Bab 44

1 0 0
                                    

"Cukup.. Sudah puas aku bermain." Tiba-tiba suara Sang Ukong mengejutkan Betara. Lelaki itu segera berpaling ke arah belakang dan mendapati Sang Ukong sedang berdiri beberapa kaki jaraknya dari belakang Betara. Betara melihat kembali Sang Ukong yang ditikam olehnya.Rupa-rupanya Sang Ukong yang ditikam oleh Betara itu adalah jelmaan klon yang dihasilkan oleh kera sakti tersebut. Entah bila masanya kera tersebut menghasilkan jelmaan dirinya. Betara semakin bingung.

Sang Ukong kemudian memutar-mutar dengan kencang tongkatnya lalu menghentak tongkat sakti tersebut di tanah seperti sebelumnya. Betara  tersentak lagi apabila suasana persekitaran mereka sekali lagi bertukar. Mereka kini kembali ke hutan tempat mereka berada sebelumnya. Kera-kera yang berada di situ berdicit melarikan diri apabila melihat Betara dan raja mereka kembali ke sana.

"Betara!" Kenchana menjerit memanggil suaminya apabila melihat Betara muncul kembali. Namun Betara yang masih hilang kesedarannya itu tidak mengendahkan panggilan dari Kenchana.

"Arrghhhh!!" Betara menjerit buat kesekian kalinya. Api mula menyambar kembali dari badannya dan membakar lagi hutan yang sedia terbakar sejak dari tadi. Dia pun melancarkan kembali serangan yang bertali arus ke arah Sang Ukong. Semua serangan dari Betara tetap berjaya dielak dengan mudah oleh Sang Ukong yang bertingkah lincah.

"Sudahlah.. sampai setakat ini sahaja.. kalau dibiarkan lagi, nanti hutan ini akan musnah sepenuhnya." Sang Ukong berbicara seraya melompat jauh ke belakang untuk menghindari serangan Betara yang bertali arus sambil bertujuan untuk menjarakkan dirinya dari Betara.

"Tongkat sakit, memanjanglah!" Serta merta tongkat di tangan Sang Ukong kembali menjadi panjang sekali lagi dan seraya itu juga Sang Ukong menghayunkan tongkatnya itu ke arah Betara. Serangan kera sakti itu berjaya mengenai sasarannya dan mengakibatkan Betara terpelanting sebelum tergolek beberapa kali ke tanah. Sang Ukong dengan tangkas melompat ke arah Betara yang masih tertungkup di tanah dan sekali lagi menyerang dengan satu hentakan kuat di bahagian belakang badan Betara yang mengakibatkan Betara mengalami kecederaan sehingga memuntahkan darah. 

Api yang menyala pada badan Betara pun menghilang. Tangannya yang tadinya menggenggam erat Keris Taming Gemala Naga, kini melepaskan keris tersebut. Sungguh luar biasa kehebatan Sang Ukong si raja kera itu. Cuma dengan dua pukulan sahaja sudah mampu mengalahkan Betara yang tersohor sebagai pahlawan yang hebat dari kalangan Puak Saga. Kenchana dari atas dahan pokok yang tinggi itu cuma mampu menangis tidak henti apabila menyaksikan suaminya ditewaskan dengan mudah oleh seekor kera yang menggunakan tongkat kayu. 

Walaupun sudah tertiarap ditanah, nafas Betara yang kelelahan masih kedengaran. Sang Ukong yang berdiri hampir di kepala Betara itu cuma melihat Betara yang sudah lemah itu sambil menggaru-garu badannya, layaknya sebagai seekor kera. Sang Ukong kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Kenchana yang terikat di atas pokok. Tangisan kencang Kenchana itu dirasakan membingitkan telinga Sang Ukong dan kera sakti itu kemudian menutup telinganya menggunakan tangannya sambil mulutnya dimuncungkan ke arah Kenchana dan kepalanya kemudian digelengkan ke kanan dan kiri beberapa kali. 

Tanpa disangka, Betara yang masih mempunyai tenaga itu menyambar kaki Sang Ukong dengan tangannya. Kaki kera itu dicengkam dengan kuat dan penuh tenaga oleh Betara. Sang Ukong yang terkejut dengan tindakan Betara itu cuba melompat-lompat supaya cengkaman tangan Betara dikakinya itu terlepas namun usahanya itu sia-sia. Betara lantas bangkit dan menghempas Sang Ukong ke tanah. Betara cuba mengulangi serangannya itu dan menarik kaki Sang Ukong dengan keras sehingga badan kera itu terangkat melepasi kepala Betara. Namun sebelum Betara menghempasnya kembali ke tanah, Sang Ukong segera memijakkan kakinya yang sebelah lagi ke atas bahu Betara dan dia kini berada di posisi berdiri diatas Betara. Dengan cepat sekali Sang Ukong menghayunkan ekornya ke muka Betara. Kera itu kemudian menggunakan kakinya untuk memulas lengan Betara dan dia menjunamkan dirinya ke tanah sambil menarik lengan Betara. Dorongan dari Sang Ukong menyebabkan Betara hilang keseimbangan dan tercampak jatuh ke tanah, beberapa kaki jaraknya dari Sang Ukong.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now