengawal diluar istana gua tersebut. Dalam suasana yang kelam-kabut itu, pasukan penyerang dari arah barat pula muncul. Pasukan manusia itu turut dibantu oleh hampir seratus ekor haiwan buas seperti harimau, beruang, serigala dan sebagainya yang mana haiwan itu semua sebenarnya adalah bentuk wujud dari kaum bunian pimpinan Penghulu Jalit.

Ratu Manikmaya yang mengetahui akan serangan manusia ke istananya mula murka. Dia memerintahkan semua raksasa korbu untuk keluar melindungi istananya dan hapuskan semua manusia yang menyerang mereka. Sambil duduk di singgahsananya, mata Ratu Manikmaya menyorot ganas dan mata putihnya bertukar menjadi kemerahan. Kemarahan jelas terpancar pada riak wajahnya dikala itu. 

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now