Bab 31

1 0 0
                                    

Gunung Korbu

RATU Manikmaya berjalan perlahan-lahan menuju ke arah singgahsana miliknya. Tongkat ditangannya terlihat sedikit bergerak-gerak kerana menampung Ratu Manikmaya yang terketar-ketar sewaktu berjalan.  Wajahnya yang kelihatan sudah bertambah tua dan ditambah dengan kesan melecur pada mukanya menambahkan kengerian pada sesiapa yang melihatnya. Apabila sampai ke singgahsananya, Ratu Manikmaya segera duduk dan menghadap beberapa ekor raksasa korbu. Cuma beberapa ekor sahaja raksasa korbunya masih tersisa sejak pertempuran sepuluh tahun lepas. Tongkat ditangannya dilepaskan tetapi tongkat tersebut masih utuh berdiri sendiri seakan terpasak dibumi.

"Sudah sepuluh tahun.. Kecederaanku baru pulih.. Tak guna Naga Purba!" Ratu Manikmaya meluahkan kegeraman.

Kecederaannya sangat parah apabila diserang oleh Naga Purba Raya Dirgantara sepuluh tahun dahulu malah kecederaan Si Ratu Manikmaya bertambah parah apabila terjatuh dari gaung yang tinggi saat itu. Jika bukan kerana gagak hitam setia yang menyelamatkannya, pasti nyawa Ratu Manikmaya ketika itu sudah melayang.

"Aku perlu kumpulkan kembali pasukan tenteraku. Hapuskan semua manusia bodoh yang menentangku.. Aku mesti dapatkan kesaktian dari perempuan tu!!" Ratu Manikmaya menjerit.

"Kenchana... Aku akan robek dadamu dan memakan hatimu itu.. Kemudian aku akan mendapat kesaktian yang abadi!! Aku akan kembali muda dan berkuasa!" Mata Ratu Manikmaya merah menyala menahan geram. Sekian lama dia menginginkan kekuatan sakti dari Kenchana namun sampai sekarang dia belum berjaya. Tiba-tiba kemarahan di wajah bengis Ratu Manikmaya bertukar menjadi senyuman.

"Jika Aku sudah mendapat kesaktian abadi, Aku akan hancurkan dunia ini.. Aku akan bunuh dan siat-siat si Naga Purba tak guna itu.. Aku akan cincang badannya sehingga berkeping-keping dan beri kepada anjing untuk dimakan." Ratu Manikmaya menghamburkan kata cacian dan turut diiringi oleh hilai ketawanya. Bencinya kepada Naga Purba Raya begitu meluap sehingga dia sebolehnya tidak mahu menyebut atau mendengar nama Naga itu.

Setelah diam seketika, Ratu Manikmaya menatap ke arah beberapa ekor raksasa korbu yang berada didepannya. Jumlahnya cuma lima ekor. Ratu Manikmaya mengepal tangannya menahan geram. Sungguh dia tidak menyangka, tenteranya yang ramai dahulu sekarang cuma berbaki lima ekor. Itupun mereka yang tersisa kerana tidak mengikuti pasukan perang sepuluh tahun dahulu kerana diarahkan oleh Ratu Manikmaya untuk berkawal dan menjaga istananya di puncak Gunung Korbu itu. Jika tidak, seluruh pasukan raksasa korbu miliknya pasti akan licin dihabisi oleh Naga Purba.

"Ayuh kita kumpulkan kembali pasukan tentera korbuku." Ratu Manikmaya memberikan titahnya seraya berdiri dan maju beberapa langkah ke hadapan.  Sang gagak hitam tiba-tiba muncul dan terbang mengelilingi Ratu Manikmaya sebelum menempel dibelakang ratu itu lalu bertukar menjadi sayap hitam yang besar.

Ratu Manikmaya membuka sayapnya melebar seketika sebelum sayapnya itu di kibas. Setelah mengibaskan sayapnya beberapa kali, kakinya terangkat tidak mencecah lantai. Ratu Manikmaya yang sudah terapung itu mendepangkan dadanya dengan kedua tangannya diluruskan disisi kiri dan kanan sambil kepalanya mendongak ke atas. Ratu Manikmaya kemudiannya melihat ke arah tongkatnya yang masih terpacak di tepi singgahsananya lalu menggerakkan jari telunjuknya. Tongkat itu segera bergerak melayang menuju ke arah Ratu Manikmaya dengan pantas dan disambut kemas oleh sang ratu.

