BAB 22 | WMTZ

1.1K 189 32
                                    

MALAM yang sepi ditemani deruan angin lembut mencipta suasana damai di tepi kolam renang. Santai Zariel duduk di tepian sambil kakinya melunjur ke dalam air yang dingin. Kocakan kecil terhasil setiap kali kakinya bergerak perlahan. Pandangannya terpaku pada bayangan bulan yang terpantul di permukaan air. Seketika, Zariel menghela nafas berat.

"Maaf, tapi saya tak berminat. Kalau tuan terdesak sangat nak kahwin, tuan cari ajelah perempuan lain."

Kata-kata Seroja awal pagi tadi masih terngiang-ngiang di peluput telinga. Tak mampu lenyap dari ingatan. Tipulah jika Zariel kata egonya tidak tercabar setelah Seroja menolaknya mentah-mentah. Tapi, Zariel juga sedar silapnya di mana.

Zariel terlalu mendesak. Dia melontarkan satu permintaan besar tanpa mempertimbangkan perasaan dan situasi Seroja. Dengan Seroja, Zariel sering bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan kesan panjangnya. Dia telah membiarkan ego mengawal keadaan tanpa menyedari bahawa kejujuran tanpa kepekaan hanya satu bentuk kekasaran. Dan Zariel juga perlu sedar, Seroja bukan jenis wanita yang tunduk pada kehendak orang lain, lebih-lebih lagi jika melibatkan nilai dirinya.

Dalam masa yang sama, Zariel sedikit pun tidak menyesal dengan keputusannya. Walaupun dia tahu tindakannya itu terlalu mendesak dan caranya yang tidak kena. Namun, niatnya tulus. Zariel tidak akan membuat satu keputusan yang dia sendiri tidak yakin.

Kalau dulu, Zariel fikir dia tidak perlukan kehadiran seorang wanita dalam hidupnya. Tetapi kini dan entah sejak bila, fikirannya mula berubah. Semua itu bermula selepas kehadiran seseorang.

Seroja Kirana.

Hati yang pernah tertutup rapat sebelum ini, perlahan-lahan mula terbuka pintunya. Seroja adalah wanita pertama yang membuatkan Zariel mahu mempertimbangkan semula segala prinsipnya tentang perkahwinan. Tidak hanya hubungan profesional yang dia inginkan dengan wanita itu, bahkan, Zariel menginginkan lebih daripada itu. Dia mahu Seroja berada di sisi, bukan sekadar pekerjanya tetapi sebagai teman hidup. Dia mahu Seroja menjadi sebahagian dari hidupnya yang selama ini terasa kosong dan sunyi.

"Bonda... Ril rasa, Ril dah jumpa bidadari yang Ril tunggu selama ni." Zariel ketawa kecil.

Gambaran wajah Seroja memenuhi ruang mindanya. Marah Seroja, sedih Seroja dan rajuk Seroja mengisi ruang penglihatannya. Tak semena-mena, senyuman manis bergayutan di birai bibir Zariel. Inikah yang dinamakan angau?

Kalakian, tidak sampai beberapa detik, Zariel terbatuk kecil. Sepertinya, ada seseorang yang tengah menyeru namanya.

─── ⊹⊱✿⊰⊹ ───

"GILA punya bos!"

Mengekek Saodah ketawa mendengar luahan perasaan Seroja. Setelah tawanya reda, dia sambung bicara.

"Akak peliklah dengan Seroja ni. Kalau perempuan lain kat tempat Seroja masa tu, mesti diaorang dah terlompat-lompat suka bila Tuan Zariel ajak kahwin. Seroja sedar tak, yang propose Seroja tu Tuan Muda Seif Zariel? Seorang ahli perniagaan yang bukan calang-calang orang. Pewaris tunggal Menara Group pula tu. Hisy, tolak tuah betullah Seroja ni..."

"Itu diaorang kak... bukan Seroja." Terserlah mimik jengkel di wajah Seroja. Apalah Saodah ni. Boleh pula nak samakan dia dengan perempuan-perempuan dekat luar tu. Tak kuasa Seroja nak melompat seperti kera dapat pisang.

"Dia ingat hal kahwin ni macam main pondok-pondok agaknya." Hangat hati Seroja masih berbekas. Entah apa yang dia marahkan sangat. Marah kerana Zariel mengajaknya kahwin atau marah dengan cara lelaki itu yang tidak menunjuk kesungguhannya?

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now