Bab 10

2 0 0
                                    

Perkampungan Bunut Naga

PARANG di tanganya dilihat oleh Betara. Mata parang itu dipusing kiri dan kanan untuk dipastikan ketajamannya melalui nipis mata parang tersebut. Kemudian mata parang tersebut diasah lagi pada sebiji batu di depannya. Hari ini, Betara tidak keluar memburu seperti biasanya. Ada ketika, pasukan pemburu akan berehat secara bergilir dan hari ini adalah giliran Betara untuk bercuti dari jadual rutinnya. Pada waktu rehat begitu, Betara akan mempersiapkan senjata berburunya dan mengasah parangnya untuk memastikan senjata tersebut sentiasa tajam.

Setelah siap mengasah parang, Betara bangun berdiri dan duduk di hadapan gazebo. Pandangannya ditumpukan kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain. Betara tidak sedar, bibirnya menguntumkan senyuman apabila melihat kanak-kanak yang sedang gembira. Dia terkenangkan dirinya di zaman kanak-kanak seperti mereka. Dirinya ketika kecil mempunyai perangai yang sangat nakal sehinggakan datuknya, Punta Damar sering memarahinya. Bahkan sehingga dewasa, perangai nakal itu masih ada dalam diri Betara. 

Betara kemudian dikejutkan dengan suara batuk dari Punta Damar yang sedang menundukkan badannya untuk duduk di sebelah Betara. Setelah duduk di lantai gazebo, Punta Damar meletakkan tongkat di tangannya ke lantai. 

"Perangaimu dahulu lebih nakal dari budak-budak tu." Punta Damar menegur Betara. Dari kata-katanya, jelas pemimpin tua di Perkampungan Bunut Naga itu dapat membaca hal yang bermain di fikiran Betara di saat itu. Betara hanya tertawa kecil mendengar kata-kata datuknya itu.

"Datuk mahu minum?" 

"Tidak. Nanti sajalah."

"Betara.. Kau sudah pun dewasa." Punta Damar melanjutkan ucapannya.

"Apa yang datuk ingin katakan?"

"Hal semalam.. Kamu keterlaluan mengusik Kenchana. Jangan bertingkah begitu sama gadis. Kalian bukan lagi anak kecil." Punta Damar berterus-terang menegur cucunya itu.

"Maafkan Betara." 

Punta Damar hanya melepaskan satu hembusan, mengeluh dengan kenakalan Betara. Walaupun nakal, namun sikap Betara yang sedar akan kesilapannya dan tidak segan untuk meminta maaf itu membuatkan Punta Damar merasa senang. Namun hal yang terjadi semalam, Punta Damar sebenarnya hanya lebih memikirkan perasaan Kenchana yang baru tinggal bersama mereka di situ. Gadis itu pasti merasa sangat malu diperlakukan begitu oleh Betara. Sebagai orang tua dan sebagai pemimpin di situ bahkan sebagai seorang datuk, Punta Damar merasa bertanggungjawab untuk menegur Betara. 

Di sudut hati Punta Damar, dia sendiri berasa wajar Betara yang tidak memiliki ayah itu bersikap nakal. Membesar tanpa seorang ayah pasti saja membuatkan Betara sukar untuk dikawal sikapnya. Oleh kerana itu, Punta Damar sebagai datuknya yang perlu memainkan peranan seorang ayah kepada Betara. Namun kerana tugasnya sebagai seorang pemimpin, Punta Damar juga di kekang oleh masa untuk sentiasa menjaga Betara ketika kecilnya.

"Kamu perlu minta maaf pada Kenchana. Dia pastinya sangat terkesan dengan perbuatanmu kepadanya." Punta Damar memberikan sarannya kepada Betara.

"Baiklah datuk."

"Betara.. Datuk nak tanya sesuatu.." 

Betara ketika itu sedang melihat Kenchana baru keluar dari kediamannya langsung tidak mengendahkan kata-kata Punta Damar. Betara terus berdiri dan berjalan menuju ke arah Kenchana, meninggalkan Punta Damar yang masih tidak menghabiskan kata-katanya. Punta Damar yang belum habis berbicara kepada cucunya itu segera berpaling ke arah Betara yang sudah pun berjalan membelakanginya.

"Budak ni.. bertuah betul." Punta Damar menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil tersenyum. Perasaan geramnya pada Betara tidak mampu diterbitkan dek kerana telatah Betara yang tidak mampu dia ubah. Cucu tunggal yang menjadi kesayangannya itu tetap juga nakal walau sudah menginjak dewasa.

