"LILY okey?"
Lily angguk sambil tersenyum nipis. Sejujurnya dia tak sangka perbalahannya dengan Budi bakal menarik perhatian Puan Zaharah sekali. Tak pasal-pasal dia dan Maryam diheret ke rumah jiran depan usai Budi beredar pergi.
"Saya okey aje, aunty. Dah banyak kali hadap."
Mendengarkan itu, Puan Zaharah dan Raqib sama-sama terkejut.
"Maksudnya, benda macam ni pernah terjadilah sebelum ni?"
Leher Lily seperti dijerut. Dia kejung di tempat duduknya. Baru tersedar yang dirinya sudah terlepas cakap di depan dua beranak itu.
"Lily?"
"Eh, tak adalah! Mana ada saya cakap macam tu," nafi Lily, sekeras-kerasnya.
Raqib pandang gadis itu curiga. Entah kenapa intonasi dan tingkah Lily seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu daripadanya.
Maryam sudah senyum sinis. Itulah, nak menipu tapi tak pandai.
"Bukan niat umi nak menyibuk, tapi... siapa lelaki tadi? Lily kenal?"
"Oh, itu..."
"Ah long."
"Ish!" Peha Maryam ditampar laju. Berkerut gadis itu menahan pijar yang menjalar pada kulit pehanya. Dia cakap benda betul kut!
"Ya Allah! Lily ada hutang dengan ah long ke?"
Lily pantas mengawangkan tangan ke udara, tanda tidak.
"Eh, tak! Tak! Lelaki tadi tu adik saya. Biasalah kalau dia dah habis duit, dia akan datang minta dekat kakak dia," jelasnya, tak mahu Puan Zaharah salah faham.
Maryam berpaling ke arah lain seraya menceber bibir. Tak habis-habis nak back up adik 'kesayangan' dia. Menyampah!
Puan Zaharah hanya mengangguk tanpa bertanya lebih. Raqib pula diam. Pandangannya masih penuh dengan rasa curiga. Bukannya dia tak nampak cara Budi melayan Lily tadi. Kasar dan langsung tiada rasa hormat pada kakaknya. Macam itu ke cara seorang adik meminta duit?
Tapi untuk memuntahkan kata-kata itu kepada Lily, Raqib tak mampu. Dia tak nak gadis itu berasa tak selesa dengan soalannya.
"Ya Allah! Umi hampir lupa! Afi! Mana dah cempedak goreng yang umi suruh bagi tadi?" laung Puan Zaharah sambil memandang ke arah pintu rumah yang terbuka luas.
"Ada dengan along ni, umi." Raqib segera menghulurkan bekas Tupperware tersebut kepada ibunya.
"Ha, ini untuk Lily dan Maryam. Tapi maaflah, dah sejuk sikit. Kalau makan panas-panas, mesti lagi sedap."
"Sejuk-sejuk pun sedaplah, aunty. Manis." Maryam sudah selamat melantak cempedak goreng itu tanpa segan-silu. Lily menggeleng kecil.
"Alhamdulillah, lega umi dengar. Maryam suka cempedak, ya?"
"Suka! Ini memang favorite saya, tahu? Satu bekas pun tak cukup kalau macam ni." Maryam menyuarakan isi hatinya tanpa sedar.
Lily lekas menyiku lengan sahabatnya. Tak agak-agak langsung bila bercakap!
"Lah, ya ke? Sekejap, umi pergi ambil sebekas lagi untuk Maryam."
"Eh, aunty! Tak payah, tak payah! Yang ini pun dah lebih dari cukup untuk kami. Terima kasih, ya? Nanti saya balas dengan kek coklat untuk aunty," tutur Lily sekaligus membantutkan niat Puan Zaharah untuk bangun ke dapur.
"Oh, Lily pandai buat kek?"
Tak sempat Lily nak menjawab, Maryam terlebih dahulu mencantas, "Pandai sangat, aunty! Sesuai kalau nak dijadikan sebagai calon menantu ni. Kalau aunty berkenan, saya boleh bagi Lily dekat anak aunty."
"Maryam!"
Puan Zaharah tergelak. Raqib pula buat-buat pandang ke arah lain bersama telinga yang sengaja ditulikan.
Walaupun namanya tak disebut, tapi dia tahu Maryam maksudnya dirinya. Yalah, siapa lagi anak lelaki Puan Zaharah kalau bukan dia?
