Bab 16

1 0 0
                                    

SATU tendangan kuat hinggap di badan Salak dan melontarkannya jauh dari Kenchana. Salak mengerang kesakitan. Serangan yang diterimanya kali ini terasa lebih keras berbanding pukulan kayu dari Limbat tadi.

"Celaka.. siapa kau?" Salak mula mengamuk kembali. Suaranya ditinggikan, mengherdik penyerangnya.

"Kau sudah tidak mengenal aku Salak?" Betara terlihat berdiri gagah di samping Kenchana. Kenchana yang mendengar suara Betara segera membuka kembali matanya yang dipejam. Walaupun lumpuh dan tidak mampu bercakap, namun jelas terlihat bibir Kenchana kini menguntum sebuah senyuman apabila melihat Betara sedang berdiri di hadapannya. 

"Betara?" Salak mulai cemas dan terpinga-pinga. Dia langsung tidak menyangka lelaki itu akan muncul.

"Ya. Aku Betara. Aku fikir, kau yang sudah dirasuk setan sudah tidak mengenaliku." sebuah sindiran diluahkan oleh Betara. Betara kemudiannya mengalihkan pandangannya kepada Kenchana yang sedang terbaring lemah. Air matanya mengalir deras dan bergenang sehingga mengakibatkan penglihatannya menjadi kabur. Gaun putih Kenchana juga sudah penuh dengan kemerahan, bekas darah Limbat dari tubuh Salak yang menindihnya sebentar tadi. Betara merendahkan badannya untuk membetulkan gaun Kenchana yang sedikit terselak. Lelaki itu turut menyeka air mata Kenchana dengan tangannya. 

Beberapa orang pasukan pemburu yang bersama Betara sudah pun mengepung kawasan tersebut. Salak terlihat semakin cemas dan berdiri diam, tidak mampu berbuat apa-apa.  Salah seorang dari pasukan pemburu, Bikas mengambil sebuah tabung buluh yang dilihatnya berada di atas tanah, berhampiran sebuah bakul yang baru terisi beberapa cekak cendawan. Tukil berisi air yang diminum oleh Kenchana tadi dibuka tudung penutupnya. Bau aneh dari air tersebut segera dikenal pasti oleh Bikas. 

"Ini air dari daun yang melumpuhkan.. Jika terminum air ini, pasti akan segera lumpuh." Bikas menunjukkan tukil air di tangannya kepada Betara.

Betara melihat kepada Bikas yang memberi penerangan kepadanya tanpa sebarang reaksi. Pemimpin pasukan pemburu itu kemudian melihat ke arah Kenchana yang kelumpuhan. Kepala Kenchana diusap dengan lembut untuk menenangkan Kenchana. Betara tahu Kenchana sedang trauma teruk dan sangat ketakutan sekarang setelah diperlakukan sebegitu oleh Salak.  Kemudian pandangan Betara dialihkan pula kepada jasad Limbat yang bergelumang dengan darah penuh dengan kesan tikaman dan juga hirisan di lehernya.

Menyedari perbuatan terkutuknya sudah diketahui, Salak cuba untuk melarikan diri. Namun ketika dia baru berpaling tubuh, langkah kakinya belum sempat dibuka lagi, sudah pun meluncur satu anak panah dan dengan laju tertancak ke tanah tepat di depan kaki Salak menyebabkan Salak membatukan dirinya seketika. Salak cuba melarikan diri lari dan kini dirinya dihalang oleh salah seorang pemburu yang cepat memintas dan berdiri di hadapan Salak. Salak melihat ke sekeliling kawasan. Beberapa orang pasukan pemburu Puak Saga sudah pun menarik busur masing-masing, menghalakan anak panah mereka ke arah Salak.

"Kau benar-benar memalukan Puak Saga.. Orang yang patut kita lindungi, tapi kau cuba nodai.." Betara yang bangkit berdiri melihat ke arah Salak dan menunjukkan jarinya ke arah Kenchana. Betara maju beberapa langkah ke hadapan. Telunjuknya dihalakan pula ke arah jasad Limbat yang sudah kaku tidak bernyawa.

"Sahabat kau sendiri, sanggup kau habisi.. cuma demi serakah mu! Bangsat!!" Betara mula meninggikan suara. Salak cuma mencuka, menatap ke arah Betara tanpa membalas bicara.

"Tiada ampun kepada orang yang membunuh temannya sendiri! Pengkhianat!!"  Betara dengan penuh amarah mula meluru ke arah Salak. Namun Salak yang tahu dirinya bersalah tetap tidak mahu mengalah. Dia segera menghunus parangnya untuk menghadapi Betara. Betara yang cuma bertangan kosong terus menerkam ke arah Salak. 

Salak yang mahu mengambil peluang untuk menamatkan riwayat Betara langsung menghayunkan parangnya. Betara dengan mudah mengelakkan serangan Salak dan serentak itu juga melakukan serangan balas. Tumbukan dari Betara tepat mengenai rusuk Salak sehingga membuat lawannya itu melambung dan tercampak ke belakang. Jelas tumbukan Betara itu tersangat kuat sehingga mampu membuat Salak terlambung. Tulang rusuk Salak sudah pasti patah dengan serangan sekuat itu.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now