LUR | 19

81 31 3
                                    

BUDI menggaru belakang kepala dengan kasar. Serabut! Tak cukup dengan itu, batu-batu kecil yang berada di atas jalan turut disepak untuk melampiaskan geram. Duit tak dapat, dan sekarang hidupnya tak ubah seperti seorang gelandangan di Kelantan.

Mujur dia sempat lari sebelum ditangkap oleh Fuad semalam. Tak merasalah dia tidur dan duduk di dalam lokap hari ini.

Tetapi hidup seperti ini juga susah kerana dia tiada duit. Ditambah lagi dengan cuaca yang panas terik dan perut yang lapar, otak Budi tak boleh berfikir secara normal. Akalnya buntu mahu memikirkan cara untuk pulang ke KL dan mencari Lily.

Dia sudah kesuntukan masa. Tinggal sebulan sahaja lagi sebelum Alvin datang menuntut hutang dengannya. Walau apapun yang terjadi, Budi harus meminta duit tersebut daripada Lily. Hanya wanita itu satu-satunya harapan yang tinggal.

Batu yang berada di depan, Budi sepak lagi sehingga ia mengenai hujung kasut seseorang. Lantas, kepala diangkat dan serentak itu, Budi kejung. Tubuhnya seperti baru terkena renjatan elektrik. Kaget melihat gerangan yang berdiri di depan mata.

"A... Alvin..."

Bersama tangan yang dimasukkan ke dalam poket seluar, Alvin berjalan mendekati Budi setapak demi setapak.

"Kau..." Alvin toleh ke belakang sejenak. "...nampak hantu ke?" Budi dipandang kembali. "Apasal muka pucat sangat?" Senyum senget disimpan kemas.

Nak tergelak dia tengok Budi terketar-ketar ketakutan seperti baru melihat benda yang menakutkan. Apa? Muka dia nampak macam hantu ke? Maaf, tapi Alvin terlalu kacak untuk menjadi makhluk halus.

"K... kau buat apa dekat sini?" Tergagap-gagap Budi menyoal.

Ingatkan bila dia balik ke sini, dapatlah dia lari daripada cengkaman Alvin untuk sementara waktu. Tetapi orang-orang suruhan lelaki itu terlalu cekap! Tahu sahaja yang dia buat dan ke mana dia pergi. Budi nak lari jauh-jauh pun payah kerana pergerakannya sentiasa diawasi dengan ketat.

"Cari kaulah, Encik Budiman. Jauh betul kau lari, ya? Sampai ke Kelantan anak buah aku terpaksa ikut kau."

"Aku tak larilah, bodoh! Aku tengah cari duit untuk bayar hutang kau!" Cuaca yang panas terik itu membuatkan amarah Budi memuncak secara tiba-tiba. Sabarnya hilang dan dia tidak boleh berfikir secara rasional.

"Aku tahu. Sebab tu kau sanggup rompak rumah datuk dan nenek kau sendiri untuk curi duit, kan?" Sebelah kening Alvin terjungkit sinis.

Budi terpempan. Dia tak sangka Alvin akan tahu perihal itu dengan mudah. Maknanya, lelaki di itu juga tahu di mana Nek Hawa dan Tok Ikram tinggal, kan? Bagus! Senang kerjanya kalau begini.

"Memang! Kau carilah aku sampai ke lubang cacing sekalipun, kau takkan dapat apa-apa, Alvin. Jadi, lebih baik kau pergi minta orang tua tu bayar hutang kau bagi pihak aku. Senang! Kau dapat balik duit kau dan aku tak payah hadap muka kau lagi."

Alvin tergelak. Pucuk hidung digosok berkali-kali. Budi sudah semakin berani sejak akhir-akhir ini. Harap saja muka pucat bila nampak dia tadi, tapi baran lelaki itu tetap menguasai diri.

Kalau dia berterusan 'bermain' dan menggasak Budi, tak mustahil lelaki itu akan meletup suatu hari nanti, kan?

"Too bad. Aku tak rasa nak buat macam tu," balas Alvin, selamba. "Lagipun..." Alvin perlahan-lahan mara ke arah Budi.

Budi yang sedikit gentar dengan aura yang ditonjolkan Alvin langsung berundur ke belakang setapak.

"...siapa cakap kalau aku cari kau, aku takkan dapat apa-apa? Kau dah lupa benda yang aku boleh buat?"

Alvin tayang muka serius. Renungannya yang tajam bak mata pedang itu sedikit sebanyak melunturkan keberanian yang tersisa dalam diri Budi. Liur ditelan kesat.

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now