- Salam, saya mc hari ini.
BERKALI-KALI Zariel membaca pesanan yang baru dihantar lima minit lalu. Sekejap dia mengeluh, sekejap lagi dia berkerut kening. Kemudian, dia merenung meja kerja Seroja yang kosong. Sekosong hatinya sekarang.
"Tak boleh jadi ni!" Bergegas Zariel mendail nombor telefon Seroja. Beberapa kali deringan, akhirnya panggilannya bersambung.
"Awak tak baca mesej saya ke?" Di hujung talian, Seroja mengetap bibirnya. Rasanya sudah jelas dia memberitahu Zariel yang dia mengambil cuti sakit hari ini.
"Kirana... uhuk! Uhuk!" Zariel berpura-pura batuk, sengaja mahu meraih perhatian Seroja. Tangannya diletakkan ke dada, wajahnya dibuat-buat seperti sedang menahan sakit meski tidak terlihat oleh wanita itu.
"Awak kenapa?" Mulalah hati Seroja diambang risau. Zariel ni... Kalau sehari tak buat dia tak tentu arah, tak boleh ke?
Sekali lagi, Zariel terbatuk-batuk. Bibirnya tersenyum lebar setelah itu.
"Kirana... aku sakit ni... Aku rasa, aku demamlah..." Suaranya kedengaran serak. Kalau ada sesiapa di biliknya tika itu, pasti geleng kepala melihat lakonan Zariel yang layak menerima anugerah pelakon terbaik.
Langsung terbangun Seroja dari katil. Hati mula risau memikirkan kondisi Zariel. Kerana dia, lelaki itu ditimpa sakit.
"Saya dah suruh awak balik kan semalam? Tapi, awak degil! Nak juga tunggu saya dalam keadaan hujan macam tu! Tengok... dah demam! Awak dah pergi klinik ke belum?"
Leteran Seroja mengundang tawa yang ingin meledak. Pantas Zariel mengemam rapat bibirnya. Tubuhnya disandarkan selesa pada kerusi sambil menebarkan pandangan ke kota raya. Tampak sangat bersahaja.
"Belum... aku tak larat sangat ni. Rasa macam nak pengsanlah..." beritahu Zariel perlahan, diiringi helaan nafas mengah. Seolah-olah sengaja mahu menambahkan rasa bimbang dalam hati Seroja.
"Zariel! Jangan main-mainlah! Awak betul-betul sakit ke? Awak dekat mana sekarang?" Nada risau jelas kendengaran dalam suara Seroja. Hilang migrainnya gara-gara Zariel.
Perutnya ditekan-tekan dalam cubaan menahan gelak. Zariel boleh bayangkan mimik muka Seroja di dalam benaknya sekarang.
"Ofis..."
"Awak duduk dulu dekat situ. Saya call Amar sekejap suruh tengok-tengokkan keadaan awak."
Belum sempat Seroja mahu meletakkan panggilan, Zariel terus menyerunya.
"Eh, nanti dulu!" Bingkas Zariel berdiri. Langkahnya berulang-alik di tempat yang sama. Kalau Amar yang diperlukannya, lebih baik dia tak payah telefon Seroja tadi.
"Aku tak nak Amar. Aku nak kau sendiri yang datang tengok keadaan aku. Cepatlah... aku betul-betul tak bermaya dah ni." Zariel mengaduh kecil, sengaja menambahkan drama supaya kedengaran lebih menyakinkan. Tubuhnya dibaringkan di atas sofa, manakala satu tangan memicit dahi. Drama sangat!
Bebola mata digulingkan ke atas. Orang lelaki kalau sakit memang begini ek perangainya?
"Kan saya cakap, hari ini saya cuti. Saya suruh Amar ajelah bawa awak ke klinik."
"Cuti kau tak diluluskan. Lagipun, kau tak risau ke tengok aku macam ni?"
Seroja memejamkan mata, menjunjut nafas panjang bagi menahan geram. Zariel memang pandai membuatkan dia tersepit.
"Awak ni... sungguh-sungguh sakit ke, atau sebenarnya awak cuma nak mengada-ngada sebab saya tak kerja hari ni?" Seroja serkap jarang. Bukan boleh percaya si Zariel ni. Suara tu, macam orang tak sakit pun!
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...