"Sekarang kita cari kawanan korbu yang akan menjadi pengikutku.." Suara nyaring ketawa Ratu Manikmaya bergema didalam gua yang menjadi istananya itu. Ratu Manikmaya segera terbang keluar dari gua itu menggunakan sayapnya yang lebar. Wanita sihir itu mula terbang dengan laju merentas angin apabila sudah keluar dari pintu gua. Dirinya menjulang tinggi ke atas dan berhenti sesaat di udara. Sambil melihat pemandangan dari atas udara dengan senyuman, sang ratu itu pun menjunam menuju ke bawah, menuruni puncak gunung korbu seperti seekor helang yang ingin menyambar mangsanya.

Setelah terbang beberapa waktu menuruni gunung, akhirnya Ratu Manikmaya menemui kawanan besar kerbau sedang berkubang di dalam lumpur dan ada sebahagiannya sedang meragut rumput. Dia terbang meluncur laju menghampiri sasarannya sebelum berhenti tidak jauh dari kawanan kerbau tersebut. Dia tidak mendekati terus kawanan kerbau kerana bimbang jika para kerbau itu lari bertempiaran kerana terkejut dengan kehadirannya di situ.

Ratu Manikmaya terus tersenyum lebar apabila melihat kawanan kerbau liar yang berjumlah lebih dari seratus ekor itu. Lebih ramai dari jumlah yang menjadi raksasa korbunya sepuluh tahun dahulu.

"Kali ini, bala tenteraku akan lebih ramai berbanding dulu. Akan aku hapuskan semua manusia bodoh yang menentangku dulu." Ratu Manikmaya berbicara sendirian dengan suara yang perlahan.

Ratu Manikmaya kemudiannya menghentak tongkat ditangannya ke tanah. Dia kemudiannya mengangkat tongkatnya tinggi seraya menghalakan tongkatnya ke arah kawanan kerbau dihadapannya itu. Lalu keluarlah cahaya hijau dari tongkatnya dan cahaya hijau itu kemudiannya menyelubungi seluruh kawasan kerbau tersebut. Setelah itu, beberapa ekor kerbau itu berteriak dan bertukar menjadi raksasa korbu seperti sebelum ini. Namun Ratu Manikmaya terkejut kerana tidak sampai separuh dari kawanan kerbau itu bertukar menjadi raksasa korbu.

Sebahagian besar kerbau yang masih tidak berubah keadaan fizikal mereka pula menguak teriakan kuat dan seraya melarikan diri. Kawanan kerbau itu terkejut dan ketakutan setelah melihat sebahagian dari mereka yang bertiwikrama menjadi makhluk sumpahan. Ratu Manikmaya terbeliak matanya. Dia terpempan apabila menyaksikan keadaan diluar jangkaannya itu. Sebahagian besar sasarannya terlepas. Raksasa korbu yang dapat dia hasilkan dari kawanan kerbau itu cuma hampir dua puluh ekor sahaja. Ratu Manikmaya mendengus geram. Kecewa kerana matlamatnya tidak tercapai.

"Tak guna. Kuasaku masih tidak cukup untuk menukarkan semua kerbau itu menjadi raksasa korbu." Ratu Manikmaya rebah melutut sambil nafasnya tercungap-cungap.

"Sepuluh tahun ini, kuasaku banyak diguna untuk merawat kecederaanku.. Aku perlukan beberapa tahun lagi untuk kumpul kembali kuasa sihirku yang hilang untuk menukarkan semua binatang itu menjadi bala tenteraku.."

"Celaka kau Naga Purba!!" Ratu Manikmaya menjerit menyumpah raksasa yang mencederakan dirinya dahulu. Mata Ratu Manikmaya menyorot ganas sambil mengeluarkan air mata. Kegeraman yang penuh dendam jelas terlihat pada wajahnya ketika ini.

"Aku mesti dapatkan hati Kenchana secepat mungkin.. Kali ini Aku takkan gagal lagi.."

"Kau nantikan pembalasanku Naga Purba Raya.. Para manusia yang bodoh itu juga... Aku akan hapuskan kalian.." Ratu Manikmaya menjerit kuat. Dia ingin meluahkan semua dendam kesumat yang bersarang dihatinya melalui jeritan tersebut. Sakit hatinya tidak tertahan lagi.

HATI HUTAN : CINTA SI PARI-PARIWhere stories live. Discover now