• Bab 43 •

225 17 0
                                    

UZAYR menahan diri daripada mengetuk pintu bilik itu. Rasa tak kuat mahu berhadapan dengan Muhammad Aayiz. Lelaki itu... menjadi seorang yang paranoid. Uzayr menghela nafas perlahan dan kembali ke biliknya.

Lebih baik dia biarkan Aayiz bertenang dahulu. Lagipula, ini sudah hari ketiga sejak Aayiz keluar hospital. Biarkan Aayiz berehat takkan timbulkan apa-apa masalah. Dia yakin. Aayiz pasti kelelahan.

Baju yang tersarung pada tubuh dibuka. Uzayr menatap cermin full body yang menghadapnya. Dia tersenyum kelat. Nombor yang tercetak di sisi perutnya itu diusap perlahan.

3003.

"Kita dah tak ada pilihan. Hantar je budak ni. Lagipun, aku dengar dari orang yang hantar dia tu cakap yang family budak ni dah mati. Mesti takkan ada masalah punyalah." Tubuhnya menegang. Dia tahu yang dimaksud itu dirinya. Di dalam perpustakaan mini itu hanya ada dirinya.

Dia benar-benar terkejut. Niatnya mahu bangun tadi terhenti. Dia keras di situ dan berpura-pura masih tidur. Takut.

"Daddy, along, Aayiz... Angah takut..." bisik hatinya lirih.

Uzayr berjalan menuju ke katil dan merebahkan diri di sana. Air mata mengalir turun.

"Tak nak! Lepaskan Es! Lepaskan!" Uzayr meronta-ronta mahu turun. Dia takut dengan lelaki ini. Rasa takutnya datang kerana mendengar perbualan pengkhianat di rumah anak yatim itu.

Uzayr menangis-nangis tak mahu. Dia yakin, orang ini bukan mahu mengambilnya sebagai anak melainkan untuk tujuan yang berbahaya. Dia takut.

Dia tak mahu lalui sesuatu yang menakutkan. Dia mahukan daddy dan along.

"Lepaslah! Es tak nak pergi! Tak nak!"

Pang!

Terus terdiam Uzayr saat itu. Mata berkaca-kaca mahu menangis. Sakit. Tak ada yang pernah naik tangan padanya dulu.

"Jangan degil! Kau nak hidup merempat tepi jalan? Kena culik, diorang jual organ kau. Nak?!" Uzayr menggeleng dengan tubuh yang bergetar.

"Daddy... Along... Angah takut. Angah takut kalau apa yang Aayiz nampak tu betul. Angah takut kalau angah kalah dengan diri angah dan tak dapat lindungi Aayiz... Angah takut, long... Angah takut, daddy... Apa angah nak buat?" soalnya perlahan. Tangan kiri naik menutupi matanya yang mula banjir. Tubuh mula menggeletar.

"Semua ni salah angah... Angah minta maaf... Angah tak patut cakap macam-macam pada Aayiz. Angah tak patut dengki dengan dia bila daddy layan dia lebih dari angah... Kalau angah tak bodoh, dia takkan lari keluar dan mungkin daddy dengan along masih akan ada dengan angah kan?"

"Aku cakap makan! Makan!" Uzayr meronta. Kaki dan tangannya sudah ditahan. Makanan itu dimasukkan dengan kasar ke dalam mulutnya.

"ERMH! ERMMM!"

"Makanlah, sial!" makinya. Uzayr menggeleng. Dia tak mahu!

"Heret dia! Bagi dia pengajaran sebab degil!"

"HAHAHAH! Okay, bos!" Dengan kasar tubuhnya ditarik ke satu ruangan. Bahang panas terasa di sana.

"Pegang dia." Arahan dikeluarkan. Uzayr berusaha membebaskan diri. Namun semua sia-sia. Tenaga kanak-kanak seusia dirinya tak mampu menandingi tenaga lelaki dewasa itu.

"Ambil benda tu."

"Nak yang mana?" Uzayr menangis. Sungguh, dia tak pernah bayangkan yang dirinya bakal berakhir begini.

"Aku nak dua batang. Kau catat dalam list tu nombor 3003. Budak bawah 12 tahun."

"Bos nak jadikan dia anak ikan ke? Muda lagi dia tu, bos." Kedengaran seperti membantah. Tapi riak wajah seakan gembira. Uzayr tak mengerti percakapan mereka. Anak ikan? Dia bakal berubah jadi ikan ke?

"Jangan lupa logo sekali." Soalan dari bawahannya tadi diabaikan.

"Baik, bos..."

Uzayr memejam rapat matanya. Nafas mula tak karuan. Dada seakan mahu pecah. Dia ketakutan. Laju dia bangun dan berlari menuju ke arah almari baju miliknya dan mencari sesuatu di bawah tumpukan bajunya.

Tangannya menggeletar teruk. Uzayr tersenyum saat apa yang dicari itu sudah dia temui. Laju sahaja penutup botol itu dibuka. Sebiji pil diambil dan terus ditelan.

Uzayr berusaha mengatur nafas sementara menunggu ubat itu bereaksi. Setelah dirasa lebih baik dari tadi dia terus membaringkan diri di atas katil semula.

Tidur adalah jalan terbaik disaat dia begini. Dia tak mahu nanti Aayiz melihat dirinya yang lemah begini.














- Continue -

[C] AKU BUKAN PILIHANWhere stories live. Discover now