IRWAN melangkah pantas di belakang pasukan perubatan yang menolak gurney, di mana tubuh Cik Hajar terbaring lemah dengan mulutnya dipakaikan topeng oksigen. Pucat wajah lelaki itu tatkala darah merah semakin membuak mengalir dari celah bibir Cik Hajar. Hatinya dipagut risau yang bukan kepalang.
"Cik Hajar kuatkan semangat ya... kita dah sampai hospital ni..." Serak kedengaran suara Irwan. Sayu hatinya melihat keadaan ibu saudaranya ketika ini.
Air mata perlahan-lahan mengalir dari birai mata Cik Hajar. Walaupun tubuhnya tidak mampu bergerak banyak, tangannya menggarit lemah dalam cubaan mencari sosok tubuh Irwan.
Melihatkan pergerakan itu, segera Irwan menggenggam tangan Cik Hajar. Wajahnya didekatkan pada wanita itu.
"Wan ada dekat sini..."
Cik Hajar cuba bersuara, tetapi setiap perkataan seakan tersekat di kerongkong. Namun, dengan kudrat yang masih bersisa, bibir pucat itu berbisik payah.
"Se... Seroja... Mak... nak jumpa dia..."
Irwan terus mengangguk.
"Sekejap lagi Wan telefon Seroja," janji Irwan seraya menghantar tubuh Cik Hajar sehingga tiba ke pintu kaca wad kecemasan. Pintu kaca itu kemudiannya perlahan-lahan tertutup. Irwan hanya mampu memandang dari jauh sampailah kelibat ibu saudaranya hilang di balik tirai rawatan.
Tanpa membuang waktu, dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu nombor Seroja didail. Tidak lama masa yang perlu diambil, panggilannya terus bersambung.
─── ⊹⊱✿⊰⊹ ───
SETIBANYA di hospital, langkahnya semakin dilajukan. Matanya liar mencari kelibat Irwan. Dari jauh, dia ternampak lelaki itu sedang mundar-mandir di luar dewan pembedahan. Sesekali, Irwan meraup mukanya.
"Abang Wan!"
Deras Irwan memalingkan wajah. Nafasnya dihela lega saat melihat Seroja muncul bersama Saodah.
"Abang Wan..." Akhirnya, tangisan yang ditahan sejak awal tadi berhamburan di situ. Seroja teresak-esak sebelum tubuhnya hampir menyembah ke bumi. Mujur Irwan bertindak tangkas dengan memaut lengan Seroja.
Kemudian, Irwan membawa Seroja duduk di salah kerusi yang tersedia di ruang menunggu. Saodah turut mengambil tempat di sisi Seroja.
"Ma... macam mana keadaan mak? Doktor kata apa?" Sayu suara Seroja bertanya.
Irwan menundukkan kepala. Terbayang wajah pucat Cik Hajar dan darah merah yang masih segar mengalir dari bibir tua itu. Irwan sendiri tidak sanggup mengingati detik itu apatah lagi mahu memberitahu kondisi sebenar Cik Hajar kepada Seroja. Dia mengambil masa sejenak sebelum menjawab pertanyaan Seroja.
"Cik Hajar masih dalam dewan bedah. Doktor pun belum bagitahu abang apa-apa lagi. Kita sama-sama doakan semoga Cik Hajar selamat. Seroja pun kena kuatkan semangat." Irwan melorek senyuman tawar. Dalam situasi begini, dia hanya mahu menenangkan Seroja agar wanita itu tidak terlalu mengikut emosi.
"Betul apa yang Irwan cakap tu. Seroja tak boleh sedih-sedih macam ni. Seroja kena kuat untuk Cik Hajar." Lembut Saodah mengusap belakang badan Seroja seraya menitipkan kata-kata semangat buat adik angkatnya. Saodah faham gelodak perasaan Seroja. Dia juga berkongsi kesedihan yang sama seperti Seroja. Dalam situasi begini, hanya doa yang mampu dipanjatkan buat Cik Hajar.
Perlahan, Seroja menyandarkan kepalanya ke bahu Saodah. Air mata masih bertali arus membasahi wajah. Hatinya tidak tenang selagi keadaan Cik Hajar belum diketahui. Seroja tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku dalam hidupnya seandainya Cik Hajar pergi meninggalkannya. Sungguh, Seroja masih belum bersedia untuk menempuhi situasi yang paling ditakuti itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...