Bab 51

4 0 0
                                    

Perkampungan Bunut Naga

TIGA bulan kemudian, Pekan termangu sendirian di gazebo. Hatinya dirundung kesedihan yang teramat. Sungguh pilu apabila memikirkan nasib yang menimpa adik kembarnya, Melur. Gadis itu sentiasa menjadi temannya di saat gembira mahupun berduka semenjak dari mereka kecil. Mereka tidak pernah berenggang dan saling memerlukan. Namun sejak pertempuran di Gunung Korbu, Melur gagal di temui. Mereka mengandaikan Melur sudah pun meninggal dunia kerana langsung tiada jejak yang ditemukan. Manakala Pekan yang sudah meninggal pula, dihidupkan kembali oleh ibu mereka. Sesekali, Pekan melihat lengannya. Kulitnya menggerutu dan terlihat amat menakutkan. Air mata lelaki muda itu akhirnya menitis dan tumpah mengenai lengannya.

"Kenapa aku harus menerima nasib seperti ini? Adalah lebih baik aku mati sahaja bersama Melur.. Sekurangnya aku tidak kesunyian dan Melur di sana juga tidak bersendirian.." Pekan mengesat air matanya. Apabila jari jemarinya menyentuh pipi, Pekan dapat merasakan, kulit mukanya juga sudah kesat dan menggerutu.

"Eiii.. raksasa!!" Seorang budak perempuan menjerit apabila melalui hadapan gazebo. Gadis kecil itu kemudian langsung melarikan diri apabila melihat Pekan. Pekan benar-benar terkilan dan merasa terhina dengan ucapan anak kecil tersebut. Dia tidak menyalahkan anak itu, namun kesal dengan nasib yang telah menimpa terhadap dirinya. Pekan terus menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangan sambil menangis dengan kencang. Seraya itu juga dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Hatinya terasa amat malu dengan rupa parasnya yang jelik dan menakutkan bagi kanak-kanak.

"Pekan.. Kenapa kamu menangis sayang?" Kenchana tiba-tiba muncul dan mendekati Pekan yang sedang berduka lara.

"Kenapa Pekan harus jadi macam ni? Kenapa Melur harus pergi tinggalkan kita? Kenapa Ibu.. Kenapa?" Terdengar suara sarut dari halkum Pekan. Kenchana tidak mampu menjawab pertanyaan anak lelakinya itu. Dia hanya mendiamkan diri sambil melurut tangannya di belakang badan Pekan.

"Lebih baik Pekan mati saja dari harus hidup sebegini.." Pekan meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.

"Jangan cakap begitu sayang.. Melur pun sudah pergi meninggalkan kita.. Ibu taknak Pekan juga terkorban sama.. setidaknya Pekan masih ada untuk bersama Ibu di sini.. Kalau Melur tiada, Pekan pun tiada, hidup Ibu lebih terseksa.." Kenchana turut menangis. Hatinya sebak mengenangkan kehilangan anak perempuannya yang manja.

"Tapi... hidup sebegini juga amat menyeksakan Pekan.. semua orang takut dengan Pekan.. Untuk apa Pekan hidup di sini kalau semua orang tak suka?"

"Sayang.. Ibu kan ada.. Ibu, Ayah tetap akan sayangkan Pekan, sama macam dulu.." Kenchana cuba memujuk anaknya. Pekan terbungkam sambil menahan perasaan. Dia tidak mampu menafikan, penerimaan dan kasih sayang kedua orang tuanya sedikit pun tidak berubah. Walaupun fizikalnya berubah, Ibu dan Ayahnya sentiasa menemani dan memeluk Pekan, sama seperti sebelumnya.

"Sudahlah sayang.. Janganlah terlalu berduka cita.. Pekan masih hidup dan sihat saja, dah buatkan ibu bahagia.. Ibu sayangkan Pekan." Kenchana mengucup pipi anak lelakinya itu. Pekan pula masih berdiam diri.

"Ayuh, kita pergi tempat ayah.." Kenchana mengajak Pekan seraya bangkit berdiri.

"Ibu pergilah dulu.. Pekan nak bersendirian sebentar.." Pekan cuba menolak ajakan Ibunya. Kenchana yang tidak ingin memaksa anak lelakinya itu mengukirkan satu senyuman dan menggosok kepala Pekan dengan lemah lembut. Wanita itu kemudian mula berjalan meninggalkan Pekan sendirian di gazebo. Setelah ibunya hilang dari pandangan mata, Pekan lantas bangkit berdiri dan turut berjalan meninggalkan tempat tersebut. Pekan tidak mengikut arah langkah yang dituju oleh ibunya, tapi berjalan menuju keluar dari pekarangan permukiman Bunut Naga.

