LUR | 07

146 57 4
                                    

JANTUNG Budi berdegup kencang. Sesekali dia akan menoleh ke belakang dan bila merasakan lelaki-lelaki yang mengejarnya itu semakin dekat, Budi pantas melajukan larian.

"Budiman!"

Jeritan itu bagaikan halilintar membelah bumi. Budi semakin takut. Isi perutnya kecut. Dia tahu dia perlu bersembunyi secepat mungkin kerana andai dia tertangkap, memang riwayatnya akan tamat malam ini!

Budi membelok memasuki kawasan lorong gelap dan serentak itu, dia menerima serangan hendap daripada seseorang yang menyorok di situ. Perutnya ditumbuk kuat dan Budi mengerang bersama tubuh yang separa terbongkok.

Baru hendak bangkit, satu tendangan hinggap di belakang badan hingga membuatkan Budi tertumus ke depan. Dia kemudiannya menjadi mangsa pukulan beramai-ramai, diiringi dengan kata-kata carutan.

Bertalu-talu Budi dipukul dan ditendang sehingga dia terpaksa merapat dan menaikkan lengan untuk melindungi muka daripada terkena sepakan mereka.

Si ketua mencangkung sambil memerhati dengan sengihan. Dibiarkan sahaja anak-anak buahnya mengerjakan Budi tanpa dia berniat untuk masuk campur. Gula-gula getah di dalam mulut dikunyah beberapa kali sebelum diludah ke tepi.

"Dah, dah! Aku tak nak dia mati lagi. Nanti duit tak dapat, kena handle mayat dia pula. Leceh!" Dia bangun mendekati Budi. Anak-anak buahnya segera berundur, memberi laluan kepada ketua mereka untuk lalu.

"Mana duit aku, Budi?" soal Alvin seraya mencangkung di depan Budi. Kolar baju lelaki itu ditarik kasar.

"Ba... bagi aku sikit masa lagi, Alvin. Aku janji... aku akan langsaikan semua hutang kau kalau kau bagi aku sekurang-kurangnya dua bulan untuk bayar," jawab Budi dalam nada bergetar.

"Hah? Berapa bulan?" Alvin pura-pura tak dengar. Telinganya dirapatkan ke mulut Budi yang menggigil halus.

"D... dua bulan."

Serentak itu, tawa Alvin bergema. Budi menelan liur. Dia tahu permintaannya agak melampau, tapi itu adalah satu-satunya pilihan yang dia ada saat ini.

"Dua bulan?"

Budi gagahkan kepala untuk mengangguk.

Alvin ketawa lagi. Hanya sesaat sebelum ekspresinya bertukar tegang. Tanpa amaran, muka Budi ditumbuk sehingga hidung dan mulut lelaki itu mengalirkan darah pekat.

Budi mengerang kesakitan. Berdenyut-denyut tulang hidungnya tika ini. Besar kemungkinan ia telah patah.

"Sebab ni aku malas nak buat berurusan dengan orang Melayu. Pinjam duit, pandai. Tapi nak bayar balik, liat! Kau nak buat tahi dengan aku ke, Budi?" Rambut lelaki itu dicengkam sehingga kepalanya mendongak memandang langit.

Budi menggeleng keras.

"Aku cuma perlukan masa, Alvin. Tolonglah."

"Tak cukup ke masa yang aku bagi kau selama ni, hah?!"

"Tak cukup!"

"Wah! Encik Budiman kita dah pandai menjawab." Bicara Alvin itu disambut dengan hilai tawa daripada anak-anak buahnya.

Budi kacip gigi menahan geram. Dia tak suka bila dirinya diperlekehkan seperti itu, tapi untuk melawan Alvin, dia tak mampu. Silap hari bulan, kepalanya dulu yang akan melayang.

"Kalau kau nak sangat duit tu, kau boleh pergi minta dekat kakak aku. Dia kaya! Dia ada lebih dari cukup duit untuk bayar hutang kau!"

Pang!

Alvin menampar pipi Budi. Kemudian, pipi lelaki itu dicengkam agar memandangnya.

"Yang hutang dengan aku tu kau. Apahal suruh aku pergi minta dekat kakak kau pula? Nak mampus dah?" Tajam mata Alvin menikam Budi.

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now