SIAPA sangka, pertemuannya dengan lelaki itu beberapa minggu lalu telah menjadi permulaan kepada sebuah ikatan yang dia sendiri tidak pernah bayangkan. Kalau dulu, Seroja percaya setiap pertemuan yang berlaku adalah takdir yang tersusun cantik oleh Tuhan. Namun kini, keyakinannya seakan goyah. Apa yang berlaku hari ini bukan lagi takdir indah. Tapi, lebih kepada bala yang bergolek ke arahnya tanpa henti. Kenapalah dalam banyak-banyak sektor pekerjaan yang ada dekat Kuala Lumpur ni, syarikat milik Zariel juga yang menjadi lubuk rezekinya?!
Huh, baru hari pertama bekerja Seroja sudah hampir hilang sabar. Kalau ikutkan darah Hang Jebat yang kononnya mengalir dalam jasadnya ini, mahu saja Seroja memasukkan julap ke dalam minuman Zariel tadi. Tetapi, niat itu kekal sebagai niat. Seroja tahu, kalau dia buat betul-betul, memang nahas. Silap-silap bukan saja kena buang kerja, malah boleh dikenakan saman. Urgh, ngeri membayangkannya!
Sejenak, Seroja mengerling jam di tangan. Dah masuk waktu makan tengahari. Perut pun dah mula bernyanyi riang, menuntut haknya tanpa kompromi. Lalu, Seroja mengangkat wajah, meluruskan pandangannya ke hadapan. Wajah tampan Zariel kini menjadi sasaran matanya. Entah kenapa, semakin lama Seroja memerhati, semakin menonjol pula sisi kacak bosnya itu. Dengan cermin mata bertenggek di batang hidungnya yang mancung, bersama gayanya ketika menumpukan perhatian pada dokumen di tangan, memang tak boleh dinafikan, lelaki itu kelihatan lebih matang dan berkarisma.
"Muka dah elok tapi itulah... perangai pulak boleh buat darah naik kepala." Perlahan saja Seroja mengumpat Zariel. Nanti dengar dek T-rex tu, dah satu hal pula. Pun begitu, lensa mata Seroja masih melekat pada roman Zariel.
"Aku tahulah aku ni hensem tapi, tak payahlah tenung aku macam nak telan. Jaga sikit mata tu." Suara parau Zariel tiba-tiba menyapa, mengejutkan Seroja yang sedang khusyuk merenung dirinya.
Bibir dijuih seraya membuat isyarat jolok tekak, hampir nak termuntah hijau mendengar omongan bosnya itu. Masuk bakul angkat sendiri betul!
"Tuan tak nak lunch ke?"
Sekilas, Zariel melihat jarum jam. Dah masuk waktu lunch rupanya. Dari ekor mata, Zariel dapat menangkap kelakuan Seroja yang sepertinya tidak senang duduk. Barangkali dah kebuluran.
"Kalau kau lapar, pergilah lunch dulu."
Sepantas kilat, Seroja bangun lalu mencapai beg kertas yang berisi bekal di dalamnya. Pagi tadi, Seroja sempat menggoreng nasi bersama telur mata untuk dimakan pada waktu rehat. Dia malas nak turun ke bawah untuk membeli makanan. Mahu berjimat pun ya juga. Lalu, bersama langkah besar, Seroja menuju ke pantri.
─── ⊹⊱✿⊰⊹ ───
ZARIEL melentokkan kepala ke kiri dan kanan, menghasilkan bunyi halus seperti tulang berkeriut. Penat menghadap skrin komputer dan dokumen yang menimbun sejak pagi tadi, dia akhirnya bersandar ke kerusi. Tangan kanan diangkat, menggosok tengkuk yang terasa tegang sementara tangan kirinya diregangkan hingga sendi berbunyi. Perlahan Zariel melepaskan keluhan kecil. Sekilas, matanya melirik ke tempat Seroja. Kosong. Batang tubuh genit Seroja tiada di situ. Pasti gadis itu keluar makan.
Lantas, Zariel berdiri, cawan kosong di atas meja dicapai sebelum langkah kakinya diatur ke pantri. Sebaik tiba di muka pintu, matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang sedang makan seorang diri di meja sudut pantri sambil sesekali kepalanya menjengah ke luar jendela, melihat pemandangan kota metropolitan yang sedang sibuk. Zariel mengerutkan kening. Dia fikir, Seroja makan di luar tapi lain pula yang dilihatnya tika ini.
Menyedari dirinya diperhatikan, Seroja berpaling ke tepi. Terkejut melihat figura Zariel berdiri di situ, dia segera menelan kunyahan terakhir sebelum bersuara.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...