10

1.7K 87 10
                                    


Izyan mengenakan mekap pada mukanya. Lengkap segala gincu, blusher, dan beberapa tempek bedak padat menghiasi wajahnya sehingga putih melepak. Wajahnya yang siap bermekap dan berlitup tudung bawal ditatap pada cermin di hadapannya. Dia mahu nampak cantik hari ini kerana dia akan bertemu seseorang yang telah lama diminatinya. Mungkin ini kali terakhir dia akan cuba menambat hati si dia. Jika dia gagal, mungkin dia akan putus asa dan mencari lelaki lain sebagai pasangan hidupnya.

Si dia yang dimaksudkan adalah Aidil atau kedengaran lebih gagah dan macho jika dipanggil Inspektor Aidil. Dia sudah lama cuba memikat hati si dia tetapi si dia hanya membalas dengan reaksi acuh tak acuh. Semakin lama, dia merasakan dirinya hanya dipermainkan si dia. Mungkin si dia sudah mempunyai orang lain. Siapa sahaja yang tidak tergoda dengan ketampanan Inspektor Aidil? Hidungnya mancung, jambulnya tegak dan bibirnya yang seksi memukau mana-mana perempuan yang melihatnya.

Pada mulanya, Izyan sepatutnya bekerja pada hari ini tetapi dia terpedaya dengan janji manis yang dijanjikan Fahmi. Fahmi memintanya membawa Aidil bertemu dengannya di hospital. Sebagai balasan, dia akan cuba jodohkan Izyan dan Aidil. Itu yang dibisik Fahmi ke telinganya semalam.

Izyan terus menatap wajahnya pada cermin. Cantik. Dia tak pernah rasa dirinya secantik hari ini sebelum ini. Mungkin ini adalah usaha ikhlas dari hatinya untuk menyatakan rasa cintanya kepada Aidil. Walaupun masih ada rasa ragu-ragu yang terbuku di lubuk hatinya, dia cuba hilangkannya dan yakinkan dirinya buat kali terakhir. Dia masih percaya dengan cinta pandang pertamanya ketika dia pertama kali melihat Aidil suatu masa dahulu. Ketika itu dia bekerja sebagai pelayan di sebuah warung. Aidil dibawa Koperal Thuy ke restoran tersebut pada hari pertama dia bertugas. Pada hari itulah Izyan merasakan kekurangan dalam dirinya. Dia rasa dirinya tidak lengkap tanpa kehadiran seorang lelaki di sampingnya dan dia mahu Aidil menjadi lelaki itu kerana Aidil telah mencuri hatinya.

Izyan tersedar dari lamunannya. Dia mengerling ke arah jam tangannya. Sudah hampir pukul sepuluh pagi. Memandangkan hari ini dia cuti, masa dirasakan berlalu dengan pantas. Jika hari bekerja, boleh mati nak tunggu waktu rehat.

Izyan mencapai beg tangannya sebelum meninggalkan rumah. Rumah ditinggalkan dalam keadaan berkunci segala-gala lubang yang mampu dimasuki pencuri. Memandangkan inspektor yang digeruni perompak telah meringkuk dalam lokap, pasti ada mana-mana toyol yang ambil kesempatan.

Izyan menghidupkan proton Saganya lalu memandu ke balai polis yang menempatkan Aidil. Balai polis itu tidak terlalu jauh dari rumahnya. Hanya sekitar 20 minit memandu pada kelajuan 50 km/h. Tiba di balai polis, dia memarkir kereta di petak parkir yang disediakan. Dia kemudiannya berjalan menuju ke kaunter yang terletak di bahagian hadapan balai polis.

"Saya datang untuk melawat Inspektor Aidil," kata Izyan kepada pegawai polis perempuan yang menjaga kaunter.

Pegawai polis perempuan itu memanggil pegawai polis lain. Seorang pegawai polis yang memakai tanda nama yang tertulis Kamal datang lalu membawa Izyan ke sebuah bilik. Dia diminta duduk di atas kerusi yang disediakan. Selang beberapa ketika, seorang pegawai polis lain membawa Aidil berjumpa dengannya.

"Assalamualaikum," sapa Izyan.

"Waalaikumussalam," balas Aidil dalam keadaan malu. Dia masih cam Izyan tetapi dia tidak menyangka bahawa perempuan itu akan melihatnya berada dalam keadaan sebegitu. Dia berasa sungguh malu.

"Senyumlah sikit, Aidil. Dah lama kita tak jumpa. Dulu kita selalu jumpa kat restoran tapi sekarang aku dah jadi jururawat. Kau bukannya nak datang melawat aku," herdik Izyan.

"Aku..."

"Sibuk. Aku tahu kau sibuk. Kau tak pernah ada masa untuk luangkan dengan aku. Aku rindu nak tengok muka kau. Nak dengar khabar kau. Nak tahu pasal perkembangan kau. Takkan nak tunggu kau mati kena tembak baru aku boleh tengok muka kau," luah Izyan. Bunyinya sedikit kasar tetapi Aidil tahu dia mengambil berat tentang dirinya.

KanibalTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang