MUG yang berada di depannya dicapai lalu air nescafe yang masih berbaki dihirup sehingga habis. Rafiqa kemudian meletakkan semula mug tersebut di atas meja bersama mata yang setia melekat pada kaca televisyen.
Dia tak mahu terlepas hatta satu babak dalam drama yang sedang ditonton. Lebih-lebih lagi episod kali ini adalah episod akhir. Sudah semestinya dia kena tumpukan perhatiannya lebih daripada biasa.
Cukup 15 minit drama itu bersiaran, iklan promosi TV mula mengambil alih.
Rafiqa segera mengambil peluang itu untuk bangkit menuju ke dapur. Semerbak bau cempedak goreng menyapa rongga hidung sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di sana. Mata terpejam rapat. Hmm, wanginya!
Dia berjalan mendekati meja makan. Ada sepinggan penuh cempedak yang telah digoreng di situ.
Rafiqa menjilat bibir. Tengok pun dah sedap. Nampak garing dan rangup! Kalau dapat makan ni, tahu-tahu habis sepinggan nanti!
Lalu, dia mencuri pandang ke arah Puan Zaharah yang masih sibuk menggoreng baki cempedak yang tinggal. Kalau dia curi makan satu, umi takkan perasan, kan?
Malas mahu berfikir panjang, tangannya laju menyambar dan menyumbat cempedak tersebut ke dalam mulut. Panas! Tapi sedap!
"Dah berapa banyak cempedak umi yang Afi dah sumbat masuk dalam mulut?"
Kunyahan Rafiqa terhenti. Sengih tak bersalah dipamer bersama sebelah pipi yang kembung dengan butir cempedak yang dikemam. Kantoi!
"Dah berapa banyak?" soal Puan Zaharah, lagi. Muka serius ditayang sambil sebelah keningnya dijungkit tinggi.
"Baru satu, umi. Mana ada banyak pun," tutur Rafiqa usai menelan semuanya menuruni rengkung.
"Yakin baru satu?" Puan Raudhah seolah-olah tak percaya. Anaknya direnung tajam.
Bersungguh-sungguh Rafiqa menjatuhkan kepala, tanda dia tidak menipu. Kecut perut melihat uminya hampir bertukar menjadi Ziana Zain.
Garang dan tegang.
Persis dalam filem 'Sembilu' yang pernah ditonton dahulu.
"Good."
Rafiqa senyum lebar. Kembang kempis tatkala menerima pujian itu. Yalah... Kena puji dengan umi sendiri, siapa saja tak suka?
Dia meneruskan semula niatnya yang ingin membancuh secawan lagi nescafe di mini bar dapur.
Satu sachet nescafe classic diambil lalu dikoyakkan bahagian atasnya untuk menuangkan isi ke dalam mug. Kemudian, satu sudu gula dan sedikit air ditambah sebelum dia mengacaunya menggunakan handheld milk frother sehingga sebati dan menghasilkan busa.
Sengaja Rafiqa berbuat demikian kerana dia lebih suka minum nescafe yang berkrim dan manis.
"Afi, nanti tolong bagi cempedak ni dekat jiran depan rumah kita, ya?"
"Jiran depan?" Rafiqa berjalan mendapatkan Puan Zaharah usai memasukkan susu dan ais ke nescafenya.
"Ya, jiran depan. Umi sengaja goreng semua cempedak ni untuk bagi dekat jiran-jiran. Alang-alang tu boleh umi jemput mereka semua datang rumah malam Jumaat nanti. Tolong apa yang patut untuk majlis kita."
Rafiqa terangguk-angguk bersama mulut yang membulat kecil. Patutlah bukan main banyak cempedak yang uminya goreng. Rupanya nak bagi pada jiran.
"Okey, umi. Nanti Afi pergi hantar."
RAQIB menanggalkan helmet dari kepala. Rambut yang sedia kusut, dikusutkan lagi menggunakan sebelah tangan agar tidak kelihatan terlalu penyek.
Dia sudah bersedia untuk turun daripada motorsikalnya bila mata tiba-tiba terpandangkan figura Rafiqa yang muncul menyarungkan selipar pada kaki.
YOU ARE READING
Lily Untuk Raqib [OG]
RomanceRAQIB ISA | LILY HANA "Terima kasih." ㅡ Raqib Isa "Untuk apa? Bukan saya yang jumpa barang awak tu pun. Kucing saya yang curi, tahu?" ㅡ Lily Hana Raqib dan Lily. Mereka berjumpa dan berkenalan buat kali pertama semasa Tabby, si bulus kesayangan Lily...