Bab 7

4 0 0
                                    

PERASAAN Kenchana sungguh gembira apabila kembali ke pekarangan Perkampungan Bunut Naga sambil membimbit bakul yang penuh terisi dengan pelbagai jenis bunga. Dia bersemangat sekali untuk terus menghasilkan malai bunga yang baru dipelajari caranya dari Mastika. Apabila melalui ruangan memasak, Mastika menyedari hasil buruan dari pasukan pemburu sudah tersedia di ruangan memasak. Itu menunjukkan pasukan pemburu sudah pulang dengan membawa hasil buruan mereka. Kini, tugas para wanita pula untuk memasak hasil buruan itu untuk dimakan bersama oleh seluruh penduduk di perkampungan.

"Pasukan pemburu sudah pulang. Ibu ingin memasak dahulu. Kenchana pulanglah dulu." Mastika menyampaikan hasrat untuk melaksanakan tugasannya kepada Kenchana.

"Baiklah ibu. Kenchana mahu simpan bunga-bunga ini dahulu. Nanti Kenchana juga akan membantu ibu memasak."

Mastika hanya mengangguk dan tersenyum kepada anak angkatnya itu seraya melencongkan arah perjalanannya menuju ke ruangan memasak. Kenchana pula meneruskan langkahnya menuju ke arah rumah yang baru dibina untuknya.Setelah membuka pintu rumahnya, Kenchana segera meletakkan bakul berisi bunga yang dibawanya. Bunga itu di belek-belek oleh Kenchana. Di hatinya, dia tidak sabar untuk menyiapkan malai bunga yang seterusnya. Namun sekarang, para wanita sedang sibuk memasak, jadi Kenchana juga akan terasa kekok jika tidak bersama membantu menyiapkan juadah untuk semua orang. Dia tidak mahu merasakan dirinya hanya menjadi beban di perkampungan tersebut dengan tidak berbuat apa-apa. Walaupun langsung tidak tahu memasak selama ini, Kenchana cuba untuk belajar dari para wanita di perkampungan tersebut. Hidup secara bermuafakat sebegitu sangat menyenangkan hati Kenchana.

Kenchana kemudiannya terus keluar kembali dari ruangan peribadinya itu dan menutup pintu. Baru beberapa langkah kakinya bergerak, mata Kenchana segera menangkap keberadaan Betara yang sedang memasuki ruangan memasak. Kenchana segera melajukan gerakan kakinya. Dia tidak ingin dirinya terlihat tidak membantu para wanita disana memasak oleh penyelamatnya minggu lalu. Setelah memasuki ruangan memasak, Kenchana melihat Betara hanya duduk di anjung sisi ruangan memasak sambil bertegur sapa dengan wanita yang sedang menghiris daging kijang. Kenchana menundukkan pandangannya dan langsung menuju ke arah Mastika yang sedang menyiapkan bahan untuk masakan. Baru sahaja Kenchana melabuhkan punggungnya di sisi Mastika, tiba-tiba Betara menyapanya.

"Kenchana, cantik sungguh malai bungamu."

"Terima kasih. Ini hadiah dari ibu."

Mastika yang mendengar perbualan dua anaknya itu hanya menyimpulkan senyuman.

"Apa yang boleh Kenchana bantu ibu?" Kenchana yang masih kekok di dapur bersedia menerima arahan dari Mastika.

"Kenchana pergilah hiris daging. Bahan ini cukup ibu saja yang buatkan."

"Baiklah." Kenchana segera bangkit berdiri kembali dan matanya melihat ke arah beberapa orang wanita yang sedang menghiris daging kijang yang sudah siap dilapah oleh para lelaki. Betara pula sedang duduk menghadap dengan kumpulan wanita tersebut. Sambil berjalan, Kenchana mencuri pandang ke arah Betara yang sedang tersenyum menatapnya. Tiba-tiba Kenchana merasa gugup. Pandangan mata ketua pasukan pemburu itu membuatkan jantung Kenchana berdegup kencang. Kenchana sendiri menjadi bingung dengan keadaan dirinya sekarang. Entah kenapa dia merasakan gugup dan berdebar sebegitu apabila ditatap oleh Betara.

Kenchana mengambil tempat duduknya di sebelah salah seorang wanita. Dia kemudiannya meminta diberikan pisau untuk turut sama membantu selepas melihat cara wanita di sebelahnya memotong dan menghiris daging. Ketika para wanita sedang menguruskan untuk persiapan memasak, Betara pula membaringkan badannya di anjung kawasan tersebut. Dia ingin merehatkan sebentar tubuhnya yang kepenatan setelah berburu seharian di hutan.

"Aahhh.." Tiba-tiba kedengaran suara Kenchana. Semua orang di kawasan memasak itu termasuklah Betara segera memandang ke arah Kenchana. Darah sedang meleleh di hujung jari Kenchana. Rupa-rupanya Kenchana terhiris jarinya sendiri. Betara yang terkejut dengan keadaan itu dengan pantas bangkit dari pembaringannya menuju ke arah Kenchana. Pergelangan tangan Kenchana di genggam oleh Betara dan jarinya yang terluka itu pun dipegang oleh Betara. Betara kemudiannya menyuruh Kenchana melepaskan pisau di tangannya sebelah lagi dan segera menuntun Kenchana untuk duduk di anjung, tempat dia berbaring sebentar tadi.

