WAJAH ditunduk, memandang jemari di atas paha. Kelakuannya tidak ubah seperti seorang pesalah yang bakal dijatuhkan hukuman. Seroja tak berani nak angkat muka, seterusnya bertatapan dengan lelaki yang sedang duduk bertentangan dengannya kala ini.
"Ehem!"
Mendengarkan deheman daripada lelaki itu sahaja dah mampu buat Seroja kecut perut.
'Kenapalah aku tak pura-pura pengsan je tadi?'
Dalam kabut menyorok rasa takutnya, sempat Seroja memarahi diri sendiri. Sekarang tengok, tak fasal-fasal dia kena menghadap jejaka tersebut. Mahu memanggil Wawa, temannya itu awal-awal dah cabut lari, bersembunyi di balik dinding sambil mengendap Seroja dari jarak jauh.
"Jadi, kamu bukan orang Malaysia?" Hampir tergeliat lidah Zariel hendak bertutur dalam bahasa asing itu.
Sepi. Tiada balasan daripada si gadis. Zariel mengerutkan dahi. Takkan pekak pula perempuan ni? Sejak tadi, tingkahnya asyik menunduk saja. Entah apa yang dilihat di bawah meja itu, Zariel sendiri bingung.
"Hello?" Jari telunjuknya mengetuk dasar meja beberapa kali.
"Hah? Awak cakap apa tadi?" Terus Seroja mengangkat muka, memandang Zariel yang turut melihat ke arahnya.
"Orang Malaysia rupanya... Tadi tu, aku kena game ajelah, kan?" Sinis suara Zariel mengetuk gegendang telinga Seroja bersama riak yang langsung bertukar serius.
Cis! Macam mana Seroja boleh terlupa yang dia tengah in character tadi? Kantoi busuk macam tu saja. Dan, sia-sia juga dia marathon berpuluh-puluh episod sinetron kalau diri sendiri tak pandai berlakon. Huh, itulah padahnya kalau menipu!
"Takdelah... Saya kalau nervous memang boleh cakap macam-macam bahasa. Bahasa alien pun saya reti. Hahaha!" Dia buat lawak, dia juga yang ketawa. Aduhai, Seroja! Tak habis-habis memalukan diri sendiri.
Seroja menelan liur melihat muka ketat semedang Zariel. Alamak! Marah betul gamaknya tu.
"Kau tahu tak, apa kesalahan kau sekarang ni?"
Kembali menundukkan wajah, air wajah Seroja lantas berganti suram. Aci tak kalau dia nak teghiak lani juga?
"Hmm... saya telah sesuka hati menggunakan cermin kereta awak sebagai tempat untuk saya picit jerawat saya tadi." Lemah Seroja bersuara. Kesal dan malu saling bersatu. Rasa nak tanam saja mukanya ke dalam tanah. Itulah, Seroja... Lain kali, behave sikit dekat tempat awam. Lihatlah sekarang, kan dah malu?
Sebelah kening Zariel menjungkit tinggi. Tidak menyangka, jawapan itu yang keluar dari bibir si gadis. Hendak tergelak pun ada juga. Apa perempuan itu fikir, Zariel terlalu berkirakah? Setakat berias di tingkap keretanya, langsung tidak meninggalkan bengang di hati.
"Itu pun salah satu punca kenapa meeting pagi ni terpaksa dibatalkan. Disebabkan nak tunggu kau settle picit jerawat tu, habis aku kena maki tadi. Tapi, ada kesalahan lain yang kau dah buat." Cappuccino di atas meja, dicicip.
Propa! Realitinya, Zariel sengaja membatalkan pertemuan bersama Remy dan Wafiq gara-gara mahu bertentang empat mata dengan gadis itu. Pedih jugalah telinga Zariel mendengar teman-temannya itu membebel.
"Awak kena buang kerja ke?!" Intonasi Seroja naik seoktaf, sekali gus menarik perhatian pelanggan di sekelilingnya. Riak terkejut jelas terpeta di wajah.
"Tak adalah sampai kena buang kerja. Gaji aku kena potong separuh," bohong Zariel dengan mereka-reka cerita yang tidak betul. Ulu hatinya seperti digeletek tatkala mengamati roman si gadis. Serupa ayam berak kapur.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...