CAHAYA bintang yang berkerlipan di dada cakrawala malam terasa sedikit menenangkan hati Seroja yang sedang berkecamuk. Namun, tidak cukup untuk menghapuskan kegusaran yang mencengkam jiwanya sejak tadi. Nafas berat dilepaskan. Perbualannya dengan Irwan sebentar tadi masih bermain di fikiran.
"Mak sihat ke, Abang Wan?"
Di talian, Irwan hanya diam, membuatkan dada Seroja kian berdebar.
"Abang Wan?" panggilnya lagi, kali ini dengan nada lebih mendesak.
Irwan menarik nafas panjang di hujung talian.
"Pagi tadi... abang ada bawa Cik Hajar ke hospital," ujarnya perlahan, cuba menyusun aksara yang paling sesuai agar tidak terlalu mengejutkan Seroja.
Seroja tergemap. Jeda sunyi yang tercipta selepas itu terasa panjang dan menyeksakan.
"Doktor kata..." Irwan menyambung, suaranya berat.
"Cik Hajar perlukan rawatan tambahan. Ubat-ubatan yang dia ambil sekarang dah tak cukup. Kemungkinan besar, Cik Hajar kena buat kemoterapi."
Jantung Seroja terasa seperti direntap. Tangannya menggenggam telefon dengan lebih erat, cuba mengawal diri dari teresak. Mata yang mula berkaca dihala ke langit.
"Seroja? Seroja okey tak tu?" Suara Irwan di hujung talian jelas cemas. Berkali-kali dia memandang skrin telefon, memastikan panggilannya masih bersambung.
"O... okey." Seroja berdehem kecil, cuba membetulkan kotak suara yang mula serak.
"Be... berapa pula kosnya, Abang Wan?"
Kedengaran berat Irwan menjunjut nafasnya.
"Abang tak mahu Seroja risaukan fasal duit dulu. Kita bincang sama-sama nanti, okey?"
Seperti yang Irwan tebak, Seroja susah hati memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung sementelah gadis itu belum cukup mengumpul wang untuk menampung kos pembedahan yang perlu disegerakan. Apatah lagi, baru sebulan Seroja bekerja. Dan sudah tentu, duit simpanannya masih belum mencukupi.
─── ⊹⊱✿⊰⊹ ───
"SEROJA? Jauh termenung... Fikirkan apa?"
Tersentak, lekas-lekas Seroja menoleh.
"Kak Odah..." Tawar senyuman Seroja, kembali menebarkan pandangan ke langit hitam.
"Kenapa ni? Muram aje akak tengok muka Seroja tu." Bahu adik angkatnya diusap lembut. Saodah pasti, Seroja ada memendam sesuatu. Selalunya, Seroja tidak begini. Gadis itu seorang yang periang dan banyak mulut. Tapi malam ini, lain yang Saodah nampak pada Seroja, membuatkan dia tertanya-tanya, mengapa Seroja berubah sikap.
"Kak Odah... Seroja rasa, Seroja kena cari kerja lain pulaklah..." beritahu Seroja, langsung memandang Saodah yang turut berdiri di sebelahnya.
"Kerja lain? Seroja tak nak kerja dekat restoran akak tu dah ke?" Bulat mata Saodah, jelas terkejut dengan bicara Seroja. Dah kenapa pula Seroja tiba-tiba saja mahu menukar kerja?
"Eh, bukan itu maksud Seroja..." Lantas, tangan Saodah ditarik ke kerusi yang tersedia di hadapan rumah. Mudah sikit nak berbincang.
"Macam ni, Seroja ada rancang nak buat dua kerja. Seroja nak cari duit lebih sikit, Kak Odah. Tapi, akak jangan risau, Seroja tetap kerja kat restoran tu macam biasa. Cumanya... Seroja nak minta kalau boleh Kak Odah bagi kelonggaran sikit waktu bekerja, terutamanya shift malam."
Seroja tahu, dia tidak boleh memandai-mandai membuat perancangan dan keputusan sendiri. Dia perlu meminta kebenaran daripada Saodah terlebih dahulu. Enggan keputusan yang akan dibuat nanti bakal menyusahkan beberapa pihak.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...