Betara kelihatan seperti ingin mengeluarkan sesuatu dari lilit ikatan di pinggangnya dan seketika kemudian dia memegang beberapa helai daun yang dikeluarkan dari celahan lilit ikatan tersebut. Setelah meremas daun tersebut, Betara meletakkan daun itu di luka pada jari Kenchana. Jari Kenchana dipegang dengan kejap oleh Betara.

"Berikan aku air." Betara meminta dari perempuan yang menghiris daging di depannya tadi. Perempuan itu kelam-kabut apabila Betara meminta air daripadanya dan segera menghulurkan buluh yang berisi air kepada Betara. Betara segera menyiram jari Kenchana untuk membersihkan darah yang meleleh di jari gadis itu. Jari Kenchana digosok lembut oleh Betara. Mastika juga sudah menghampiri Kenchana di saat ini.

"Hati-hati ketika menggunakan benda tajam. Bagaimana luka mu? teruk ke?" Mastika terlihat cemas dengan keadaan Kenchana. Selepas darah di jari Kenchana dibersihkan, Mastika pula memegang tangan anak angkatnya itu dari genggaman Betara. Mastika melihat-lihat ke arah jari untuk melihat luka yang dialami oleh Kenchana. Namun Mastika menjadi hairan. Matanya kemudian terus menatap ke wajah Kenchana dan seterusnya mengalihkan pandangan matanya kepada Betara pula. Betara juga membalas pandangan ibunya itu.

Mereka masing-masing kehairanan. Mereka langsung tidak melihat sebarang kesan luka di jari Kenchana. Jangankan bekas hirisan, parut sedikit pun tidak kelihatan. Jika Kenchana tidak terluka, dari mana pula datangnya darah yang meleleh sebentar tadi di jarinya? Tidak mungkin darah dari daging kijang yang dihirisnya. Bahkan Kenchana sendiri tadinya menjerit apabila mata pisau mengenai kulit jarinya. Daun yang digunakan Betara sebentar tadi untuk membalut luka Kenchana pun sememangnya untuk menghentikan pendarahan dan menutup bekas luka. Tapi tidak mungkin akan menghilangkan bekas luka serta-merta bahkan tidak meninggalkan parut sedikit pun. Betara hanya membalutnya beberapa saat sahaja.

"Bagaimana lukamu hilang?" Betara mula bertanya kepada Kenchana.

"Eh? Bukankah luka kecil begitu sememangnya akan berhenti segera?" Kenchana terpinga-pinga.

"Berhenti segera? Mana mungkin.." Betara pula yang bertambah hairan.

"Sudahlah.. Kenchana berehatlah dulu. Tak usah la bantu kami memasak hari ini." Mastika pula bersuara sambil matanya masih memerhatikan jari-jemari Kenchana.

"Tapi Kenchana tak apa-apa Ibu.."

"Tak apa lah. Kenchana berehatlah dulu. Lain kali saja Kenchana bantu memasak." Mastika tetap bertegas. Kenchana mula menundukkan pandangan matanya.

"Kenchana pasti sudah penat memetik bunga, buat malai bunga tadi. Rehatlah dulu. Pergilah siapkan malai bunga lagi. Esok saja Kenchana bantu memasak." Mastika sepertinya memujuk setelah melihat Kenchana yang seakan kecewa kerana tidak dibenarkan membantu di ruangan memasak.

"Baiklah ibu.." Kenchana kembali tersenyum dan seterusnya berdiri dari duduknya. Perlahan-lahan kakinya mula melangkah meninggalkan ruangan memasak tersebut. Niatnya untuk kembali ke rumahnya untuk membuat malai bunga seterusnya. Para wanita disitu yang tidak menyedari apa yang sudah berlaku mula meneruskan kembali tugasan mereka. Hanya Mastika dan Betara yang masih berdiri melihat Kenchana yang berlalu dari situ.

"Siapa sebenarnya Kenchana itu..? Bagaimana mungkin lukanya mampu sembuh dan hilang dengan sekelip mata." Mastika memandang ke arah Betara.

"Entahlah ibu. Dari kata-katanya tadi, luka biasanya akan berhenti segera."

"Bahkan tidak meninggalkan parut sedikit pun."

"Ya.. Kalau dilihat pun, di kulitnya tidak ada sedikit parut pun. Kulitnya halus, putih dan bersih."

"Tidak mungkin bagi seorang gadis biasa yang hidup membesar di hutan seorang diri tidak mempunyai sedikit parut pun." Mastika mengiyakan kata-kata Betara.

"Dia bukan gadis biasa Ibu.." Betara pula bersetuju dengan pendapat ibunya.

"Nanti kamu tolong tengokkan Kenchana."

"Baiklah ibu."

"Ibu nak sambung siapkan masakan dulu." Mastika mula bergerak menuju ke tempat dia duduk tadi untuk menyambung tugasannya. Betara pula masih memerhatikan Kenchana yang sudah berjalan semakin menjauh dari situ. Di mindanya, Betara masih memikirkan tentang Kenchana yang aneh itu. Seperti minggu lalu pun, kaki Kenchana yang membengkak dan terseliuh cuma pulih dalam masa sehari sahaja. Bagi orang biasa, kecederaan seperti itu sekurangnya mengambil masa sehingga satu minggu untuk pulih kembali. Kini fikiran Betara semakin jauh menerawang.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now