LUR | 01

350 87 11
                                    

"TABBY?" Lily melutut dan menjenguk ke bawah sofa, cuba mencari seekor makhluk gebu berbulu belang kelabu yang selalu menyorok di situ, namun tiada.

Lantas dia kembali menegakkan tubuh dan duduk bersila. Kepala yang tak gatal digaru kasar. Buntu memikirkan keberadaan kucingnya yang lesap entah ke mana sejak dua jam yang lepas.

"Tak jumpa lagi ke, Li?" soal Maryam sambil menuruni tangga. Ada sebuah bekas berisi makanan kucing di tangan kanannya.

Lily jawab dengan gelengan kecil.

"Dekat atas pun tak ada ke, Mar?"

"Tak ada. Umpan pakai Whiskas pun tak jalan. Agaknya dia keluar pergi mana-mana kut. Cuci mata, cari pakwe."

Jenaka Maryam itu tidak berupaya mengurangkan resah di hati Lily. Dia betul-betul risaukan keselamatan dan keberadaan Tabby. Kucing baka Ragamuffin itu masih belum arif dengan kawasan perumahan ini. Buatnya Tabby tersesat entah ke mana, tak ke haru?

"Aku keluar pergi cari dia kejap. Kalau Tabby dah balik nanti, call aje aku."

Maryam sekadar mengangguk.

Tudung disarungkan ke kepala sembari kaki melangkah mendekati pintu rumah. Baru sahaja Lily mahu menyarungkan selipar, kakinya tiba-tiba digesel oleh sesuatu. Lekas dia menunduk dan serentak itu, raut risaunya bertukar lega.

"Ya Allah! Tabby!"

"Meow!"

Tubuh kecil Tabby diangkat lalu dibawa masuk ke dalam pelukan dengan sebelah tangan. Terasa hilang beban di hati tatkala kucing kesayangannya telah kembali ke pangkuan dengan selamat.

"Boleh tak jangan tiba-tiba lesap macam tadi? Sakit jantung aku cari... Eh? Apa ni?" Lily pandang kain yang sedang digigit oleh Tabby dengan kening berkerut.

Kain apa pula ni?

"Kau curi kain buruk siapa ni, Tabby?" Ditarik kain tersebut daripada mulut Tabby dan...

"Aaarghhh!" Lily menjerit nyaring. Kain tadi dicampak menjauh. Matanya membulat! Terkejut dengan apa yang dilihat.

"Kenapa ni, Li?! Kenapa?!" Maryam bergegas keluar dari dapur setelah mendengar jeritan gadis itu.

"T... tu. Kau tengok b... benda tu." Terketar-ketar Lily angkat jari telunjuknya, menunding ke arah sesuatu.

Maryam segera pandang ke arah yang dimaksudkan. Terbeliak biji matanya saat melihat identiti benda yang terdampar di tengah-tengah laman rumah mereka.

"Nyah! Boxer siapa tu?!"

Siapa yang tak ada kesedaran sivik main baling boxer ke laman rumah orang ni?! Kut ya pun bergaduh laki bini, tak payahlah sampai campak boxer sekali! Aib, tahu tak? Aib!

"Kau tanya Tabby. Dia yang bawa balik tadi."

Rahang Maryam hampir jatuh.

Selalunya kucing lain akan bawa balik bangkai haiwan seperti tikus, cicak dan lipas sebagai 'hadiah' untuk tuan mereka. Kenapa si Tabby ni bawa balik boxer orang pula?

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now