Bab 52

2 0 0
                                    

TANGISAN Kenchana masih berlanjutan walau sudah lebih dari seminggu kelibat Pekan tidak terlihat. Dia baru sahaja menerima berita tentang keadaan Melur yang masih hidup dan sedang berada di Perkampungan Nirma, namun Pekan pula yang menghilangkan diri dari keluarga mereka. Kenchana terkilan kerana dia belum sempat menyampaikan khabar keadaan Melur kepada Pekan. Kenchana turut menyalahkan dirinya sendiri kerana menyebabkan keadaan Pekan berubah. Dia tahu anak lelakinya itu malu dengan keadaan fizikalnya sekarang. Pekan pasti tidak sanggup untuk berhadapan dengan orang lain memandangkan wajahnya yang terlihat seperti sebatang pohon yang bergerak. Fikir Kenchana, Pekan pastilah menyalahkan dirinya kerana telah mengubah bentuk wujud anak lelakinya itu. Oleh kerana itulah Pekan melarikan diri dan menjauh darinya.

Dalam sedih memikirkan Pekan yang menghilang, Kenchana juga masih galau dan bersedih dengan sikap Melur yang masih belum ingin pulang. Entah kenapa anak gadisnya itu bersikap sedemikian. Kenchana gagal memikirkan alasan anaknya itu. Kenchana benar-benar merasa terasing dan sendirian.  Mastika juga sudah tiada untuk dia meluahkan perasaan. Selama ini, Ibu mertuanya itulah yang menjadi tempat dia meluah dan berkongsi perasaan. Betara pula sibuk dengan urusannya sebagai punta di permukiman mereka. Jika ada masa luang, barulah suaminya itu akan bersama dan menemani Kenchana. Dia tidak menyalahkan Betara. Kenchana tahu, suaminya itu sudah melakukan hal yang terbaik demi dirinya dan seluruh puak mereka.

Suatu hari, selesai sahaja sarapan pagi, Kenchana sendirian duduk di anjung ruangan memasak. Sejak ketiadaan Mastika, Kenchana sudah tawar hati untuk membantu mengemas ruangan tersebut. Dahulu dia sentiasa berbual dan bergurau dengan ibu mertuanya itu ketika memasak atau mengemas ruangan memasak tersebut. Kini, Kenchana hanya melihat sahaja ruangan itu di kemas oleh beberapa orang wanita lain. Sambil melihat, Kenchana termenung sendirian. Fikirannya mengelamun jauh.

“Ibu..” Tiba-tiba suara Melur tertangkap pada pendengaran Kenchana.

“Melur..? Melur..? Di mana dirimu sayang?” Kenchana melihat-lihat ke seluruh kawasan sekitarnya namun dia langsung tidak melihat kehadiran kelibat anak perempuannya itu. Kenchana mula berfikir dia terlalu memikirkan anak perempuannya itu sehingga berkhayal mendengarkan suara Melur. Dia benar-benar merindukan panggilan dari anak gadisnya itu. Namun seketika kemudian, suara Melur kedengaran lagi di telinga Kenchana.

“Ibu.. Melur masih di alam ghaib.. Melur ingin berjumpa ibu..”

“Hadirlah sayang.. Ibu juga sangat rindu ingin melihat Melur..” Kenchana mula menangis. Sekarang dia yakin, dirinya tidak sedang berkhayal. Suara manja yang dia rindukan itu benar-benar jelas kedengaran di telinganya.

“Ibu datanglah ke pohon bunut dihujung kampung. Melur tunggu ibu disana.” 

Tanpa berlengah, Kenchana pun segera bangkit dari duduknya dan bergegas berlari menuju ke arah tempat yang diperkatakan oleh suara anaknya itu. Kerana terlalu gopoh berlari, Kenchana beberapa kali melanggar orang yang lalu lalang di sekitar pekarangan kampung. Beberapa orang penduduk yang melihat perilaku Kenchana itu merasa pelik. Wanita itu terlihat berlari secara semberono dan kelam kabut menuju ke pinggir perkampungan. Sesampainya dia di pohon bunut yang besar di luar perkarangan kampung, Kenchana melilau mencari kehadiran Melur ke sana sini. Tiba-tiba Melur pun muncul di sebalik pohon bunut yang besar itu. 

“Ibu..” Melur memanggil Kenchana.

“Melur.. Anak ibu..” Kenchana segera menerpa dan memeluk anak perempuannya. Kerinduannya selama tiga bulan itu terubat akhirnya. Kenchana sudah tidak mampu menahan air matanya dari terus mengalir dengan laju. Wajah Melur di cium berkali-kali oleh sang ibu bagi meluahkan kerinduannya.

“Melur rindukan ibu..” Melur merangkul pinggang Kenchana dan memeluk erat ibunya itu.

“Kasihan anak ibu..” Kenchana mengelus pipi Melur yang melecur dan berbekas parut luka. 

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now