PAGI-PAGI lagi Seroja dah bernyanyi riang sambil melangkah masuk ke dalam bangunan tinggi itu. Senyuman di bibirnya jelas menggambarkan betapa gembiranya dia untuk memulakan hari baru.
Setibanya di hadapan lif, mata Seroja melirik ke arah sekumpulan pekerja lain yang sedang menunggu lif. Sesekali, mereka mencuri pandang ke arah lif VIP yang terletak di sebelah kanan. Seroja juga sibuk memanjangkan leher, mahu ikut mengintai apa yang sedang menjadi tumpuan mereka.
Dan tika itu, Seroja bertembung pandang dengan sosok seorang lelaki yang sedang berdiri tegak di dalam kotak lif tersebut.
Zariel.
Lelaki itu kelihatan begitu berkarisma dengan sut navy blue yang terletak sempurna di tubuh tegapnya. Tali leher berwarna kelabu perak yang dipadankan dengan kemeja putih menyerlahkan lagi ketampanannya. Rambutnya juga disisir rapi.
Ketika mata mereka bertaut, senyuman kecil terbit di bibir lelaki itu. Zariel mengangkat sedikit tangannya, memberi isyarat kepada Seroja agar mara ke arahnya.
Lalu bersama riak bersahaja, Seroja mengorak langkah. Bisik-bisikan ketika dia menuju ke lif VIP tidak diendahkan. Buat apa nak dengar cakap orang? Bukan mereka pun yang bayar gaji Seroja. Anggap saja mereka itu seperti langau. Kah!
"Awal datang harini?"
Seroja menjeling Zariel di sebelah. Pagi lagi kalau nak cari gaduh pun.
"Kenalah datang awal. Kalau lambat nanti, tak fasal-fasal gaji kena potong pulak." Selamba Seroja membidas pertanyaan Zariel.
Seketika, pintu lif terbuka luas. Zariel dan Seroja berjalan beriringan menuju ke letaknya pejabat lelaki itu.
"Selamat pagi, Tuan Muda..."
Gemeresik suara itu menyapa Zariel di pertengahan jalan. Serentak, Zariel dan Seroja sama-sama menoleh ke arah sumber suara itu.
Di ruang menunggu berhampiran pejabat Zariel, seorang wanita anggun berjalan mendekati mereka berdua. Tak berkelip kelopak mata Seroja saat tubuh ramping itu kian menghampiri. Cantik! Meski hanya diserikan dengan solekan tipis, setiap inci wajahnya tetap menyerlahkan kejelitaannya. Seroja yang perempuan ni pun enggan mahu mengalihkan pandangan, apatah lagi dari sudut pandangan seseorang yang bergelar lelaki.
Lantas, sepasang mata Seroja berkalih ke arah Zariel, mencari sebarang reaksi dari lelaki itu. Namun, wajah Zariel kekal kosong seperti biasa. Hanya seulas senyuman nipis yang menghiasi bibirnya. Berkerut sebentar pelipis Seroja melihat reaksi Zariel. Tuan Mudanya itu memang spesies tak ada perasaan ke apa?
"Morning, Rose. Dah lama you sampai?" Senada Zariel bertanya. Langsung tiada kemesraan dalam intonasinya.
"I pun baru je sampai tadi. Sengaja I datang awal sikit. You dah breakfast?" Rose mengambil posisi di antara Zariel dan Seroja sekali gus membuatkan Seroja terpaksa mengorak langkah kecil ke sisi, memberi ruangnya tanpa diminta.
"Belum. But, I ada minta Amar belikan nasi lemak untuk semua staf pagi ni." Zariel mengeluarkan telefon pintar dari saku seluar seraya memandang Rose sekilas.
"Kalau you tak mahu makan berat, just let me know. I boleh suruh Amar belikan breakfast lain untuk you."
Mendengarkan kata-kata itu, spontan Seroja menjuihkan bibirnya. Dengan orang lain, boleh pula Zariel cakap baik-baik. Kalau dengan Seroja, sehari tak menyakitkan hati memang tak sah!
Sambil menghayun langkah di belakang, Seroja menelinga perbualan antara Zariel dan Rose.
"Hmm... I tak kesah pun. Janji you kena teman I makan." Di hujung bicaranya, Rose ketawa manja.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...