LUR | 04

208 62 0
                                    

"ALONG, sekejap. Afi dah tak larat."

Raqib memperlahankan larian. Dia kemudiannya berpusing ke belakang, memandang Rafiqa yang sudah terbongkok sambil menahan tapak tangan pada lutut.

"Baru satu round, Afi. Takkan dah penat kut?" ujar Raqib sambil berlari setempat.

Rafiqa pantas menegakkan tubuh. Jelas kelihatan dadanya turun naik mengatur nafas mengah. Mukanya juga kemerah-merahan dek cuaca panas dan geram mendengar bicara Raqib.

Baru satu round?!

"Along, tasik ni besar, tahu tak? Besar! Orang gila macam along aje yang tak reti penat lepas joging keliling tasik besar macam ni!" marah Rafiqa.

Sumpah, kalau Raqib ajak dia keluar lagi selepas ini, Rafiqa takkan sesekali ikut! Berada di sini pun di bawah kerelaannya.

Kalau bukan sebab Raqib menipu dan memperdayakannya, memang Rafiqa takkan berbesar hati mahu berlari bersama abangnya sesudah subuh!

"Besar ke? Along rasa kecil aje. Ke stamina Afi yang lemah?"

"Along!"

Raqib tergelak perlahan. Seronok bila dapat mengusik Rafiqa.

"Tu, bawah pokok tu ada kerusi. Duduk dekat situ dulu sementara along habiskan joging. Lepas tu, baru kita balik."

Rafiqa segera berpaling ke arah yang dimaksudkan oleh abangnya. Ada sebuah kerusi batu kosong terletak di bawah sepohon pokok yang rendang. Sangat sesuai untuk dia berlindung daripada sinar mentari yang kian terik.

"Okey, Afi tunggu situ. Cepat sikit, tahu? Panas ni."

"Joging mana boleh cepat-cepat."

"Ah, kisah apa! Along lambat, Afi tinggal."

Raqib tidak mengendahkan ugutan itu. Langsung tak takut kerana hakikatnya, mereka berdua datang menggunakan keretanya. Mestilah kunci kereta itu ada dengan Raqib, bukannya Rafiqa. Jadi siapa boleh tinggal siapa sekarang?

Cukup melakukan empat pusingan mengelilingi tasik, Raqib berhenti di sebelah Rafiqa. Beberapa cooling down dilakukan sebelum dia mengambil duduk bersebelahan adiknya.

"Nah." Rafiqa hulur sebotol air minuman kepada abangnya.

Lambat-lambat Raqib sambut huluran itu bersama pandangan curiga. Jarang betul Rafiqa nak buat baik seperti ini dengannya. Mesti ada udang di sebalik batu ni.

"Apa tengok-tengok? Along ingat Afi ada letak benda yang tak elok ke dalam air tu?"

Raqib angkat bahu.

Rafiqa mendengus. Macamlah dia tak tahu perkara yang bermain di fikiran lelaki itu. Mesti tengah fikir yang bukan-bukan!

"Tak payah nak angkat bahu sangat. See? Penutup pun masih ketat, macam mana nak buka dan letak?"

Raqib kulum senyum. Dia ingatkan Rafiqa akan melatah bila diusik seperti itu, tapi pandai pula gadis itu mempertahankan diri.

Lantas penutup botol dibuka dalam sekali pulasan. Air diteguk sehingga habis untuk membasahkan tekak yang kering. Lega rasanya bila cecair sejuk itu menuruni rengkung yang kehausan.

Topi hitam yang tersarung di kepala, Raqib buka lalu rambutnya yang sudah basah dek peluh ditolak ke belakang dengan sebelah tangan.

Dah lama sejak kali terakhir dia berpeluh seteruk ini selepas berjoging. Kadang-kadang Raqib lupa cuaca panas di Malaysia tak boleh dibuat main. Hanya di sini, pagi terasa seperti tengahari.

"Along, jom balik. Matahari dah makin tinggi ni."

Raqib angguk. Topi disarungkan semula secara terbalik di kepalanya. Backwards cap.

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now