KERETA dibelok ke kanan. Perhatian Maryam serta-merta tertumpu pada kanopi yang berada di luar laman Puan Zaharah. Dia dapat melihat dengan jelas figura orang-orang masjid yang berada di bawah kanopi tersebut di sebalik kepekatan malam. Tak semena-mena dahinya berkerut seribu.
"Ada apa-apa dekat rumah aunty Zaharah ke, Li?"
"Apa dia?" Fokus Lily langsung beralih daripada skrin telefon kepada Maryam di sebelah.
"Tu, depan rumah aunty Zaharah ada kanopi. Ada apa-apa yang kita tak tahu ke?"
Lily pandang ke depan. Oh!
"Itu untuk kenduri doa selamat rasanya. Aunty ada jemput kita sekali hari tu. Tak ingat?"
"Huh? Bila?" Kerutan Maryam semakin bertambah.
"Masa aku heret kau balik lepas aunty bagi cempedak goreng hari tu."
Maryam diam sejenak. Dia cuba mengerah otak untuk mengingati semula peristiwa tersebut, namun gagal.
"Tak ingatlah, Li."
"Kau sibuk melantak, manalah nak ingat," perli Lily. Halus.
Maryam menjeling tajam. Dia meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Kereta diparkir di bawah garaj. Kedua-dua gadis itu kemudiannya keluar bersama-sama beg plastik yang mengandungi bahan-bahan membuat kek Lily.
"Kau pergilah mandi dulu. Barang-barang ni semua biar aku simpan."
"Beres!" sahut Maryam, laju. Dia sudah ingin naik ke tingkat atas bila otaknya tiba-tiba teringatkan sesuatu. "Tapi aku kena pakai baju apa, Li? Kurung ke?"
"Dah tu, kau nak pakai apa? Baju kelawar?"
Maryam angguk tanpa membuang masa. Mata Lily membulat.
"Kau jangan nak buang tabiat!"
"Alaa, tak boleh ke? Aku tak biasalah pakai baju kurung malam-malam macam ni. Leceh nak gosok. Doa selamat tu sekejap aje, kan?"
"Jubah kan ada? Ambil ajelah yang aku punya."
Mendengarkan itu, pinggir bibir Maryam naik hingga ke belakang telinga. Terus dia berjalan mendekati Lily dan tubuh gadis itu didakap erat dari tepi.
"Sebab ni aku sayang kau, Li."
Lily menjulingkan mata ke atas. Pelukan Maryam tidak dibalas kerana kedua-dua belah tangannya terkunci di sisi. Sayang ada makna. Kalau dia tak cakap macam itu, jangan harap Maryam nak peluk dan cium dia macam sekarang.
DISEBABKAN Lily malas nak bersiap lebih-lebih, dia hanya menyarungkan jubah berwarna merah manggis dan shawl labuh berwarna hitam. Tak ada lilit-lilit sampai leher rasa tercekik. Cukup dengan hanya pin di bawah dagu dan hujungnya diselempang ke bahu.
Sama seperti Maryam, Lily juga malas nak gosok tudung baharu malam-malam begini. Leceh!
"Eh, Lily! Ingatkan tak nak datang tadi." Seperti biasa, teguran daripada Puan Zaharah disambut dengan senyum manis daripada Lily.
"Aunty dah jemput, mestilah saya kena datang."
"Oh, aunty. Aku ingatkan kau nak sebut bakal mak mertua tadi."
Lily cubit kuat isi pinggang Maryam bersama bibir yang diketap geram. Perempuan ni memang tak pernah serik, kan?
"Aduh! Ampun, abang jago! Ampun! Aku gurau ajelah!"
Puan Zaharah senyum lucu. Lily dan Maryam tak pernah gagal dalam menghiburkannya. Ada sahaja tingkah dan gelagat mereka yang menggeletek hati tuanya. Buatkan dia teringatkan zaman muda-muda.
YOU ARE READING
Lily Untuk Raqib [OG]
RomanceRAQIB ISA | LILY HANA "Terima kasih." ㅡ Raqib Isa "Untuk apa? Bukan saya yang jumpa barang awak tu pun. Kucing saya yang curi, tahu?" ㅡ Lily Hana Raqib dan Lily. Mereka berjumpa dan berkenalan buat kali pertama semasa Tabby, si bulus kesayangan Lily...