Bab 20

5 0 0
                                    

EMBUN nirmala yang membasahi daun-daun pokok dan rumput ditanah mula tersejat oleh mentari pagi sedikit demi sedikit. Kelopak bunga yang masih belum ternoda oleh serangga pun mula mekar mengembang, menambahkan seri alam. Suasana pagi yang cerah itu dihiasi dengan nyanyian unggas dan bermacam jenis haiwan dari belantara. 

Mastika, Kenchana dan beberapa orang wanita kelihatan sedang mengemas dan membersihkan bahagian dapur selepas selesai mereka  bersarapan pagi. Setelah mereka sarapan beramai-ramai, pasukan pencari buah-buahan dan pasukan pencari herba dari puak Saga telah pun bertolak dari perkampungan untuk menunaikan tugas mereka. Manakala pasukan pemburu masih belum bergerak keluar lagi. Sistem di perkampungan puak saga itu sungguh teratur. Setiap orang telah dibahagi-bahagikan tugas mereka.  

Para wanita biasanya cuma ditugaskan untuk menyediakan makan dan menjaga anak-anak. Mereka beramai-ramai satu kampung akan makan bersama setelah makanan siap disediakan. Lelaki pula dibahagikan kepada beberapa pasukan seperti pemburu yang akan memburu haiwan untuk dimakan dan juga meronda serta mengawasi keadaan di seluruh hutan di Gunung Chamah. Pasukan pemburu dibawah kendalian Betara akan dibahagikan kepada lima hingga tujuh kumpulan setiap hari. Selain itu ada juga pasukan perubatan, pencari ikan, pencari buah, pencari herba dan sebagainya. Sebahagian pula akan bergilir-gilir menjaga perkampungan bersama Punta, kaum wanita dan anak-anak.

Kenchana yang sudah menyelesaikan tugasannya kini duduk di anjung dapur untuk menghilangkan kepenatan. Sambil mengelap peluh yang mengalir di dahi dan lehernya, matanya mencari-cari kelibat Betara dan dia menemui hasilnya. Pasukan pemburu masih berkumpul tidak jauh dari ruangan memasak. Setiap dari mereka kusyuk mendengar arahan dan perancangan dari Betara. Betara memisahkan pasukan hari ini kepada tujuh kumpulan dengan masing-masing seramai empat orang disetiap kumpulan melainkan kumpulan Betara sendiri yang cuma beranggota tiga orang. 

Betara kelihatan sungguh berketerampilan dan selayaknya menjadi ketua. Kenchana tidak menyedari dirinya tersenyum sendirian apabila melihat Betara dari kejauhan. Namun telatah Kenchana itu terlihat oleh Mastika. Mastika berpendapat, oleh kerana Kenchana tidak terbiasa berkomunikasi dengan manusia lain disebabkan hidup gadis itu yang membesar sendirian, mungkin itulah menjadi punca kenapa Kenchana seolah tidak pandai menyembunyikan perasaannya. Gadis naif itu terlalu polos. Jujur dalam perbuatan dan percakapannya persis anak yang masih kecil. Kerana sifat itulah Salak sebelum ini mengambil kesempatan terhadap Kenchana. 

"Betara, nanti pulang awal ya. Jangan sampai orang rindu padamu terlalu lama." Laung Mastika kepada Betara. Ibu itu sengaja mahu mengusik Kenchana. 

"Siapa pula yang rindukan Betara?" Sahut Betara.

"Adalah seseorang.." 

Betara hanya tersengih mendengar celoteh ibunya. Dia tahu ibunya sedang mengusiknya tentang Kenchana dan hal itu menyebabkan anak teruna itu tersipu-sipu menahan malu. Mastika pula merasa sedikit pelik apabila melihat Kenchana yang cuma terkedip-kedip matanya. Niat Mastika tadi ingin mengusik Kenchana dan berharap gadis polos itu akan menggelabah apabila mendengar usikannya, namun harapannya meleset sama sekali. Betara kemudiannya melambai ke arah Ibunya itu dan segera berlalu pergi bersama pasukannya menuju ke hutan dan semakin hilang dari pandang.

"Apa yang ibu katakan tadi?" Kenchana mula bersuara menanyakan kepada Mastika.

"Ibu katakan? yang mana?" Mastika inginkan kepastian.

"Yang Ibu katakan kepada Betara tadi..."

"Oh..kenapa?"

"Orang rindu Betara? Rindu itu apa?"

Mastika sedikit terkejut mendengar soalan Kenchana itu. Dahinya ditepuk sambil suara ketawanya terluah tidak mampu ditahankan. Fikir Mastika, patutlah tadi Kenchana tidak menunjukkan sebarang reaksi. Rupanya gadis itu tidak tahu apa makna rindu. Mastika pun melabuhkan punggungnya di sebelah Kenchana.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now