Betara yang cuba menghampiri Kenchana secara tiba-tiba menghentikan langkahnya. Dari depan gazebo dia dapat melihat Salak, salah seorang lelaki di perkampungan tersebut mendekati Kenchana. Salak dan Kenchana kelihatan begitu mesra berbual-bual. Betara tidak mendengar isi perbualan di antara mereka berdua kerana jaraknya masih agak jauh. Namun dari gerakan mereka, Betara dapat menduga Salak sedang memuji malai bunga yang dipakai oleh Kenchana. Kemesraan diantara Salak dan Kenchana membuatkan Betara merasa cemburu. Namun selepas seketika, Betara mula sedar dan mengutuk dirinya sendiri.

"Kenapa pula aku harus rasa cemburu? Padahal aku tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Kenchana. Aku tidak harus ikut campur dalam urusan peribadi dan kehidupan dia." Betara bermonolog. Baru sahaja Betara ingin membuang rasa cemburunya, namun tiba-tiba matanya melihat pula Salak memegang tangan Kenchana. Kini api cemburu semakin meluap di hati Betara.

"Tak guna. Sepatutnya cuma aku yang boleh pegang tangan Kenchana sebegitu." getus hati Betara. Tidak mampu bertahan lama menyaksikan hal yang menyakitkan hatinya, Betara segera membalikkan badannya dan berjalan pergi dari situ. Dia sudah tidak mahu menyaksikan hal sebegitu.

"Bodoh! Bodoh! Betara. Kenapa kau harus rasa cemburu? Apakah kau suka dengan Kenchana?" Di dalam hati, Betara mengutuk dan menyoal dirinya sendiri. Di depan gazebo, Betara sudah tidak perasan bahawa datuknya, Punta Damar sedang memerhatikan tindak-tanduknya ketika itu. Betara meninggalkan pekarangan perkampungan dan menuju ke hutan. 

Setelah selesai berbual dengan Salak, Kenchana pun menuju ke arah gazebo, dimana Punta Damar berada. Apabila sampai di hadapan Punta Damar, Kenchana melihat ke sekeliling kawasan seraya melontarkan soalan kepada pemimpin Puak Saga itu.

"Di mana Betara? Bukankah dia ada bersama Punta sebentar tadi?" 

"Aku fikir, suasana hatinya kurang baik. Mungkin dia pergi menenangkan dirinya ke hutan." Punta Damar seolahnya memahami fikiran Betara sebentar tadi.

"Kenapa? Betara tidak sihat?"

"Entahlah. Mungkin kamu patut tanyakan sendiri kepadanya."

"Tanyakan sendiri?" Kenchana bingung dengan jawapan Punta Damar.

"Kenchana mahu berjumpa ibu. Kenchana pergi dahulu." Kenchana tersenyum kelat ke arah Punta Damar sebelum berpaling wajah dan berlalu pergi dari situ. 

Kenchana kemudiannya menemui Mastika dan mengajak ibu angkatnya itu untuk menemani dirinya memetik bunga lagi pada hari tersebut. Bunga yang masih tersisa di bakulnya tidak mencukupi untuk menghasilkan karangan bunga untuk dijadikan kalung di leher. Mastika yang tidak keberatan hanya menuruti permintaan Kenchana. Mereka berdua pun pergi ke kawasan lapang di belakang perkampungan Bunut Naga untuk memetik bunga disana. 

Tidak jauh dari kawasan Kenchana dan Mastika sedang memetik bunga, di kawasan hutan pinggiran perkampungan Bunut Naga, kelihatan Betara sedang termenung sambil menyandarkan belakang badannya ke sebatang pokok. Tangannya pula memegang sebatang ranting kayu yang sudah kekeringan. Hujung ranting kayu tersebut digores pada tanah sepertinya Betara sedang menconteng dan melukis di permukaan tanah. Sesekali, nafas keluhan terdengar dari rongga mulutnya.

"Benarkah aku sudah mula sukakan Kenchana?"  Betara bingung dengan dirinya sendiri. 

"Tidak mungkin. Aku baru saja mengenalnya. Aku pun masih tidak tahu asal-usulnya." Betara cuba menafikan perasaan yang wujud di dalam dirinya. Dia cuba meyakinkan dirinya, perasaan cemburu tadi sebenarnya tidak wujud. Dia cuma salah tafsir perasaannya sendiri.

"Kirana.. Hatiku hanya untukmu.." Satu nama terbit di bibir Betara.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now