"Maaflah, aunty, tapi Maryam ni memang suka merapu yang bukan-bukan. Kami minta diri dulu, ya? Assalamualaikum." Buru-buru Lily mengheret Maryam pulang ke rumah. Tak betah dia nak berlama-lama di situ kerana khuatir topik lain yang akan muncul. Tengok sajalah cara Puan Zaharah senyum itu. Nampak seram!
"Umi, tak nak ajak Lily datang rumah malam Jumaat ni ke?" Soalan Raqib itu menyentak lamunan Puan Zaharah.
"Ya Allah! Umi lupa lagi! Lily! Lily!"
Lily berpaling.
"Malam Jumaat ni jangan lupa datang rumah. Umi ada buat kenduri doa selamat sikit."
"InsyaAllah, aunty!" Lily tersenyum ramah sebelum kelibatnya dan Maryam hilang ke dalam rumah.
"Along..."
"Ya, umi?" Raqib pantas menyahut.
"Along rasa tak apa yang umi rasa?"
Raqib berkerut halus. Kurang mengerti dengan maksud ibunya.
"Umi rasa apa?"
"Lily... Raqib..." Dan Puan Zaharah merapatkan telunjuknya, seolah-olah memberi isyarat mahu menyatukan mereka berdua.
"Ya Allah, umi. Entah-entah Lily tu dah berpunya. Tak naklah along kacau hak orang."
"Mana along tahu Lily tu dah berpunya ke belum? Dah tanya?" bidas Puan Zaharah, laju.
"Tak payah tanya pun along dah tahu. Umi tengoklah Lily. Dia tu cantik. Tak logik kalau orang secantik dia tu tak berpunya lagi."
"Eloklah tu buat andaian tanpa bertanya dulu. Macam mana kalau Lily betul-betul belum berpunya? Ha, along nak buat apa?" soal Puan Zaharah, sedikit menduga.
"Kalau belum, alhamdulillah. Kalau dah pun, alhamdulillah juga. Benda baik, kan?"
"Allahuakbar, budak ni! Kalau belum, ambillah Lily jadi menantu umi. Kenapa pergi sebut alhamdulillah pula?" Geram di dada cuba ditahan. Anaknya ini memanglah!
"Kut iya pun, janganlah gelojoh sangat, Puan Zaharah. Tunggulah setahun dua atau sampai kita betul-betul kenal dia, barulah fikir pasal next step."
"Oh, itu plan along ke?"
"Kalau dia belum berpunya, umi. Kalau." Raqib tahan diri daripada menjulingkan biji mata ke atas. Bercakap pasal jodoh dengan Puan Zaharah ini memang takkan ke mana.
"Umi yakin seribu percent yang Lily tu belum berpunya. Percayalah cakap umi."
Raqib mencebik.
"Tanya pun belum, dah berani buat andaian sendiri." Dipulangkan paku buah keras secara halus kepada ibunya.
"Umi ada something called as mother's instinct, you know? Jadi percayalah, naluri seorang ibu ni tak pernah salah. Lagipun ada aje yang ada rupa, tapi masih membujang sampai sekarang." Puan Zaharah memberi jelingan penuh makna kepada si anak.
"Hah, nak mengata oranglah tu! Jodoh anak umi ni tak sampai lagi, nak buat macam mana?"
"Tu!" Puan Zaharah memuncung ke arah rumah Lily. "Jodoh dah ada depan mata, tunggu apa lagi? Ambillah cepat!"
Raqib buat tak endah dengan kata-kata si ibu. Bahu Puan Zaharah dipaut untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
"Jom kita masuk, umi. Dah nak maghrib ni. Risau along kalau umi tiba-tiba kena sorok. Payah nak cari nanti."
"Ish! Mulut tu jaga!"
Raqib sembunyi senyum. Hah, tahu takut!
YOU ARE READING
Lily Untuk Raqib [OG]
RomanceRAQIB ISA | LILY HANA "Terima kasih." ㅡ Raqib Isa "Untuk apa? Bukan saya yang jumpa barang awak tu pun. Kucing saya yang curi, tahu?" ㅡ Lily Hana Raqib dan Lily. Mereka berjumpa dan berkenalan buat kali pertama semasa Tabby, si bulus kesayangan Lily...