LUR | 11

133 48 0
                                    

LILY keluar dari ruangan mesin perbankan layan diri sebuah bank tempatan bersama langkah ringan. Dia baru sahaja selesai memasukkan wang tunai ke dalam akaun datuk dan neneknya di kampung.

Alhamdulillah, jualan kek pada bulan ini meningkat tiga kali ganda berbanding biasa. Semuanya atas jasa kak Pia yang membantu mempromosi bisnes kek Lily kepada pengunjung karnival yang membeli cuppies di gerainya.

Malah, percubaan kali pertama Lily membakar kek cawan red velvet turut mendapat sambutan dan membawa keuntungan. Tak menang dia menyiapkan tempahan kek yang diterima daripada pelanggan-pelanggannya.

Kalau beginilah gayanya, Lily mungkin dapat merealisasikan impiannya untuk membuka kedai bakeri sendiri suatu hari nanti.

Bibir mengoyak senyum lebar. Tiba-tiba dia tak sabar mahu menunggu angan-angan tersebut menjadi kenyataan.

"Sini kau."

Lily kaget. Lengannya tiba-tiba ditarik oleh seseorang semasa dia sedang leka berjalan. Tak sempat ingin dia menjerit, tubuhnya ditolak kasar ke dinding di sebuah lorong yang sunyi. Spontan gadis itu meringis kesakitan.

Angkat mata, wajah Budi menyapa pandangan. Terbeliak mata Lily melihat kondisi si adik.

Tepi bibir lelaki itu pecah. Kawasan leher dan mukanya lebam. Kecederaan Budi tak ubah seperti dia dipukul oleh seseorang. Tak semena-mena hati Lily dipagut risau.

"Kau bergaduh dengan siapa ni, Budi?"

"Kau baru keluar dari bank, kan? Buat apa? Withdraw duit?" Soalan Lily tidak diendahkan. Lengan kekarnya naik menekan tulang selangka Lily secara melintang, menghalang gadis itu daripada lari.

"Bukan." Lily menggeleng. Dia cuba menolak Budi menjauh, tetapi tidak berjaya.

"Kau fikir aku bodoh ke, Lily? Ingat aku tak nampak kau berdiri depan ATM tadi? Sah-sahlah kau tengah keluarkan duit! Kan?" ujar Budi, sedikit menekan.

"Aku masukkan duit, bukan keluarkan!"

"Kau ingat aku percaya?" Hujung bibir Budi terjungkit sinis.

Lily tidak menjawab, sebaliknya bergelut untuk keluar daripada kepungan Budi. Lelaki itu nak percaya atau tak, terserah! Yang pasti, dia sudah beritahu perkara betul.

"Hei. Apasal kau kedekut sangat nak share dengan aku, hah? Tak luak punlah kalau adik kau ambil sikit."

"Memanglah tak luak, tapi kau tu jenis yang tak pernah rasa cukup! Aku bagi, kemudian nanti kau akan minta lagi. Kau fikir aku hidup untuk jadi bank bergerak kau ke, Budi?"

"Of course! Sebab tu aku lari dari kampung dan datang ke sini. Aku tahu kau akan bagi aku duit kalau aku minta. Tak macam betina dan jantan tua dekat kampung tu. Aku nak minta apa-apa pun tak boleh."

"Budi! Bahasa tu jaga! Itu nenek dan atuk kita! Jangan panggil dia orang macam tu!" marah Lily, kurang berkenan dengan sikap kurang ajar si adik.

Kalaupun tak suka, tak perlulah panggil orang yang sudah menjaga mereka sejak kecil seperti itu. Itu biadap namanya!

Budi tayang senyum mengejek. Sedikit pun dia tak tergugat dengan amarah si kakak.

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now