LUR | 20

51 15 3
                                    

"KAU yakin ke tak nak aku pergi ambil dekat airport?" soal Maryam bersama telefon yang dikepitkan di antara telinga dengan bahu kirinya. Kedua-dua belah tangan lincah mengemas dokumen-dokumen yang berselerakan di atas meja, bersedia untuk keluar makan tengahari bersama rakan-rakan sepejabat yang lain.

"Yakin. Lagipun, e-hailing dekat sini banyak. Tak ramai yang naik dan guna hari ni," ujar Lily seraya memasuki teksi dan duduk di bahagian belakang penumpang.

"Nak ke mana, cik?"

"Taman Tasik Kesuma, pakcik." Soalan daripada pemandu teksi itu Lily jawab dengan penuh sopan. Telefon masih melekap pada telinga, menadah mendengar bebelan Maryam yang memarahinya kerana mengambil keputusan untuk pulang bersama Grab.

"Aku ada, nak juga bazirkan duit guna Grab. Padahal aku boleh aje pergi ambil dan hantar kau balik. Tempat kerja aku dengan KLIA tu bukannya jauh sangat pun, Li. 30 minit aje dengan kereta."

"30 minit ke 20 minit ke, kau takkan sempat masuk office on time, Mar sebab sekarang tengah peak hour. Jalan mudah jammed. Dari airport nak ke rumah kita aje dah makan masa 50 minit. Itu pun kalau nasib baik jalan ke Cheras tak jammed. Kalau tak, sanggup ke kau nak duduk dalam kereta berjam-jam dan hadap traffic jammed dari tengahari sampai ke petang?"

Maryam pantas menggelengkan kepalanya bersama mimik muka gerun. Tak sanggup dia nak redah dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas seperti yang dikatakan oleh Lily itu.

Cukuplah dia terpaksa hadap jalan jammed semasa balik dari kerja sahaja. Kalau banyak kali kena redah dalam sehari, boleh tertekan mental Maryam jadinya. Cukup hari bulan, dia boleh daftar masuk ke hospital sakit jiwa kerana tekanan stres yang melampau. Seram!

"Oh, ya! Tok Ikram dan Nek Hawa macam mana? Dia orang okey? Tak ada cedera serius, kan?"

"Dia orang okey, alhamdulillah. Cumanya..." Lily jeda seketika. Bibir sendiri dikemam, cuba menahan sebak yang tiba-tiba mencengkam dada.

"...muka atuk lebam teruk kena tumbuk dengan Budi. Aku tak tahulah kuat mana dia tumbuk atuk sampai sebelah mata orang tua tu tak boleh buka. Dia tak tahu ke yang atuk tu dah tua? Kenapa perlu buat sampai macam tu sekali?" Bergetar suara Lily menyambung yang terhenti tadi.

Antara marah dan sedih, dia tak tahu rasa mana yang paling mendominasi diri. Yang pasti, hati Lily sakit setiap kali teringatkan tindakan Budi ke atas Tok Ikram.

Tahulah apa yang dia akan buat apabila lelaki itu datang berjumpa dengannya nanti. Memang Lily akan ajar Budi cukup-cukup kerana sanggup mencederakan Tok Ikram.

"Maaf cakap, tapi adik kau tu makin hari, makin menjadi-jadi perangai tak guna dia. Ada aje perangai setan dia nak keluar. Tak pernah nak habis. Aku yang tengok pun penat nak baran hari-hari."

Lily hanya mampu mengeluh sambil mengurut pelipis yang tiba-tiba berdenyut. Bibir terkunci rapat tanpa sebarang balasan. Dia sendiri pun tak tahu nak kata apa lagi tentang perangai adiknya itu.

"Kau balik ni, tak apa ke tinggalkan Nek Hawa dan Tok Ikram dekat kampung tu? Tak takut kalau Budi datang balik ke sana untuk minta duit? Judging from that jerk's face, aku tak rasa dia dah serik. Jauh lagi insaf."

"Beranilah dia nak datang balik lepas hampir kena tangkap dengan abang Fuad malam tu. Aku tak rasa Budi akan datang buat kacau dalam masa terdekat melainkan dia teringin nak tidur dalam lokap."

Abang Fuad atau nama penuhnya Ahmad Fuadi merupakan salah seorang anggota yang bertugas di balai polis kampung Lily. Rumahnya hanya terletak di belakang rumah Tok Ikram. Oleh sebab itu, Lily tidak risau akan keselamatan Tok Ikram dan Nek Hawa kerana dia tahu abang Fuad boleh menjaga dan mengawasi mereka berdua dengan baik bagi pihaknya.

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now