LUR | 12

135 47 4
                                    

RAQIB berjalan ke arah walk-in closet sambil memakaikan jam pada tangan kirinya. Sehelai tali leher berwarna hitam diambil lalu dililit mengelilingi leher sehingga membentuk half windsor knot yang kemas.

Dia pandang seketika pantulan dirinya pada cermin sebelum uniform juruterbang yang tersarung pada tubuh ditarik sedikit ke bawah agar tiada garis kedutan kelihatan.

Tak lupa, sehelai blazer hitam turut disarung sebelum kad pengenalan diri (ID) sebagai juruterbang disangkut pada leher untuk melengkapkan gaya profesionalnya sepanjang penerbangan ke luar negara.

Sempat Raqib membetulkan beberapa helai juraian rambut pada dahi sebelum turun sambil menjinjing flight bag miliknya. Topi juruterbang pula di kepit di celah lengan. Kaki mengatur langkah ke meja makan di mana sarapan pagi sudah tersedia di situ.

"Good morning, umi." Pipi Puan Zaharah dicium sekilas. Lalu, kerusi ditarik dan Raqib segera melabuhkan punggungnya di situ.

"Good morning. Hari ni flight ke mana?" Air teh panas dituang perlahan ke dalam cawan untuk anaknya.

"Vietnam."

Puan Zaharah hanya mengangguk tanpa bertanya lebih lanjut.

Raqib gigit hujung karipap yang baru digoreng. Ekor mata menjeling ke arah si ibu yang diam tidak seperti biasa.

"Angguk aje? Tak nak suruh along carikan calon menantu Vietnam untuk umi? Kutlah umi teringin nak bakal menantu yang putih dan langsing pula kali ni," tutur Raqib, sedia maklum dengan sikap Puan Zaharah yang selalu menyuruhnya mencari jodoh di setiap negara yang dia kunjungi.

Boleh dikatakan setiap kali dia nak terbang, Puan Zaharah pasti akan membuka topik ini sebelum Raqib berangkat ke lapangan terbang.

Bak kata uminya, sambil menyelam minum air. Alang-alang pergi negara orang, apa salahnya cari calon isteri di sana? Untung-untung dapat anak berdarah kacukan nanti.

"Kalau umi suruh pun, belum tentu along nak cari. Alasan? Tak sempat, tak ada yang berkenan, perempuan Malaysia lagi cantik, tapi satu batang hidung pun tak ada bawa balik," bebel Puan Zaharah seraya mengambil duduk di depan Raqib.

Raqib sengih.

"Lagipun, umi dah lock Lily jadi menantu umi. Jadi, along tak payah susah-susah cari jodoh dekat luar sana. Fokus aje jaga diri tu. Jangan cepat tergoda!"

Hampir tercekik karipap yang mahu ditelan tatkala mendengar amaran itu. Apa? Puan Zaharah ingat anaknya ini kaki perempuan ke?

"Along masih ada iman, umi. Takkanlah semudah tu aje boleh tergoda?"

"Air pun ada pasang surut, inikan pula iman. Along jauh dekat negara orang, manalah umi tahu apa yang along buat dekat sana."

Mengucap panjang Raqib dalam hati. Tak adanya dia nak buat benda yang bukan-bukan seperti yang difikirkan oleh ibunya. Dia masih tahu halal haram dan batas sebagai seorang muslim.

Memanglah ada dua tiga orang perempuan datang untuk berkenalan dengannya, tetapi semuanya ditolak baik-baik oleh Raqib kerana dia sendiri belum yakin mahu menjalinkan hubungan cinta dengan sesiapa.

"Along tahu along handsome, tapi tak semua perempuan boleh buat along terpikat, umi."

"Tapi kak Lily terkecuali, kan?" Rafiqa muncul sambil melingkarkan tangan ke lengan Hanis.

Hanis berkerut halus.

"Kak Lily?" soalnya, keliru.

Rafiqa segera menjatuhkan kepalanya, mengangguk.

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now