Setelah berada di luar pekarangan permukiman, Pekan memandang ke arah perkampungan yang menjadi tempat dia membesar itu. Baru lima tahun dia sempat merasakan kehidupan bersama ayahnya. Terkadang, dia bangga kerana ayahnya adalah Punta Betara, pemimpin yang sangat dihormati oleh puak mereka. Walaupun hanya sempat merasa lima tahun bersama ayahnya, namun Pekan benar-benar merasakan, kekosongan kasih sayang ayah selama sepuluh tahun sebelum itu telah terpenuhi. Ayahnya itu telah mencurahkan kasih sayang sepenuhnya dalam masa lima tahun. Ibunya pula, wanita sakti yang penuh dengan lemah lembut dan kasih sayang. Hati Pekan tiba-tiba dirundung sayu. Dia memiliki keluarga yang lengkap dan penuh dengan cinta.

"Ayah.. Ibu.. Pekan sayangkan kalian.. tapi.. maafkan Pekan.. Pekan terpaksa pergi dari sini. Pekan tak sanggup merasa terhina dan menakutkan orang dengan wajah sebegini.. Melur.. nantikan aku.." Pekan menitiskan air mata tatkala menatap perkampungan yang menjadi tempat tumpah darahnya. Dia kemudian segera berpaling punggung dan berlari meninggalkan perkampungan Bunut Naga. Kakinya dihayun dengan sekuat hati. Dia ingin lari sekencang angin dan meninggalkan jauh perkampungannya dengan secepat mungkin.

Sementara itu, Kenchana yang baru mendatangi Betara tersenyum apabila melihat Suri dalam bentuk wujud manusia, turut ada bersama dengan suaminya itu. Sejak pulang dari Gunung Korbu pada tiga bulan yang lalu, inilah kali pertama Kenchana melihat bapa saudaranya itu. Kenchana sedar, walaupun tiga bulan Suri tidak mendatanginya di alam ini, namun di alam bunian, waktu hanya berlalu beberapa hari.

"Bagaimana khabarmu Suri?" Kenchana mula menyapa.

"Aku baik-baik saja Kenchana.. baru hanya beberapa hari saja aku pulang ke Nirma, pastilah tiada sebarang perubahan besar.. cuma kalian di sini pasti sudah berbulan-bulan merasa kita tidak bersua. Jadi bagaimana khabarmu selama beberapa bulan ini?" Suri pula bertanya.

"Hmm.. Aku masih sukar untuk menerima kehilangan Melur.. sekarang, Pekan juga turut berduka dengan keadaannya.. Aku pula yang susah hati.." Kenchana meluahkan gundah gulana hatinya. Dia mula merapatkan badannya kepada Betara dan memeluk suaminya itu sambil menyandarkan kepala ke dada bidang Betara.

"Tak usah terus bergalau rasa lagi.. Sekarang aku ingin menyampaikan khabar gembira buatmu.." Suri tersenyum.

"Berita gembira?" Betara dan Kenchana masing-masing bersuara dengan penuh tanda tanya. Entah berita apakah yang ingin di sampaikan oleh Suri.

"Ya.. kalian tak usah bersedih lagi.. Melur sebenarnya selamat.. ayahmu, Penghulu Jalit sempat menyelamatkan Melur ketika di medan pertempuran dengan Ratu Manikmaya."

"Melur..Melur selamat? Melur masih hidup?" Kedua pasangan suami isteri itu terkejut. Mereka langsung tidak menyangkakan berita gembira yang akan disampaikan oleh Suri. Mata Betara dan Kenchana mula bergenang. Masing-masing menahan sebak dengan berita yang menggembirakan itu. Suri pula hanya menganggukkan kepalanya sebagai jawapan kepada pertanyaan Betara dan Kenchana. Lelaki itu terus meleretkan senyuman yang masih tidak lekang dari bibirnya.

"Jadi, Melur ada di Nirma?" Betara melepaskan pelukan Kenchana dan lantas memegang bahu Suri.

"Iya.. dia masih dirawat di sana.. kecederaannya agak parah.."

"Bawalah aku ke sana Suri.. biarlah aku bersama Melur di sana.." Kenchana hilang kesabaran untuk menatap anak gadisnya.

"Tidak Kenchana.. Nanti, dia sendiri yang akan pulang ke sini.. Melur sendiri yang meminta hal tersebut. Jadi, aku harus menghormati kehendaknya itu.. bersabarlah Kenchana.. Apabila Melur sudah sembuh, dia pasti akan pulang menemuimu.."

"Biarlah aku sembuhkan dia.." Kenchana cuba memberi saran.

"Maafkan aku.. itu kehendak Melur sendiri.. hormatilah permintaan dia Kenchana.." Suri menghela nafas yang berat.

"Hmm.. kalau begitu, biarlah aku sampaikan khabar ini kepada Pekan.. dia pasti sangat gembira.." Kenchana menyeka air mata yang mengalir keluar membasahi pipinya. Kenchana segera menuju ke arah gazebo, tempat dimana dia dan Pekan berbicara sebentar tadi. Sang ibu itu sudah tidak sabar untuk menyampaikan berita gembira kepada Pekan yang sedang bersedih. Namun, Kenchan masih tidak tahu, Pekan sudah jauh meninggalkan perkampungan Bunut Naga. Anak lelaki itu sudah jauh merentas hutan belantara, meninggalkan keluarga dan seluruh puaknya dengan penuh perasaan kecewa.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now